Mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Pepatah ini sesuai ditujukan buat atlet cilik dari SK Tenglu apabila dia benar-benar mengikut jejak ayahnya dalam sukan bola sepak.

Muhammad Hazman Roslan, 12, diumumkan sebagai pemain terbaik di kelab bola sepak sekolahnya, White Eagle SK Tenglu, hujung tahun lalu.

Bapanya, Roslan Zakaria, 47, merupakan bekas pemain pasukan bola sepak Negeri Sembilan ketika menuntut di sebuah kolej di Rasah kira-kira 20 tahun lalu.

Roslan (belakang, kiri) sentiasa menyokong aktiviti sihat anaknya.

Hazman yang bermain di posisi tengah, bercita-cita mahu menjadi seperti pemain bola sepak Argentina, Lionel Messi dan dia membuktikan dengan usaha keras tanpa henti.

Diangkat sebagai pemain terbaik sekolah itu membuktikan usahanya sedikit sebanyak membuahkan hasil.

Menunjukkan minat sejak berusia tujuh tahun, anak ketiga daripada empat beradik ini menyifatkan abang dan bapanya banyak mendorong kepada penglibatannya secara serius dalam sukan itu.

“Saya memang bercita-cita nak jadi pemain bola sepak hebat macam Lionel Messi dan Safiq Rahim.

“Kalau boleh nak terkenal sampai seluruh dunia tahu siapa saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Si cilik ini mewakili sekolahnya dalam sukan bola sepak sampai ke peringkat daerah ketika baru berusia sembilan tahun.

White Eagle SK Tenglu di pentas akhir dalam kejohanan Liga Bolasepak MSSD bawah 12 tahun di Stadium Mersing, tahun lalu.

Meskipun terpaksa membahagi masa antara sukan dan akademik, Hazman akui ibunya, Haslinda Hassan, 38, banyak membantu menguruskan jadualnya setiap hari.

“Mak yang tolong uruskan jadual untuk sekolah, latihan, peperiksaan dan ayah akan hantar saya pergi latihan setiap hari.

“Memang kadang-kadang penat dengan jadual yang penuh, dalam kelas rasa mengantuk tapi saya minum air masak banyak-banyak,” katanya yang juga aktif dalam sukan olahraga.

Hazman yang juga penerima Anugerah Tokoh Kokurikulum SK Tenglu 2017 ini berkata meskipun tahun ini dia akan menghadapi UPSR namun dia masih giat berlatih bola sepak setiap hari.

Hal ini sebagai persiapan liga bola sepak bawah 12 tahun di Mersing, April nanti.

Ibu dan ayah yang menjadi pendorong kepada minat Hazman dalam sukan bola sepak.

Sementara itu, bapanya, Roslan berkata, beliau dan isteri akan terus menyokong minat anak lelaki mereka itu.

“Memang dari umur 7 tahun dia sudah mula tunjuk minat. Sekarang dia boleh main bola sepak dengan pemain bawah 15 tahun walaupun dia baru masuk 12 tahun.

“Dari situ saya lihat potensinya ke arah bola sepak memang boleh pergi jauh. Jadi, kami akan terus sokong. Keluarga kami memang semua minat bola sepak,” katanya yang bertugas di Klinik Kesihatan Tenglu.

Kata Roslan, pelajaran anaknya itu setakat ini seimbang dengan pencapaian kokurikulumnya di sekolah.

Meskipun sibuk dengan sekolah dan latihan bola sepak, Hazman juga aktif dengan Kelab Warisan Kompang Klinik Tenglu sejak tiga tahun lalu.