Hilang penglihatan ketika usia 6 tahun bukan sesuatu yang mudah untuk Nik Muhamad Ahnaf Rujhiee Raja Anuar, 12, untuk menerima hakikat hidup.

Namun, semangat dan dorongan ibu bapa dan guru membuatkan dia reda dengan ketentuan Ilahi. Sudah terpateri janji Tuhan, setiap musibah ada hikmah yang diberikan, ibarat pelangi muncul selepas hujan.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Jalan Batu ini berjaya merangkul Anugerah Nilam Peringkat  Kebangsaan 2017 bagi Kategori Kurang Upaya Penglihatan.

Penyampaian hadiah yang diadakan di PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa  Kuala Lumpur 2017 menjadi sesuatu yang dikenang kanak-kanak ini yang mesra dengan panggilan Ahnaf apabila hadiah disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Chong Sin Wong.

Menurut Ahnaf, dia mendapat galakan dan sokongan daripada guru sejak mula memasuki sekolah itu.

“Dengan bantuan guru dan sokongan ibu serta ayah, saya mengambil masa tiga bulan untuk belajar Braille dan sejak itu minat membaca makin tinggi,” katanya.

Kata anak seorang guru ini, dia tidak pernah memenangi pertandingan sebesar ini dan kemenangan ini bagaikan pembakar semangat untuk menjadi yang terbaik.

Anak sulung daripada empat beradik ini bercita-cita ingin menjadi seorang guru kerana menganggap kerjaya itu boleh memberi cahaya kepada orang lain.

Bagi melayakkan dia menerima anugerah itu, Ahnaf membaca 105 buah buku.

“Saya akan baca buku pada waktu lapang... tak kira masa dan kat mana. Ada je masa saya akan buka buku,” katanya. 

Sementara itu, Guru Besar, Norzimah Abdul Latif berkata, beliau bangga dengan pencapaian Ahnaf.

“Semua guru yang mengajar kata dia murid baik... sangat minat untuk belajar,” katanya.

Menurut beliau, Ahnaf pernah menerima Anugerah Mata Pelajaran Terbaik dalam Bahasa Melayu dan Matematik.

"Dia memang rajin," katanya.