MUAR - Meskipun temasya Sukan Sea 2017 telah melabuhkan tirai, namun bahangnya masih dirasai apabila menyaksikan Malaysia berjaya meraih kemenangan besar dengan mengungguli sehingga 323 pingat melalui pelbagai kategori.

Kejayaan itu turut meliputi sumbangan pingat emas melalui acara berbasikal daripada trio pecut berpasukan lelaki, Khairil Nizam Rasol; Mohd Shariz Efendi dan Mohd Fadil Mohd Zonis yang mencatat masa 44.776 saat.

Saat manis setelah berjaya merangkul pingat emas acara berbasikal daripada trio pecut berpasukan lelaki.

Kejayaan tiga anak muda ini tentunya memberi khabar gembira buat Malaysia, namun warga Muar pasti lebih teruja dan berbangga dengan pencapaian cemerlang itu apabila salah seorang daripada jaguh berbasikal negara tersebut adalah anak jati kelahiran daerah ini.

Kemenangan Khairil Nizam merangkul pingat emas dalam acara berbasikal daripada trio pecut berpasukan lelaki memberikan kenangan paling manis dalam dirinya.

Nama Khairil Nizam, 20, mungkin masih lagi asing bagi sesetengah individu kerana penglibatannya dalam pentas sukan negara agak baharu.

Malah, anak muda ini juga memberitahu, dia bersama dua lagi rakannya itu pertama kali menyertai temasya sukan berprestij berkenaan selepas beberapa kali mewakili Malaysia ke luar negara dalam acara berbasikal.

Tak sangka jadi atlet negara

Menyingkap kembali sejarah awal penglibatan Khairil Nizam dalam sukan berbasikal, anak keenam daripada tujuh beradik ini mengakui tidak pernah terfikir bahawa dirinya akan bergelar atlet suatu hari nanti.

Ujar Khairil Nizam, bakatnya itu mula dikesan selepas tindakannya yang sekadar mahu mencuba dengan menguji diri menyahut cabaran jurulatih berbasikal negara, Muhammad Firdaus Daud.

“Pada peringkat awal, penglibatan acara berbasikal ini didorong selepas lihat kejayaan abang (Muhammad Khairul Adha) menjadi atlet mewakili negeri ketika itu.

"Saya yang masih di tingkatan tiga  tiba-tiba saja rasa ingin mencuba dan nekad bertemu Muhammad Firdaus untuk mencabar diri," katanya.

Kenangan bersama seorang lagi atlet berbasikal negara, Mohd Zamri Eiman Firdaus. Khairil Nizam mengakui mengamalkan tip dengan menjaga pemakanan dan latihan selain menjaga
solat lima waktu.

Kata beliau, tanpa sebarang persiapan, Muhammad Firdaus minta dia berbasikal tanpa henti bermula dari Muar hingga ke Tangkak membabitkan jarak sejauh 60 kilometer ketika itu.

“Katanya, jika saya boleh melakukan aktiviti itu, dia akan menghadiahkan kasut sukan dan melatih saya secara serius. Mungkin kerana dah terbiasa dengan aktiviti berbasikal bersama rakan, maka cabarannya mampu dilakukan sebelum saya terus diserap menyertai sebahagian daripada mereka,” katanya.

Kehadiran ibunya, Jamiah dan bapanya Rasol menyaksikan dirinya beraksi baru-baru ini menaikkan lagi semangat beliau meskipun baru sembuh daripada sakit.

 

Menurutnya, bermula dari situ, bakatnya terus digilap sehingga dia diberi kepercayaan mewakili Muar sebelum melangkah ke peringkat negeri pada 2013.

“Pada 2014, saya berjaya melangkah lagi setapak dalam dunia ini apabila ditawarkan menjadi atlet di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sekolah sukan di Bukit Jalil. Sejak itu, saya mula mewakili Malaysia dalam acara berbasikal.

“Sejujurnya, saya memang tak sangka akan menceburkan diri dalam karier ini kerana ketika pertama kali menyertai pun, saya sekadar suka-suka. Namun, sebaik terpilih, saya nekad berlatih bersungguh-sungguh,” katanya.

Minat berbasikal sejak kecil

Bagaimanapun, Khairil Nizam tidak menafikan aktiviti berbasikal dekat dengan jiwanya apabila sejak zaman persekolahan lagi, dia bersama rakannya gemar menunggang basikal sehingga berpuluh kilometer menuju ke Kesang, Tangkak dan Bukit Mor, Parit Jawa, di sini, setiap kali cuti persekolahan.

Minatnya itu langsung tidak disedari kerana berbasikal hanya dijadikan sebagai hobi untuk beriadah bersama rakan-rakan.

“Kami tak ada sertai mana-mana kelab basikal ataupun ubah suai yang melampau. Kami tunggang basikal hanya untuk seronok,” katanya.

Khairil Nizam bersama abangnya, Khairul Adha (depan) yang juga merupakan atlet berbasikal kategori paralimpik (pilot).

Bagaimanapun, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Sri Amar Diraja ini mengakui, sebaik menceburkan diri secara serius dalam sukan berbasikal, ibunya (Jamiah Husin, 60) pada awalnya kurang bersetuju gara-gara mahukannya mengutamakan pelajaran.

“Ibu pada awalnya tak yakin dengan penglibatan saya dalam aktiviti ini. Saya jarang ke sekolah kerana terlalu banyak habiskan masa dengan latihan. Namun, akhirnya ibu mula beri sokongan setelah melihat kejayaan saya dalam satu pertandingan di Tasmania, Australia pada 2014 apabila berjaya merangkul emas pertama membabitkan acara dari negara luar.

“Sejak itu, ibu sentiasa merangsang semangat saya,” katanya.

Manakala bapanya, Rasol Ahmad, 63, tidak pernah melarang minatnya itu sejak dahulu.

Pernah dibatalkan kemenangan

Khairil Nizam yang baru sahaja mengikat tali pertunangan sempena Aidiladha lalu turut berkongsi pengalaman pahit sepanjang berada dalam arena ini apabila kemenangannya menduduki tempat ketiga melalui kategori World Junior U18 dalam acara Keirin di Kazakhstan 2015 dibatalkan secara tiba-tiba.

“Sebaik menamatkan pertandingan, saya lantas melakukan sujud syukur dan menangis kegembiraan kerana terlalu meletakkan target untuk acara ini. Namun atas alasan tertentu, kemenangan itu dibatalkan menyebabkan saya terlalu kecewa.

“Tapi, mujur jurulatih, Junaidi Mohd Nasir memberikan kata-kata semangat. Selain itu, pengalaman jatuh sakit bila saya diserang demam panas selama lima hari sebelum berlangsungnya acara Sukan Sea ini juga tak saya lupakan," katanya.

Khairil Nizam menunjukkan rakamannya beraksi dalam Sukan Sea 2017 baru-baru ini di Nilai, Negeri Sembilan kepada tunangnya, Nur Syabila Aqirah Mohamad, 20.

Kata Khairil Nizam, berbaki dua hari lagi perlawanan, baru dia sihat dan ketika itu dia tak yakin mampu menang kerana kesihatan tidak begitu baik.

"Namun Alhamdulillah, kami mampu melakukannya dan ternyata inilah pengalaman paling manis yang kami raih setakat hari ini,” katanya.

Remaja yang meletakkan Azizol Hasni Awang sebagai idolanya ini mengakui, selain menjaga pemakanan dan latihan secara berdisiplin, amalan seperti menjaga solat dan melakukan latihan peribadi di waktu tengah malam menjadi antara penyumbang kejayaannya pada hari ini.

Bersama jurulatihnya, Junaidi.