Bukan baru sehari dua dia bergelar guru sebaliknya tugas mendidik anak bangsa tersebut sudah dipikul selama 20 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, dia bergelumang dengan pelbagai pengalaman manis dan pahit.

Setiap tingkah laku pelajar dari dulu hingga sekarang kemas dalam genggamannya. Berdasarkan pengalaman tersebut, cikgu Noorzalina Zainal Abidin atau nama panggilan dalam kalangan anak muridnya iaitu Cikgu Lin, menggunakan sebaik mungkin apa yang telah diperoleh.

Kini dia bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Jalan Peel, Sekolah Amanah Malaysia, Kuala Lumpur dan mengajar pelajar Tahun Satu dan Empat.

Pertemuan yang diatur, akhirnya menemukan penulis dengan guru yang penuh dedikasi ini. Orangnya ramah dan kelihatan lebih muda daripada usia. Setiap tutur bicaranya penuh semangat tatkala bercerita mengenai dunia pekerjaan.

Pertemuan kami petang itu turut ditemani oleh dua orang sahabatnya. Kami  bertukar-tukar cerita mengenai pekerjaan masing-masing.

Dalam berhadapan dengan dunia serba moden ini, menurut cikgu Lin, guru-guru juga perlu berfi kiran moden namun  masih mengekalkan tradisi bangsa dan negara dalam mendidik anak murid. Tambah ibu kepada lima orang anak seusia 13 hingga 20 tahun ini, dia masih ingat lagi ketika mula-mula menceburi bidang perguruan. 

Walaupun tidak terfikir akan bergelar guru, inilah yang dikatakan suratan takdir. Oleh sebab dibesarkan di bandar, Cikgu Lin memohon ditugaskan di luar bandar semata-mata mahu menikmati hidup di kampung.

“Saya minta ditugaskan di kawasan luar bandar iaitu di Jitra, Kedah. Bayangkan betapa jauhnya nun di utara semata-mata mahu menikmati keindahan desa. Apa yang lebih teruja, saya dapat melihat kehijauan sawah padi. Sementelah saya juga gemar hidup berdikari dan sebab itu hidup berjauhan dengan keluarga tidak menjadi masalah buat saya ketika itu.

“Pengalaman selama dua tahun di sana bagi saya ia ibarat mimpi indah. Mengajar anak bangsa di luar bandar memberikan saya cabaran terutamanya dari segi bahasa.

Bayangkan saya yang membesar di Kelana Jaya tiba-tiba kena berhadapan dengan anak murid yang menggunakan bahasa utara. Masalah timbul apabila ada sesetengah perkataan yang mempunyai maksud dan sebutan berbeza.

“Namun, saya anggap masalah itu sebagai cabaran yang perlu saya hadapi. Setelah dua tahun menabur bakti di sana, ayah meminta saya balik semula ke Kuala Lumpur kerana bimbang keadaan saya di sana. Bagi memenuhi permintaan ayah, saya buat permohonan agar dapat ditukarkan.

Sepanjang 20 tahun mengajar, banyak juga sekolah saya berkhidmat dan terkini, saya mengajar di Sekolah Kebangsaan Convent Jalan Peel ini,” ceritanya.

Beza Pelajar Dulu, Sekarang

Bercerita mengenai perbezaan pelajar dulu dan sekarang, menurut Cikgu Lin, sepanjang tempoh 20 tahun mengajar dia dapat melihat perbezaan tersebut. Paling ketara pelajar dahulu lebih berdikari
manakala pelajar sekarang terlalu bergantung kepada Internet. Selain itu, pelajar sekarang perlu dibimbing sehingga mereka dapat jawapan kepada soalan yang diberi.

“Kalau dulu, pelajar lebih berdikari dalam membuat tugasan dan kerja rumah yang diberi. Namun berbeza dengan pelajar sekarang. Contohnya kalau mereka diberi latihan, guru kena bimbing
sehingga mereka dapat jawapan. Berbanding pelajar dulu, guru tidak perlu bimbing mereka sehingga ke tahap itu kerana mereka dengan sendiri dapat mencari jawapan.

“Saya dapati antara faktor yang menyebabkan hal ini berlaku kerana pelajar sekarang terlalu bergantung kepada Internet.

Semua perkara mereka cari dalam Internet. Selain itu juga, pelajar dulu lebih menghormati guru. Manakala pelajar sekarang sering menggunakan bahasa media sosial dalam menjawab soalan  peperiksaan.

Malah, mereka juga kurang membaca. Pelajar sekarang mungkin lebih bijak bercakap mengenai teknologi tetapi lemah dalam penulisan dan tingkah laku,” ujarnya.