KEMAMAN - “Saya hadiahkan anugerah ini untuk arwah mak,” demikian kata penerima Anugerah Pelajar Terbaik program Diploma Rangkaian Komputer Kolej Universiti TATI (TATIUC), Norazni Mohamad, 21, yang kehilangan ibu bulan lalu.

Ibunya, Allahyarhama Azizah Harun, 52, meninggal dunia akibat sakit buah pinggang kronik pada 19 Oktober lalu.

Norazni yang kematian ayah pada usia 13 tahun berkata, seperti mana graduan lain, dia turut mengharapkan kehadiran ibu bapa di sisi pada saat gembira menggenggam diploma apatah lagi apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah pelajar terbaik.

“Namun saya reda mak tiada di sisi sebab ALLAH SWT lebih sayangkannya. Walaupun mak dah tiada tapi semangatnya tetap ada bersama saya.

“Malah pesanan arwah mak agar saya belajar bersungguh-sungguh supaya jadi orang berguna jadi pegangan saya untuk menyudahkan pengajian peringkat ijazah yang sedang saya ambil sekarang,” katanya yang menamatkan pengajian dengan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.76.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen TATIUC Ke-12 di Dewan Canselor TATIUC Teluk Kalong di sini, semalam.

Norazni kini menyambung pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian Keselamatan Komputer) bagi mengejar cita-citanya sebagai jurutera rangkaian komputer.