SEJAK belakangan ini, anak-anak pelakon Norman Hakim dan bekas isterinya, Abby Abadi sering jadi tumpuan ramai.

Jika anak sulung mereka, Mohamed Danish Hakim, 14, menarik perhatian kerana antara 10 pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian hafazan di Turki baru-baru ini, anak kedua pula, Marissa Dania Hakim, 13, menjadi bualan kerana personaliti dimilikinya.

Marissa yang mempunyai pengikut seramai 192,000 di Instagram ini, mencuri perhatian netizen menerusi aksinya digambarkan sebagai pemalu dan sopan santun, selain memiliki rupa paras yang cantik, persis ibunya.

Setiap kali Norman berkongsi foto bersama anak perempuannya ini di Instagram, pasti akan mencuri perhatian pengikutnya sehingga mendapat puluhan ribu likes.

Terbaru, Norman menerusi status dimuat naik di Instagramnya, turut berkongsi mengenai Direct Message (DM) yang diterima daripada netizen yang cuba ‘merisik’ anak daranya itu.

“Dengar cerita budak kecil @ marissadania_ ini tengah ‘viral’. Viral untuk apa tu? Yang pasti habis DM papa penuh dengan ‘risik’an yang padu. Yang pilu pun ada juga.

“Nak bagi tahu, anak dara saya ini, insya-Allah tahun ini umur 13 tahun, Julai nanti. Jauh perjalanan lagi. Hafazan al-Quran pun masih suku ke separuh perjalanan,” katanya.

Norman juga menasihati mereka yang mempunyai niat tersebut agar memberi keutamaan apa yang perlu terlebih dahulu, terutamanya dalam soal tanggungjawab terhadap ALLAH dan ibu bapa.

Dalam pada itu, Norman turut memohon agar netizen yang meninggalkan komen di Instagram anak perempuannya ini agar mendoakan yang baik-baik.