Perjalanan guru muda ini dalam dunia pendidikan cukup lancar sekali.

Dalam usia 37 tahun, Norhailmi Abdul Mutalib atau lebih mesra Cikgu Hailmi sudah mampu menikmati gaji seorang guru yang berkhidmat 16 tahun (kini baru 11 tahun bergelar guru).

Dianugerahkan Guru Cemerlang Sains ketika mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar No 1 Sibu, Cikgu Hailmi berkata, DG44 diperoleh pada 2013 ketika memohon guru cemerlang.

Kemudian, beliau memohon guru cemerlang DG48 dan berjaya memperolehnya pada 2017, iaitu awal enam tahun daripada jangkaan.

"Sepatutnya DG48 tu saya dapat tahun 2023 secara 'time based' tetapi mungkin ini dikatakan rezeki saya untuk semua ini," katanya kepada GPS Bestari.

Rahsia guru bagus, cemerlang

Ketika sesi rakaman di facebook GPSBestari, Cikgu Hailmi berkongsi rahsia bagaimana mahu menjadi seorang guru yang bagus dan cemerlang.

"Banyak faktor untuk menjadi guru yang bagus dan cemerlang ini.

"Macam saya.. kejayaan hari ini mungkin disebabkan saya bernasib baik kerana berada di tempat dan masa yang betul," ujarnya.

Cikgu Hailmi berkata, guru terutama guru muda, mesti peka dengan perjalanan karier masing-masing, sasaran mereka dan ke mana nak pergi.

Bersama guru dari Malaysia, Cikgu Lim, Cikgu Onn dan Cikgu Angie

"Bila kita tahu apa nak buat, bila dan di mana, ia sekali gus dapat memotivasikan diri.

"Saya sendiri pun masih belajar dan masih menimba ilmu," katanya.

Beliau menjadikan pelajar kelas belakang sebagai penanda aras, jika mereka ini tidak faham dengan apa yang diajar bermakna kelas depan pun tidak faham juga.

"Ini adalah strategi saya untuk menjadi salah seorang guru yang bagus dan cemerlang," katanya.

Ketika ditanya oleh Editor GPSBestari, Wan Normi Hasan pada sesi rakaman itu, mengenai pencapaian yang diharapkan dalam dunia pendidikan..ini kata Cikgu Hailmi.

 Turut menerima Anugerah Guru Stem Cemerlang bersempena Persidangan Antarabangsa Stem (ICSTEM) di UPSI bagi kategori Guru Junior.

"Saya nak tengok guru kita dapat bergerak dalam satu kumpulan.

"Jika kita bergerak bersama-sama dan saling menjadi penggerak untuk pendidik lain, ia satu perkara yang baik. Kalau dapat diusahakan, amat bagus sekali," ujarnya.

Dalam pada itu, Cikgu Hailmi mahu pendidik Malaysia mencontohi sikap guru di Korea.

"Guru Korea sangat objektif dan tahu apa yang mereka buat dalam kerjaya. Mereka tak buat sesuatu perkara itu berlebihan.

"Mereka capai dan buat benda itu sehingga dapat impak besar. Program atau projek, mereka sasar pada pelajar dan apa yang boleh beri manfaat pada anak murid," katanya.

Menurut beliau, itu berbeza dengan apa yang berlaku di negara ini yang mana guru suka fokus pada benda aksesori, benda tambahan yang tak perlu dan menyebabkan datangnya beban kepada tugas guru," katanya yang berkongsi perihal guru Korea ketika program pertukaran, baru-baru ini.

Teruja dapat pakai sut angkasawan.

Bukan pilihan utama

"Kerjaya guru bukan cita-cita saya. Saya nak jadi wartawan kerana suka menulis dari kecil lagi tetapi entah macam mana, saya boleh jadi cikgu pula," katanya tersenyum.

Cikgu Hailmi berkata, tamat belajar di Universiti Sains Malaysia (USM), dia tidak pernah 'miss' hantar resume untuk cari kerja kerana usaha tanpa henti itu, kakaknya menyarankan beliau memohon untuk menjadi guru sandaran.

"Saya cuba jadi cikgu..lama-lama rasa seronok. Paling 'best' bila tengok student dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan dari situ saya mula minat pada kerjaya ini.

"Saya mohon KPLI dan kemudiannya dapat," kata graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia Tulen, USM.

Kongsi Cikgu Hailmi, mahu menjadi cikgu ini bukan senang.. kena ada minat yang mendalam.

"Pastikan berminat..itu penting.Jangan sebab nak cari kerja semata-mata.. pilih bidang perguruan sebagai kerjaya," katanya yang kini mengajar di SMK Jerlun, Kedah.   

Pernah mengajar di SMK Luar Bandar No 1 Sibu, Sarawak, Cikgu Hailmi banyak menimba pengalaman dan pelbagai cabaran di sekolah tersebut.

Kenangan terindah bersama pelajar di SMK Luar Bandar No 1 Sibu.

"Lapan tahun di Sibu dan empat tahun di Jerlun.

"Bagi saya, dua-dua sekolah ada cabaran tersendiri. Cuma, di Sibu, cabarannya lain sedikit.

"Di sana, macam-macam cabaran. Bila banyak cabaran, guru terdorong nak buat bersungguh-sungguh. Mereka akan jadi lebih kreatif dan inovatif," ujarnya lagi.

Bagai kejutan

Tahun ini, tahun yang cukup bertuah buat Cikgu Hailmi.

Mana tidaknya, terpilih untuk mengikuti kursus Honeywell Educators di Akademi Angkasa Lepas bertempat di Pusat Roket dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat, Alabama, sememangnya di luar jangkaan.

"Terkejut sangat. Terima kasih kerana pilih saya," jelasnya.

Terpilih Untuk Honeywell Educators di Akademi Angkasa Lepas 2018.

Cikgu Hailmi berkata, tahun lepas namanya sudah tercalon untuk kursus tersebut, tetapi disebabkan ada sedikit masalah, beliau tidak dapat ke sana.

"Saya buat perkongsian melalui blog dan you tube mengenai apa yang saya lalui nanti.

"Untuk pelajar pula, mungkin ada aktiviti menarik yang akan diadakan, mana tahu, selepas ini, makin ramai pelajar saya yang terdiri anak nelayan, anak kampung berminat untuk menjadi seorang angkasawan bila dewasa," akhiri Cikgu Hailmi.