TANJONG KARANG – Bukan sahaja aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO), Mohd Zamri Kahar, 49, yang juga merupakan Penolong Pegawai Pendidikan (Latihan) itu tidak betah duduk diam untuk menabur jasa kepada masyarakat.

Mohd Zamri yang juga Pengerusi Guru Aktif 1Selangor Daerah Kuala Selangor berkata, meskipun sibuk dengan urusan pendidikan namun baginya, aktiviti amal tetap diteruskan.

MOHD ZAMRI

“Jika sebelum ini saya aktif dengan belia sehingga menerima pelbagai anugerah peringkat kebangsaan dan pernah menjawat sebagai Pengarah Biro Tatanegara Selangor pada 2011 sehingga 2013 lalu.

“Banyak pengalaman dipelajari dan diaplikasikan di daerah ini apabila saya dilantik mengetuai Guru Aktif 1Selangor Daerah Kuala Selangor sekali gus memberi peluang untuk membela kebajikan warga pendidik.

“Ziarah Kasih Guru Aktif 1Selangor Daerah Kuala Selangor yang dianjurkan dapat menyelami permasalahan warga pendidik dan membela kebajikan keluarga mereka,” katanya.

Bermula guru biasa sehingga dilantik menjadi guru disiplin di SMK Tiram Jaya sebelum ini memberi pelbagai pengalaman cukup menyentuh hati lebih-lebih berdepan dengan ragam pelajar tak berkesudahan.

Anak jati Tanjong Karang itu berkongsi pengalaman menangkap pelajar yang kantoi mencuri duit syiling dalam mesin jualan minuman layan diri namun kisah pelajar itu memberi kesan dalam hidupnya.

Ziarah Kasih Guru Aktif 1Selangor Daerah Kuala Selangor menyelami masalah pendidik dan keluarga.

“Saya masih ingat ketika itu, pelajar tu kantoi mencuri duit dalam mesin tu. Bila saya siasat dan tanya kenapa buat macam tu, pelajar tu menceritakan sebab sehingga menyentuh perasaan.

“Pelajar itu bukannya tergolong dari keluarga yang berada dan terpaksa simpan duit untuk makan tapi disebabkan teringin untuk membeli air minuman bertin dalam mesin tu, dia sanggup ikat perut.

“Sampailah satu masa duit yang disimpan cukup untuk membeli air tin tersebut tapi alangkah malangnya duit dalam mesin tu tersangkut menyebabkannya berang dan cuba mengambil semula duit,” katanya.

Tindakan itu jika dipandang dari kaca mata luar katanya, mungkin perbuatan budak nakal yang cuba merosakan mesin minuman layan diri terbabit tetapi sebenarnya pelajar itu mangsa keadaan.

Sumbangan sarapan percuma tetap diteruskan meskipun Mohd Zamri berpindah ke PPD Kuala Selangor.

“Bila diselidik, rupanya ada budak lain yang menyumbat sesuatu pada saluran duit menyebabkan banyak duit syiling tersangkut. Mungkin kerja budak nakal yang cuba dapatkan duit dengan cara mudah," katanya kepada Sinar Harian.

INFO

- Berkhidmat di SK Kapar (1990-1997)
- Sambung belajar peringkat ijazah sarjana muda di UPSI
- Berkhidmat di SMK Tiram Jaya (2000- 2011)
- Berkhidmat sebagai Pengarah Biro Tatanegara Selangor (2011-2013)
- Berkhidmat di SMK Tiram Jaya (Guru Disiplin) (2013-2017)

Pencapaian

- Penerima Pingat Pangku Negara
- Tokoh Belia Kebangsaan