Sebut sahaja nama Cikgu Ramlan pasti ramai yang mengenalinya.

Ramlan Mohamad, 60, sangat popular dalam kalangan guru-guru dan pelajar sepanjang 24 tahun mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok (SMKTD) berikutan perwatakannya yang ceria dan tidak lekang dengan sifat ramahnya.

Menurutnya, seorang guru perlu letakkan diri mereka lebih dekat dengan pelajar.

“Kita tak mahu ada jurang, saya anggap diri saya ibarat seorang ayah, abang dan sahabat bukan saja kepada pelajar, malah keseluruhan warga sekolah.

“Jadi, tak ada masalah jika pelajar saya dikatakan mesra dan selalu gelak ketawa apabila bersama saya..tapi bila masa serius kita perlu serius,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis persaraannya di sekolah itu, di sini baru-baru ini.

Beliau yang pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 1998 dan 2008 itu pernah menjadi antara individu yang aktif dalam sukan sepak takraw dan juga pernah merangkul Anugerah Kecemerlangan Sukan Sepak Takraw MSSS 2005 dan Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum peringkat daerah Kuala Langat 2016.

Beliau berkata, antara momen indah yang tidak dapat dilupakan di mana beliau pernah melahirkan beberapa pemain sepak takraw yang mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa antaranya Mohd Arif Busu dan Mohd Farid Aziz.