KEMAMAN - Sebut saja nama Cikgu Lan pasti ramai mengenalinya di Kemaman kerana bapa kepada seorang cahaya mata itu bukan sahaja merupakan jurulatih ragbi daerah malah terkenal sebagai seorang deejay sambilan.

Cikgu Lan atau nama sebenarnya, Ruslan Muda, 43, turut menjadi kebanggaan di sekolah beliau berkhidmat ketika ini iaitu, Sekolah Kebangsaan (SK) Cheneh Baru kerana berjaya membawa nama sekolah dan daerah ke peringkat negeri menerusi sukan ragbi.

Kejayaan yang terbaru dirangkul adalah apabila pasukan SK Cheneh Baru yang dilatihnya muncul naib johan Plate Kejohanan Ragbi Bawah 12 Tahun Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) 2018 yang berlangsung di Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Nerus.

Cikgu Lan berkata, beliau berpuas hati dengan kejayaan yang diraih pasukannya itu dan berazam untuk membawa nama daerah dan nama sekolahnya ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, penyertaan dalam kejohanan peringkat negeri yang diwakili pasukan terpilih dari tujuh daerah seluruh Terengganu itu kecuali Kuala Terengganu memberi pengalaman berharga buat kesemua pemainnya untuk memperbaiki kelemahan dan mengasah kepakaran.

“Tak banyak sekolah di Kemaman yang ada pasukan ragbi, cuma ada tujuh sekolah saja di Kemaman yang wujudkan pasukan ragbi setakat ini.

“Jadi sebagai jurulatih ragbi daerah sejak 2003 memang jadi hasrat saya untuk kembangkan sukan ini,” katanya.

Gilap bakat murid

Menurut Cikgu Lan, bakat muridnya dalam ragbi digilap sejak di tahun tiga dan jika murid dilihat benar-benar berminat dan berbakat mereka akan dipilih sebagai 12 pemain pasukan ragbi sekolah.

“Di peringkat sekolah sendiri, setiap tahun pasukan ragbi saya akan mengharungi dua kejohanan masing-masing di bawah umur 12 tahun dan 11 tahun.

“Setakat ini juga dua pemain sekolah saya turut menjadi pemain daerah dan saya letakkan sasaran agar pasukan ragbi peringkat daerah nanti dapat mewakili negeri dalam kejohanan peringkat kebangsaan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai cabaran untuk mengembangkan sukan ragbi di peringkat daerah, Cikgu Lan berkata, persepsi bahawa sukan ragbi adalah sukan yang ganas dan berbahaya sehingga ada segelintir ibu bapa tidak membenarkan anak mereka untuk aktif dalam sukan itu cuba ditangkis oleh beliau.

“Sukan ragbi di peringkat sekolah rendah cuma ‘ragbi sentuh’, ia berbeza dengan ragbi tackle di peringkat sekolah menengah.

“Bagi menunjukkan kepada ibu bapa dan orang ramai akan permainan ragbi secara dekat, salah satu cara yang saya lakukan adalah dengan melatih pemain saya di padang awam iaitu di padang milik Ketengah.

“Ragbi peringkat sekolah rendah ini lebih kepada permainan minda sebenarnya, ia melatih kanak-kanak berfikir bagaimana mahu tembusi kubu lawan,” katanya.

Komitmen jitu Cikgu Lan dalam pembangunan sukan ragbi di Kemaman juga membuatkan beliau dinobatkan sebagai Guru Terbaik Kokurikulum Daerah Kemaman 2006 mewakili Pusat Kegiatan Guru (PKG) Cheneh.

Cipta pelbagai kejayaan

Pelbagai kemenangan juga dicipta setiap tahun oleh pasukan yang dilatihnya termasuk pasukannya pernah muncul sebagai johan pertandingan Kejohanan Ragbi Bawah 11 Tahun pada 2008.

Dek pengalaman luasnya dalam pembangunan sukan ragbi, Cikgu Lan juga diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pengadil ragbi daerah.

Cikgu Lan juga bukan sahaja aktif dalam sukan malah aktif dalam kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) dan kerja-kerja kesukarelawan.

Beliau juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Guru Muda Kemaman sejak tiga tahun lepas yang mana program itu diilhamkan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


 

INFO:

-Guru Terbaik Kokurikulum Daerah Kemaman 2006

-Menjawat peranan sebagai Pengerusi Pertubuhan Guru Muda Kemaman