SIAPAKAH Thabit Ibn Qurra?
Nama lengkap tokoh ini ialah Abu al-Hasan Thabit bin Qurrah bin Marwan al-Sabi al-Harrani.
Thabit dilahirkan di Harran yang terletak di antara sungai Dajlah dan Furat di\ Mesopotamia Tinggi/Asyur (Turki moden sekarang) pada tahun 221H (836 M).

Beliau berasal daripada keluarga Ash-Shaibah dan boleh bertutur dalam bahasa Greek dan bahasa Arab.

Thabit dikatakan banyak membuat terjemahan ke atas karya ilmuwan Barat seperti Apollonius, Archimedes, Euclid, dan Ptolemy.

Di dunia Barat beliau dipanggil sebagai Thebit.

Meskipun ada pihak mendakwa, figura ini terpengaruh dengan Plato dan Aristoteles, namun beliau dikatakan kerap mengkritik idea ilmuwan asal Yunani itu.

http://172.20.3.104:8080/polopoly/polopoly_fs/1.924585.1554509976!/image/image.png

Thabit banyak membetulkan pemikiran Plato dan Aristoteles khususnya mengenai gerakan ('motion').
Berbekalkan kecerdasannya, ilmuwan Islam ini telah menemui banyak pengetahuan dan perkembangan dalam ilmu Matematik.
Berdasarkan satu penulisan ilmiah, Thabit diriwayatkan menjadi individu signifikan dalam penemuan ilmu geometri analitik, kalkulus, trigonometri, astronomi dan banyak lagi.
Ketinggian ilmunya dikagumi seorang ahli Matematik lain iaitu Muhammad Ibn Musa Ibn Shakir.
Justeru, Muhammad Ibn Musa telah memilih Thabit untuk menyertai kumpulan ahli sains di Baghdad yang diperintah oleh Khalifah Abbasiyah.
Karya hebat
Selain menterjemah karya Yunani, Thabit juga menghasilkan Kitab al-Mafrudat (Kitab Data).
Buku ini antara lain memberi penjelasan mengenai geometri dan al-jabar geometri.
Dalam Kitab Fi Ta'lif an-Nisab (buku tentang susunan nisbah), beliau menjelaskan mengenai teori senyawa nisbah.
Teori ini kemudian melahirkan gagasan bilangan sebenar dan untuk penemuan integral kalkulus.
Ilmuwan Islam dikagumi ini juga menghasilkan kitab yang berjudul Kitab Fi'al-Qarastun.
Inilah karyanya yang monumental dalam bidang ilmu mekanik.
Kitab ini telah diterjemah ke dalam bahasa Latin oleh Gherard dari Cremona.
Ia dikatakan sangat popular dalam kalangan sarjana Barat.
Dalam bidang astronomi pula, Tsabit menulis banyak risalah mengenai pergerakan matahari dan bulan.
Beliau juga mengukur luas bumi dengan menggunakan garis bujur dan garis lintang secara teliti.
Karya Thabit dalam astronomi yang terkenal berjudul 'Concerning the Motion of the Eighth SphereIa'.
Penemuan Thabit seterusnya amat menarik.

Tahukah anda, beliau telah memberikan inspirasi kepada pelaut seperti Colombus untuk melakukan pelayaran mengelilingi dunia yang dimulai dari Laut Atlantik.
Berkat penemuan tersebut, pelaut tidak akan tersesat.
Pun demikian, sejarah tertulis bahawa ciptaannya yang paling penting ialah jam matahari.
Jam ini menggunakan sinar matahari untuk mengetahui peredaran waktu dan menentukan waktu solat.
Selain itu, tokoh ini juga telah menghasilkan kalendar tahunan berdasarkan sistem matahari.
Profil Thabit Ibn Qurrah
Gelaran: Thebit
Tempat lahir: Harran, Turki
Tarikh meninggal dunia: 18 Februari 901 TM di Baghdad, Iraq
Ibu bapa: Qurra Ibn Marwan al-Sabi al-Harran
Anak: Sinan ibn Thabit
Bidang: Mekanik, Astronomi, Matematik Tulen dan geometri.
Antara karya agung: 'The Astronomical Works of Thabit B. Qurra', Kitab 'Fi' al-Qarastun', Kitab 'al-Mafrudat'