BUKAN semua anak miskin ingin meneruskan kemiskinan mereka.

Mereka mahu berjaya, cuma perlu diberi ruang dan peluang serta dibantu agar mereka berupaya bersekolah seperti mana rakan lain.

 Begitulah prinsip dipegang guru Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Zurina Zakarya.

Cikgu Zurina berkata, setiap insan dahagakan kejayaan.

Kemiskinan hidup, pergolakan keluarga, masalah kesihatan diri dan juga kesihatan anggota keluarga antara menjadi punca pelajar mengabaikan pelajaran.

"Justeru mereka mengambil mudah sama ada ponteng atau berhenti sekolah bagi mencari sumber pendapatan, dan pada masa yang sama menjaga keluarga yang sakit.

"Marilah kita mengubah mentaliti seperti ini. Pelbagai program telah dirangka dan dilaksanakan bagi menyebarluasakan dan meningkatkan kefahaman pelajar dan ibu bapa mengenai kepentingan menuntut ilmu," katanya.

Katanya lagi, mereka sebenarnya mahu berubah, cuma masalah yang membelenggu hidup mereka membuatkan mereka terperangkap dalam situasi tersebut.

 "Projek Touch and Torch SMK Jerai memenangi tempat ketiga Pertandingan Amalan Terbaik Perkhidmatan Kaunseling dalam Seminar Kaunseling Peringkat Antarabangsa sememangnya memberi fokus untuk mengenal pasti keperluan murid (touch) dan memberi panduan (torch) agar mereka membebaskan diri dan keluarga daripada cengkaman kemiskinan," katanya.

Menurut Cikgu Zurina, kemiskinan hidupnya sendiri ketika zaman persekolahan juga menjadi pemangkin utama untuk beliau membantu anak didik.

"Saya meninggalkan persekolahan tingkatan 6 atas, terpaksa menolak tawaran Politeknik dan ITM pada kemasukan Disember 1994. Sebaliknya menerima tawaran ke maktab perguruan atas faktor kewangan.

"Saya pilih untuk berada di maktab kerana diberi elaun berbanding yang lainnya memerlukan wang yang banyak," katanya.

 Selepas setahun bergelar pendidik, beliau menduduki peperiksaan STPM secara persendirian pada 1998 dan mendapat keputusan yang melayakkan memohon pengajian peringkat ijazah.

"Membesar dalam persekitaran yang serba kekurangan membuatkan saya nekad membantu anak didik saya agar dapat melanjutkan pengajian setinggi yang boleh untuk mengubah nasib keluarga," katanya.

Cikgu Zurina (kiri) ketika mengadakan lawatan ke rumah pelajar miskin.

 

Kenangan paling tragis

Bercakap mengenai kenangan paling tragis, Cikgu Zurina pernah berhadapan seorang pelajar lepasan PMR 2011 yang mendapat tawaran ke Sekolah Menengah Sains Muar, Johor.

"Ketika itu, dia berhasrat untuk menolak tawaran tersebut kerana faktor jarak (Kedah–Johor), kemiskinan ibu dan ayah yang hanya berkerja mencari hasil hutan iaitu ulam-ulaman dan menjual di pasar malam sekitar Sungai Petani dan Kuala Ketil.

Ibunya ketika itu sedang sarat hamil.

"Setelah dijalankan sesi kaunseling individu dan konsultasi keibubapaan, pelajar berkenaan akhirnya membuat keputusan melanjutkan pengajian ke SBP tersebut.

Kata Cikgu Zurina, perjalanan beribu-batu pelajar itu bermula dari langkah pertamanya.

"Seterusnya, selepas mendapat keputusan SPM yang cemerlang pelajar ini melanjutkan pengajian ke INTEC, Shah Alam sebagai persediaan ke luar Negara. Kini, dia menuntut dalam bidang kejuruteraan di University of Colorado Boulder, Colorado, Amerika Syarikat," jelasnya.

 

Cikgu Zurina ketika menyampaikan sumbangan komputer riba, mesin pencetak dan seterika kepada bekas pelajar yang mendaftar sebagai mahasiswa UPM, tiga tahun lalu.

 

Sumber dana

Cikgu Zurina turut berkata dana untuk bantuan Wang Saku Harian disumbangkan oleh sebuah syarikat NGO, Pink Squad.

"Bernilai RM5 sehari dipecahkan iaitu RM3 dalam bentuk kupon belian makanan (sama ada belian di kantin atau koperasi sekolah). RM2 diberi tunai untuk di isi minyak petrol ke  dalam motosikal (pengangkutan utama pelajar ke sekolah). 

"Diperolehi sejak 2017 iaitu untuk seramai lima pelajar. Kemudian bertambah seramai 10 orang pelajar pada 2018. Kemudian terus meningkat kepada seramai 15 orang pada 2019. 

Kategori penerima adalah miskin tegar/ anak yatim/ bapa atau ibu sakit dan tiada punca  pendapatan," katanya. 

Katanya, beliau menghubungi Pink Squad melalui sahabat Facebook yang telah tagging saya di Facebook apabila pihak Pink Squad menghebahkan bahawa mereka membuka tawaran untuk sumbangan wang saku. 

"Sahabat FB tagging saya kerana mereka mengetahui bahawa saya aktif membantu pelajar untuk mereka dapat bersekolah dengan baik dan mengubah nasib  keluarga," jelasnya.

Selain itu, Cikgu Zurina turut mencari dana Untuk Yuran Kemasukan dan Wang Saku ke Ijazah Pertama dua orang bekas murid (lepasan STPM 2015 di SMK Baling) pada 2016. 

"Kedua-dua bekas pelajar ini menerima tawaran belajar di UPM dan UPSI masing-masing.

Tetapi tiada wang untuk membiayai yuran pengajian itu.

Cikgu Zurina (dua, kiri) dan rakan guru menziarahi dan menyantuni pelajar yang berkorban menjaga ibu yang sakit sementara dua kakak dan seorang abang belajar di IPT.

 

"Saya dapat maklumat awal melalui bekas pelajar itu sendiri dan melalui penduduk kampung yang merupakan kenalan kepada saya. Waris pelajar maklumkan jika menolak tawaran belajar ini kerana faktor kemiskinan, anaknya mungkin hanya akan menjadi jurujual di kedai pakaian sekitar pasaraya Billion Baling," katanya.

Menurut Cikgu Zurina, nilai kutipan keseluruhan ketika itu berjumlah RM 12000.

"Ia dikumpulkan melalui kutipan sahabat-sahabat di facebook dan Persatuan Pendidik Gemilang Daerah Baling. Jumlah tersebut dibahagi kepada dua orang bekas pelajar.

Lebihan dari jumlah yuran, disampaikan melalui pembelian sebuah komputer riba, mesin  pencetak dan seterika.

"Kita juga ada memberi bantuan pakaian raya dari sumbangan guru-guru, kenalan Facebook dan Tabung Badan Kebajikan Pelajar," jelasnya.

 

Cikgu Zurina (dua,kanan) ketika menerima lawatan bekas pelajar yang pernah dibantu sedang bercuti semester.

Bekas murid datang cari cikgu

Cikgu Zurina turut berkata, ramai bekas pelajar yang datang kembali mencarinya terutama pelajar selepas memperoleh keputusan STPM.

"Mereka akan bertanyakan kursus yang bersesuaian dengan minat mereka. Ada juga mereka yang masih belajar di IPT, akan datang ke sekolah ini apabila bercuti semester.

"Yang terbaru, saya menerima kehadiran bekas pelajar SPM 2014, Mohd Firdaus Mohd Sabri, merupakan pelajar di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam, Pulau Pinang (Diploma Elektronik) untuk mendapatkan nasihat dan tips bagi menempuhi pengajian dan mendapat kekuatan setelah menerima  amanah sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar di IKTBN itu pada 1 Mac 2019 yang lalu," ujarnya.

 

Cikgu Zurina menyampaikan sumbangan wang saku harian kepada pelajar.

 

REAKSI

 

PROFIL