GOMBAK - Meskipun baharu berusia 33 tahun, namun dia sudah dilantik sebagai ketua guru disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kertas yang dikira ketua guru disiplin paling muda dalam sejarah pendidikan di daerah Gombak.

Namun usia bukan penghalang buat dirinya untuk mendidik pelajar-pelajar yang bermasalah dengan merubah pelajar itu kepada seorang yang lebih berdisiplin.

Berpegang kepada konsep mendidik pelajar dengan cara mendekati mereka dan menjadikan mereka sebagai kawan, Mohamad Farid Mohamad Fauzi, 33, atau lebih dipanggil cikgu Fafau dalam kalangan pelajar menjadi ketua guru disiplin yang sentiasa disenangi pelajar-pelajar di SMK Sungai Kertas.

Bapa kepada tiga cahaya mata berusia tiga hingga tujuh tahun itu memaklumkan dia mendidik pelajar-pelajar bermasalah dengan mewujudkan hubungan rapat dengan mereka.

“Saya tak suka tegur pelajar itu secara terus hingga boleh menjatuhkan air mukanya di hadapan khalayak meskipun dia pelajar yang bermasalah.

“Saya mengguna pakai cara mengenal pasti punca masalah dan cuba memberi nasihat seterusnya memberi teguran sebagai seorang bapa kepada anak-anak,” katanya.

Beliau mengakui kebanyakan pelajar bermasalah datangnya daripada keluarga yang bercerai berai dan latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.

“Bagi peringkat seterusnya, saya akan panggil keluarga atau penjaga dan jika pelajar itu berterusan melakukan kesalahan seperti ponteng sekolah dan sebagainya, saya akan beri amaran.

“Saya dapati pendekatan yang saya lakukan banyak memberi kesan kepada pelajar berkenaan sehinggakan ada yang sudah berubah dan berjaya menjadi antara pelajar yang cemerlang,” katanya.

“Seorang pelajar yang juga bekas pelajar bermasalah yang pernah saya rotan telah membantu saya membeli minyak motosikal di sebuah stesen minyak berdekatan.

Menurutnya ketika itu minyak motornya kehabisan minyak.

“Saya memang tidak sangka dia sanggup berbuat demikian apatah lagi dengan peristiwa dia pernah dirotan oleh saya sendiri,” katanya.

Menurutnya, pelajar itu kini telah menyambung pengajian ke peringkat tertinggi dan apa yang membuatkannya bangga apabila pelajar itu tidak pernah menyimpan dendam terhadapnya.

Bersama pelajar-pelajar ketika menjadi Jurulatih pasukan Softball SMK Sungai Kertas.

“Kesanggupannya membantu saya membuktikan dia sudah berubah dan bersyukur dengan apa yang saya lakukan terhadapnya dengan niat mahu ‘mendidiknya’ pada suatu ketika dahulu.

“Saya akui saya bangga mempunyai bekas pelajar yang bersikap murni dan tidak mengharapkan apa-apa balasan termasuk wang ringgit,” katanya.

Lantaran itu, pentadbiran sekolah melantiknya sebagai Pengarah Projek Cabaran Domino Malaysia pada 27 September 2017 lalu untuk Malaysia Book Of Records.

“Pada mulanya saya memang terkejut namun saya menerima baik pelantikan itu kerana saya tahu di sekeliling saya semuanya sahabat-sahabat yang hebat dan sentiasa positif untuk bersama-sama menjadi satu pasukan yang kuat.

Bersama guru-guru yang bekerja keras untuk Malaysia Books Of Records tahun lalu.

“Tahniah untuk semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan misi berkenaan sehingga kita berjaya meskipun berdepan beberapa percubaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 2016 yang menjadi motivasi dan dorongan untuknya terus berjaya dalam bidang pendidikan.

PROFIL

Nama : Mohamad Farid Mohamad Fauzi

Umur  : 33 tahun

Pendidikan:

- SMK Raja Puan Muda Tg Fauziah, Perlis - 1998-1999
- SMK Padang Besar (U) Perlis - 2000-2002 (SPM)
- SMK Syed Alwi, Perlis - 2003-2004 (STPM)
- Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Pengajian Media) di Universiti Malaya (UM) - 2005 - 2008
- Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) di Upsi (Pengajian Am) - 2009-2010
- Guru di SMK Sungai Kertas - September 2010 - hingga sekarang.