Siapa sangka bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Endau ini mampu mencipta nama sebaris dengan pakar di universiti terkenal di Amerika Syarikat (AS)?

Malah daripada lima profesor di Eastern Kentucky University, AS, beliau satu-satunya wanita Muslim dari luar negara yang mendapat kenaikan pangkat profesor penuh.

Suatu pencapaian yang wajar dicontohi dan dijadikan inspirasi.

Profesor Dr Faridah Awang, 52, kembali menjadi tumpuan pada hujung tahun lalu selepas beliau memutuskan untuk menerima tawaran menjadi tokoh masyarakat bagi berkongsi sebanyak mungkin ilmu dengan masyarakat termasuk di negara ini.

Menurut anak kelahiran Jalan Bulang, Endau, Mersing ini, keputusan itu dibuatnya hujung tahun lalu dan beliau mula menerima undangan menjadi tetamu di majlis ilmu, stesen radio
dan televisyen serta akhbar.

“Saya buat keputusan untuk tak jadi ‘public figure' (tokoh masyarakat) sudah bertahun lamanya, banyak pihak pujuk saya keluar TV (televisyen) dan sebagainya. Tapi apabila saya disahkan menghidap penyakit kronik dan keadaan kesihatan saya semakin meruncing, saya konsultasi dengan guru-guru saya di AS.

“Mereka kata, sebelum kita mati kita perlu buat sesuatu yang memberi impak besar kepada manusia.

“Bukan untuk mengejar populariti tapi ini adalah usaha terakhir saya untuk memberikan apa yang sudah saya pelajari dan kongsi sifat yang saya tanamkan untuk berjaya dengan masyarakat serta generasi akan datang,” katanya yang akan pulang ke tanahair pada Julai nanti.

Faridah

Sentiasa ingat asal-usul, belajar lapan jam sehari

Menurutnya, pencapaian yang digapainya selama ini membuktikan orang Endau, Mersing mampu setanding dengan orang-orang hebat termasuk di Barat.

“Pada saya, kalau nak berjaya, kena tanamkan semangat bahawa kita ini wakil orang-orang Endau dan pencapaian kita tu wakil kepada orang-orang kita. Ke mana saya pergi, saya sentiasa tanamkan dalam diri sendiri bahawa saya yang terbaik.

“Ini akan jadi pemacu agar saya tidak melakukan sesuatu sambil lewa. Saya belajar lapan jam sehari. Saya berusaha untuk sentiasa lebih bersedia, masuk ke kelas pun saya dah belajar dulu.

“Saya terima Anugerah Presiden ketika belajar di Oklohama sewaktu semester pertama. Itu adalah salah satu cara saya menghargai asal-usul saya.. dari Endau, dari Malaysia,” katanya yang menetap di AS lebih 22 tahun.

Ujarnya, daripada sebelum berlepas ke AS lagi, beliau sudah berniat untuk melakukan sesuatu demi Islam di negara Uncle Sam itu.

“Sebab saya tak nampak di AS itu macam ‘role model’, imej yang unggul atau sesuatu yang mereka pandang gah daripada dunia Islam. Selalunya orang Barat saja yang dipandang gah, pencapaian hebat.

“Jadi, saya kata pada diri, saya perlu melakukan sesuatu yang drastik, yang lebih baik. Biar mereka pandang kita, hormat agama, kebolehan dan pemikiran yang kita miliki. Alhamdulillah ALLAH SWT berikan saya akal serta kelebihan,” katanya.

Menyebarkan Islam selama 22 tahun di AS, Faridah ada caranya yang tersendiri bagi memastikan agama ini terus subur dan dihormati.

“Pertama dengan penampilan saya bertudung. Pelajar saya terutamanya akan menilik saya atas bawah, apa saya pakai tiap kali masuk kelas. Kedua, cara saya bekerja. Semua kerja saya kualitinya 120 peratus di mana saya buat sesempurna mungkin supaya tiada orang yang boleh pertikai hasil kerja saya.

"Ketiga, dengan kelas agama serta mengaji. Ramai kanak-kanak di sana yang beragama Islam tiada guru untuk mengajar agama.

“Jadi, apabila saya lihat kanak-kanak itu tak tahu sembahyang, mengaji.. saya kata ini fardu kifayah dan saya perlu buat sesuatu. Alhamdulillah.. ALLAH gerakkan hati saya untuk buka sekolah agama dan al-Quran sejak 2004 lagi," katanya.

Kata Faridah, sekolah agama dan kelas mengaji dimulakan di kawasan tempat beliau tinggal dan dua bandar.

Faridah berkongsi pengalaman dan tips dengan orang kampungnya dalam program Sirih Pulang ke Gagang, di Endau, baru-baru ini.

Kemalangan ngeri bawa sinar

Pada tahun 1999, Farida dan anaknya, Hafiz, 27, yang ketika itu berusia 9 tahun terlibat dalam kemalangan ngeri yang menyebabkan kedua-duanya cedera tulang belakang.

“Saya diarahkan pulang ke Malaysia oleh majikan saya, namun ketika itu saya masih mahu menghabiskan pelajaran dan menyebarkan Islam di AS. Saya memandu kereta ke beberapa bandar bersama Hafiz tanpa arah tujuan sebab saya tertekan ketika itu.

“Kemudian, saya berdoa kepada ALLAH ‘Ya ALLAH, jika misiku untuk menyebarkan Islam di AS ini mendapat restu-Mu, benarkan aku tinggal di sini biarpun Kau ambil nyawaku ketika
ini’.

“Tiba-tiba bunyi dentuman kuat dari sebelah kanan tempat Hafiz. Kereta terbalik dan kami melambung ke atas jalan raya akibat dilanggar kereta lain. Saya terlantar enam bulan sebab 22 tulang belakang saya beralih, Hafiz pula 17 tulang belakangnya yang beralih.

"Hafiz pulih selepas beberapa minggu, dia yang jaga saya,” katanya.

Namun, beliau menganggap kemalangan itu tanda ALLAH menyayanginya dan juga sebagai respons secara langsung kepada doanya.

Kini, anak lelaki sulungnya itu bakal menjadi calon senator di Ohio.

Faridah menerima cenderamata daripada Ketua Wanita Umno Mersing, Alwiyah Talib dalam majlis Sirih Pulang ke Gagang di Endau.

PROFIL

Nama: Farida Awang

Asal: Endau, Mersing

Pendidikan: SK Bandar Endau, SM Ungku Hussin dan SM Vokasional Kluang

Jawatan kini:  Profesor Komunikasi Korporat dan Teknologi di  Fakulti Pentadbiran, Pemasaran dan Perniagaan Antarabangsa di Eastern Kentucky University, AS.