“Tak payahlah balik Perak…kamu ajar lah anak orang betul-betul.. Itu amanah.. kamu jadi guru yang baik.. ajar anak murid kami jadi orang berguna” Itulah pesanan allahyarhamah Mohaini bt Mohamed (disedekahkan al fatihah buat allahyarhamah) bonda Cikgu Nurul Redzuan apabila mendapat tahu bahawa Cikgu Nurul ditempatkan di Sabah.

Pesanan bonda itu dipegang sampai bila-bila kerana ia bagaikan amanah ibu kepadanya.

Pada tahun 2011, Cikgu Nurul Redzuan lepasan IPGM Raja Melewar Negeri Sembilan telah dihantar bertugas sebagai guru di Daerah Tenom Sabah.

“Mulanya saya susah hati juga kerana terpaksa berpisah dengan ibu. Namun hati saya tetap ingin mencuba mencari pengalaman di tempat orang lain” jelas cikgu Nurul Redzuan bin Mohd Ramly yang berasal dari Teluk Intan Perak.

Setiba di Kota Kinabalu, beliau dan beberapa orang rakan disambut oleh pegawai JPN Sabah. Waktu itu beliau diberitahu bahawa dia akan ditempatkan di SK Rundum Tenom Sabah.

Dari bandar Tenom dia cuba bertanyakan tentang rumah sewa. Namun pegawai JPNS tersebut memberitahu bahawa di sekolah tersebut ada menyediakan kuaters. Maka barulah dia tahu bahawa SK Rundum terletak jauh di pedalaman. Malah sekolah tersebut di kategorikan sebagai P3.

Cikgu Nurul Redzuan terpaksa menunggu 1 minggu sebelum dapat pergi ke sekolah kerana terpaksa menanti kenderaan 4wd yang membawanya ke sana.

Perjalanan ke sekolah dari Tenom sejauh 110km juga sangat mencabar kerana terpaksa melalui jalan tanah merah dan gravel serta laluan balak yang kadangkala menjadi lebih sukar kerana berlumpur jika hari hujan. Perjalanan mengambil masa 3 jam jika cuaca panas dan jalan tanah kering. Tetapi jika musim hujan boleh memakan masa 5 ke 6 jam.

Cikgu Nurul Redzuan diberikan tugas sebagai guru matematik di sekolah yang mana pelajarnya hanya 40 orang murid. Beliau tetap memegang amanat bonda. “Jadi cikgu ajar anak orang sungguh-sungguh” dengan itu Cikgu Nurul begitu komited mengajar murid-muridnya sehingga ada yang berjaya mendapat B dalam matematik UPSR. Ini satu pencapaian yang baik bagi sekolah kecil dan terpencil.

Guru-guru di SK Rundum juga sebahagiannya terdiri dari guru Semenanjung dan juga Sarawak serta guru tempatan saling bekerjasama memastikan pencapaian murid ditahap yang membanggakan.

Bersama rakan guru

“Ibubapa di kampug ini sangat menitik beratkan pelajaran anak-anak mereka”

“Cikgu ajar anak kami baik-baik, jika mereka nakal hukum saja mereka” ujar ibubapa kepada guru-guru di SK Rundum.

Sekolah yang waktu itu dipimpin oleh guru besar Cikgu Gillod bin Madais bersama 10 orang guru 5 dari Semenanjung, seorang dari Sarawak dan 4 orang guru sabah.

Ada beberapa kisah yang tidak dapat dilupakan oleh cikgu Nurul Redzuan semasa berkhidmat di SK Rundum. Antara pengalaman yang tidak dilupakan oleh Cikgu Nurul Redzuan ialah terpaksa hiking selama 30 minit untuk mencari spot untuk membuat panggilan telefon.

Mencari tempat membuat panggilan telefon

Pada tahun pertama di SK Rumdum cikgu Nurul Redzuan diuji kerana terpaksa berjalan kaki dari sekolah selama 3 jam kerana jalan masuk terhalang akibat tanah runtuh. Cikgu Nurul waktu itu ingin menghadiri konvokesyen IPGM di Semenanjung. Tiga jam perjalanan diambil hingga ke SK Sumambu. Sehari selepas itu barulah dia ke Kota Kinabalu.

Satu lagi peristiwa ialah semasa beliau dan rakan ingin menghadiri kursus, jalan keluar dari SK Rundum ke bandar Tenom telah dihalang oleh runtuhan batu dan tanah serta pokok tumbang kerana hujan lebat pada malam sebelumnya.

Semasa nak pulang konvo, jalan terhalang terpaksa jalan kaki selama tiga jam

“Cikgu jangan risau…kalau jalan terhalang kami sama-sama tolong cikgu keluar” kata orang-orang kampung Rundum.

Orang kampung dan guru-guru membantu memotong kayu yang menghalang jalan masuk sekolah

Begitulah tinggi budi orang orang Murut di Sabah ini. Mereka sangat mesra dan baik hati walaupun terhadap guru-guru. Perjalanan keluar cikgu Nurul Redzuan berjaya juga malah Cikgu Nurul tersentuh melihat ada orang kampung sanggup memikul motorsikalnya keluar dari jalan berlumpur. Begitu tinggi nilai kerjasama orang orang Murut ini.

Motosikal lekat di lumpur bila hari hujan

Selain itu, Cikgu Nurul bersama guru-guru sekolah juga akan bersama-sama bergotong royong membersihkan takungan air graviti untuk kegunaan sekolah dan kampung.

Kemesraan guru-guru dengan murid membuatkan mereka rajin hadir ke sekolah. Walaupun serba kekurangan anak-anak Murut ini tetap belajar dengan bersungguh-sungguh.

“Saya juga sudah mahir berbahasa Murut dan Melayu Brunei selain berbahasa Melayu dialek Sabah dan sedikit bahasa Bisaya” kata Cikgu Nurul selepas ditanya tentang penguasaan bahasa di Sabah.

“Tapi masa mula-mula saya terkejut juga kerana ada perkataan yang asing bagi saya. Saya ingat lagi ada murid saya bertanya, Cikgu saya nak makan sasau ? Saya fikirkan sasau itu mungkin sayuran. Selepas saya order baru tahu rupanya Sasau tu ialah khinzir panggang atau sinalau bakas ” katanya sambil ketawa.

Lagi satu kalau mereka terperanjat mereka akan sebut Alie Reino! Merupakan sebutan kata seru seperti alamak atau Apuuuu di Sarawak.

Setelah 4 tahun di bumi Sabah ini membuatkan Cikgu Nurul Redzuan terpaut hati pada seorang ustazah dari kaum Bisaya di Beaufort ini. Akhirnya pada tahun 13 sept 2014, beliau mendirikan rumahtangga dengan gadis sabah yang bernama Azrinahwati Bt Ag Basar.

Berkahwin dengan gadis Bisaya

Pada tahun 2015 cikgu Nurul Redzuan telah berpindah ke sekolah baru di SK Saga Saga Membakut. Namun hubungan akrab dengan anak didik di Rundum tetap terjalin malah ada yang sudah belajar di tingkatan 6 di SMK Kemabong.

Di mana-mana pun SK Rundum tetap dihati cikgu Nurul Redzuan Mohd Ramly. Anak Teluk Intan Perak yang berkelana di bumi Beaufort Sabah.

Bersama anak didik

Demikianlah betapa cekalnya sebahagian guru-guru yang sanggup mengajar dan mendidik anak-anak Sabah di kawasan pedalaman. Yang utama bagi mereka ialah ilmu disampaikan supaya anak-anak ini dapat keluar menjadi masyarakat yang berilmu dan berguna kepada bangsa agama dan negara.

Terima kasih guru-guru Malaysia.