Kelincahan Muhammad Akid Mohd Zamri, 12, mengawal dan meledak bola ke gol menarik perhatian penonton yang menyaksikan perlawanan akhir Piala DYTM Raja Muda Selangor, baru-baru ini.

Tidak hairanlah namanya turut disenaraikan dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di bawah Kementerian Belia dan Sukan untuk menghantarnya ke Barcelona selama satu minggu dan berpeluang mengadakan perlawanan persahabatan bersama Kelab Marcet bagi kategori bawah 12 tahun.

Ternyata, bakat Muhammad Akid yang diasah sejak awal usia membuahkan hasil selepas berjaya melayakkan diri bukan hanya mewakili sekolah malahan daerah dan negeri.

MUHAMMAD AKID MOHD ZAMRI

Ibunya, Rizawati Ramli, 39, berkata, perjalanan zaman kanak-kanak Akid berbeza dengan rakan sebayanya apabila telah didedahkan dalam dunia bola sepak selain turut aktif dalam olahraga.

“Kalau nak kata risau jika dia bosan itu mustahil kerana dia tak mengeluh dengan kesibukan dirinya menjalani latihan dan perlawanan...tapi Akid akan sedih kalau minatnya itu tak dipenuhi.

“Ibu mana tak bangga bila anaknya berjaya sehingga menempatkan diri ke di Akademi Mohkhtar Dahari (AMD) iaitu akademi yang mengumpulkan pemain berpotensi demi masa depan bola sepak negara. Tapi saya selalu ingatkan dia supaya akademik jangan pula diabaikan,” katanya ketika ditemui di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19 sempena Hari Apresiasi 2017 Jumaat lalu.

Dalam majlis itu, Akid dianugerahkan Murid Cemerlang Kokurikulum dan Tokoh Kokurikulum daripada pihak sekolah.

Sementara itu, Akid berkata, dia mahu fokus dengan bola sepak dan meletakkan sasaran untuk menjadi pemain negara pada usia 16 tahun.

“Saya bermain bagi posisi sayap, tengah dan penyerang. Yang menjadi kegemaran saya adalah sayap kerana lebih banyak berlari dan banyak mengawal bola.

“Selain tunjuk ajar jurulatih, saya turut mempelajari teknik dan skil baru melalui YouTube dan menjadikan Neymar sebagai idola,” katanya.

Aksi Akid dalam perlawanan bersama pasukan Singapura.

Jelasnya, dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama keluarga, guru dan jurulatih yang banyak memberikan tunjuk ajar.

“Saya tidak tertekan walau aktif dalam bola sepak sejak awal usia tapi saya gembira kerana telah banyak diberikan pendedahan dan peluang sama ada di dalam dan luar negara.

“Pengalaman ke Barcelona dan diajar beberapa skil baru akan saya manfaatkan sebaiknya dan digunakan dalam perlawanan nanti,” katanya.

Akid kini sedang menjalani latihan di kem latihan pusat di Bukit Jalil sebagai persiapan Supermokh Cup pada 13 hingga 17 Disember ini.

Akid meraikan kemenangan bersama pasukan SRA1 Seksyen 19 selepas menjuarai Piala DYTM Raja Muda Selangor baru-baru ini.

INFO

- Bersekolah di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19 dan bakal memulakan sesi persekolahan tahun hadapan di tingkatan 1 di Akademi Mohkhtar Dahari (AMD), Pahang.

- Bakatnya yang aktif dalam sukan itu dikesan sejak di pra sekolah lagi dan telah diberikan pendedahan awal mengenai bola sepak sejak berusia enam tahun di Kelab MBSA sehingga berumur 11 tahun dan kini di Akademi Tunas Selangor.

- Pada usia tujuh tahun, Akid mula masuk padang menyertai perlawanan persahabatan antara kelab dan terus diberikan kepercayaan dalam kesebelasan utama mewakili sekolah, daerah dan negeri.