Peribahasa ‘kecil-kecil cili padi’ cukup sesuai menggambarkan kejayaan dikecapi Raja Izara Sofea Raja Anuar yang bergelar juara Muay Thai Kids Warrior seawal usia enam tahun, sehingga namanya mula dikenali sebagai pelapis sukan itu.

Kejayaan terbabit juga membuatkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Gombak 2 itu yang kini belajar di tahun dua, semakin gigih menjalani latihan Muay Thai bagi memastikan impiannya bergelar atlet profesional menjadi kenyataan.

Ditanya detik awal pembabitan dalam Muay Thai, dia yang mesra disapa Izara, memberitahu minatnya tercetus selepas sering melihat kalungan pingat, sijil dan hadiah kemenangan diterima kakak, Raja Izati Nabiha Raja Anuar, 17 serta abangnya, Raja Izaffudin Petra Raja Anuar, 13, dalam acara itu sehingga ke perlawanan antarabangsa.

“Sejak kecil saya menemani ayah, Raja Anuar Raja Ali, 46 dan ibu, Noraziah Ilias, 40, membawa kakak serta abang ke perlawanan, malah saya turut melihat mereka menjalani latihan di bawah tunjuk ajar ayah yang juga jurulatih sukan ini di bawah Kelab Rajawali Muay Thai dan  Pasukan Muay Thai Wilayah Persekutuan.

“Bila berusia enam tahun, saya mula menjalani latihan asas yang tidak terlalu berat seperti mereka kerana usia dan fizikal saya masih kecil,” kata atlet Kategori Amatur itu.

Ditanya tarikan Muay Thai, Izara menyifatkan sukan tersebut membentuknya menjadi individu berdisiplin, memiliki jati diri tinggi, lebih fokus, bersemangat juang dan bermotivasi.

Pembabitan itu katanya, membolehkan dia mengisi masa secara berfaedah, selain membina keberanian untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh.

Tambah Izara lagi, kejohanan Muay Thai yang kini semakin banyak dianjurkan di dalam dan luar negara turut menawarkan peluang besar kepada atlet untuk menyertai pertandingan peringkat antarabangsa, meraih kejayaan meluas serta membina kerjaya cerah.

Berkongsi cabaran membahagikan masa antara sukan digemari dan akademik, anak kelahiran Selangor itu menganggap dirinya bertuah kerana memiliki keluarga yang sentiasa memastikan dia mampu menggalas kedua-dua tanggungjawab sebaik mungkin melalui jadual tersusun.

“Selepas pulang sekolah, ayah akan pastikan saya menyelesaikan kerja diberikan guru, mengulangkaji pelajaran dan berehat secukupnya.

“Latihan kecergasan dan perlawanan Muay Thai pula diadakan pada hujung minggu serta hari cuti persekolahan, jadi tidak mengganggu pelajaran atau menjadikan saya stres daripada segi pengurusan masa,” katanya yang tetap menjalani latihan sukan itu bersama keluarga di rumah bagi mengekalkan stamina walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 kini.

Pada masa depan, tambah Izara, dia ingin menjejaki kejayaan kakak dan abangnya dalam sukan itu yang sering bergelar juara kejohanan di peringkat tempatan serta antarabangsa, seterusnya mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

 

Profil

Nama: Raja Izara Sofea Raja Anuar

Umur: 8 tahun

Sukan: Muay Thai Kategori Amatur (Kanak-Kanak)

Tarikh Lahir: 1 April 2013

Tempat Lahir: Hospital Selayang, Selangor

Sekolah: SK Taman Sri Gombak 2

Bilangan Adik Beradik: Anak bongsu daripada tiga beradik

Cita-cita: Inspektor polis dan atlet Muay Thai profesional

Hobi: Membaca buku cerita