"Setiap pencapaian bermula dari sesuatu yang kecil."

Itu kata-kata inspirasi yang selalu dipegang Arianna Saiful, 13. Orangnya kecil molek tetapi walaupun kecil, ada sesuatu kisah menarik terhadap bakat dan kebijaksanaan yang terserlah sejak usia muda.

Oleh kerana itu, pelajar sekolah swasta, Kolej Yayasan Saad (KYS), Seremban itu kini sudah menerima kira-kira 120 anugerah termasuk akademik dan kokurikulum sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Kalau dibandingkan dengan rakan seusianya, bilangan anugerah itu sudah tentu dianggap pencapaian luar biasa bagi mana-mana pelajar.

Menyingkap kembali pencapaiannya, sejak berada dalam darjah dua ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri, Seremban lagi, dia sering mendapat nombor satu dalam kelas.

Apabila berada di darjah tiga, Arianna mulai membuktikan kebijaksanaannya apabila memperoleh Anugerah Kokurikulum dalam Story Telling.

Bagaimanapun, tidak dinafikan pada awal usia muda, Arianna petah berbicara dan pernah dikatakan 'mengalahkan orang dewasa' bukan saja bahasa Melayu, malah bahasa Inggeris.

Pencapaiannya diteruskan apabila menerima Anugerah Murid Terbilang Kokurikulum Kategori Sekolah Rendah Perempuan 2016 dan naib johan dalam Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan Murid Cemerlang Kokurikulum Sekolah Rendah Perempuan 2016 ketika di SK Puteri.

Kedua-dua anugerah itu merupakan anugerah tertinggi diraihnya sepanjang di sekolah rendah sebelum dia mendapat keputusan yang cemerlang 6A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu.

Namun begitu, pencapaiannya tidak terhenti apabila Arianna sekali lagi meraih kejayaan dalam rekod peribadinya apabila dia antara 10 pelajar terpilih di Malaysia yang berjaya menempatkan diri di KYS menerusi biasiswa penuh tajaan Axiata Group Berhad di bawah Axiata Young Talent Programme.

Pernah bercita-cita jadi rockstar

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, setiap pencapaian diperoleh adalah hasil sokongan keluarga, guru dan rakan-rakan.

“Ibulah yang banyak membantu dan memberi perangsang kepada saya. Dia yang menggalakkan

saya mencuba setiap uji bakat pertandingan dianjurkan di sekolah.

“Sedikit demi sedikit saya aktif dan mula bertanding di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

Menurutnya, setiap kali menerima sesuatu anugerah, ia menjadikannya lebih bersemangat dan mahu mencapai sesuatu yang lebih tinggi lagi.

Arianna yang bercita-cita mahu menjadi Gabenor Bank Negara berkata, apa yang diimpikan sekarang adalah perlu berusaha kuat mencapai kejayaan lain tidak kira dari segi akademik mahupun kokurikulum.

“Walaupun saya kecil orangnya, tetapi saya percaya mampu menjadi seorang yang kuat dan berbakat. Saya juga mahu terus aktif di sekolah baru saya, Kolej Yayasan Saad," katanya

yang mempunyai hobi membaca, mengembara, dan menulis blog.

Sementara itu, ibu Arianna, Aida Samira Azhari 39, berkata, kejayaan yang anak sulungnya itu menerusi beberapa penerimaan anugerah adalah berkat usaha anaknya itu sendiri.

“Saya hanya pantau apa yang perlu. Tidak pernah mendesak, dia boleh melakukan apa yang disukai.

“Saya ingat lagi, semasa Arianna kecil dulu, pernah bertanya dah besar nak jadi apa. Kemudian Arianna beritahu dia mahu menjadi rockstar. Tapi saya beritahu, kalau mahu menjadi rockstar kenalah jadi rockstar yang berilmu.”

Menurutnya, pengorbanannya melepaskan kerjayanya sebagai seorang juruaudit demi untuk membesarkan anak-anaknya dirasakan amat berbaloi.

Piala-piala yang diperoleh Arianna dari segi pencapaian kokurikulum dan akademik sejak di sekolah rendah.