Sebelum ini, ramai yang tidak mengenali siapa Naim Hamid Hamidin. Jika ada pun, mungkin dalam kalangan para pelukis kerana Naim mahir melukis dan berjaya menghasilkan hampir 40 karya lukisan daripada cat minyak, cat air, charcoal dan sketches.

Kini, pelajar berusia 14 tahun dan sedang belajar di Sekolah Seni Malaysia, Johor ini mula menjadi sebutan ramai. Bukan kerana dia anak kepada pensyarah kanan Universiti Malaya dan peguam, tetapi kerana kehebatannya menyiapkan lukisan minyak potret Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, baru-baru ini.

Lukisan minyak yang dilukis atas kanvas berukuran 60 sentimeter x 72.5 sentimeter itu disampaikan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai cenderamata kepada Menteri Penerangan dan Kebudayaan Arab Saudi, Dr Adel Zaid  Al-Toraifi.

 

Ia diserahkan di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh (RIBF) 2017 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Riyadh (RICEC), di Riyadh, Arab Saudi.

Naim dikira cukup bertuah kerana dia bukan sahaja diberi peluang melukis potret Raja Salman, tetapi turut dijemput ke Riyadh, Arab Saudi bagi menyaksikan detik bersejarah lukisan tersebut disampaikan kepada wakil Raja Salman.

Ketika ditemu bual GPSBestari,com, Naim berkata, dia agak terkejut apabila dirinya jadi tumpuan.

"Sebenarnya, saya tidak pernah terfikir akan dikenali ramai. Tetapi, setelah berkunjung ke Riyadh dan ditemu ramah beberapa wartawan di situ, terdetik dalam hati yang diri akan dikenali kerana dapat masuk tv, majalah dan surat khabar.  

"Apabila orang kenal kita, saya menganggapnya sebagai satu anugerah. Bukan mudah untuk buat masyarakat pandang kita dan saya bersyukur dengan bakat kurniaan ALLAH SWT ini," kata pelajar kelahiran Semenyih, Selangor.

Ketika di Riyadh, Naim berjaya membuat lukisan sketches figura secara maraton lebih kurang enam hari secara terus. Dia mendapat tempahan daripada pengunjung di situ untuk membuat figura wajah mereka dan ternyata hasil kerjanya digemari serta mendapat pujian. Selain itu, Naim juga berpeluang melakukan ziarah ke Madinah dan Mekah serta mengerjakan umrah, iaitu sesuatu yang sangat bermakna buat dirinya.

Ujar Naim, dia akan terus melukis sampai bila-bila dan kini dalam proses menyiapkan karyanya iaitu figura seorang budak Somalia.

Kembang bakat

Bakat Naim mula dikesan ketika berusia sembilan tahun. Sejak itu, ibu bapanya menghantar Naim ke kelas lukisan Jomlukis, di Bangi kelolaan pelukis Faizal Zainal.

 

Pada hari pertama di situ, cikgu Faizal memberitahu kepada ibu bapa Naim bahawa hasil lukisan Naim iaitu sepasang ikan, agak 'baik' untuk peringkat usia tersebut. Menyedari Naim ada bakat dan potensi melukis, Naim mengikuti kelas lukisan di situ setiap hari Sabtu, tanpa gagal. Ibunya akan berbincang dengan cikgu Faizal setiap kali, setelah tamat kelas lukisan.

Apabila meningkat dewasa, Naim menyambung pelajarannya di Sekolah Seni Malaysia, Johor. Di situ, Naim berusaha meningkatkan lagi kemahirannya dalam bidang lukisan.

"Saya belajar semua kurikulum seperti di sekolah berasrama yang lain dan ditambah dengan subjek seni. Pihak sekolah menyediakan seorang guru mentor untuk saya, cikgu Nor Alisa Jamaludin. Beliau banyak membantu dan mendorong saya mengasah bakat dalam lukisan. Saya juga didedahkan kepada lebih banyak kemahiran dalam seni visual dalam kurikulum pembelajaran  di sekolah," kata anak kedua daripada empat beradik.  

Mengakhiri perbualan, Naim sempat berkongsi tip dan kata-kata nasihatnya kepada rakan-rakan di luar sana.

"Pencapaian saya pada hari ini (setakat ini) bukan sahaja bergantung kepada bakat. Saya memperuntukkan masa dan tenaga serta disiplin untuk melatih kemahiran melukis. Antara kata-kata yang dikongsi oleh cikgu Faizal kepada ibu ialah, saya tidak mengehadkan keupayaan saya setakat ini dan saya menerima apa sahaja 'cabaran' yang diberikan oleh beliau kepada saya.

"Untuk kawan-kawan yang berminat dalam bidang ini, antara cara paling mudah mempelajari cara melukis adalah melalui youtube, kelas melukis dan mempelajari bersama guru yang pakar dan berpengalaman. Paling penting, tak takut mencuba. Sokongan dan bimbingan ibu bapa juga amat diperlukan kerana sokongan mereka mampu memberi kejayaan buat diri seorang anak," ujar Naim yang menjadikan Jaafar Taib dan Dato Lat sebagai idola.