Seawal usia empat tahun dia sudah mula dihantar ke tadika di Setapak, Kuala Lumpur.

Pada usia lima hingga enam tahun, bersekolah di tadika Islam di Setapak Permai pula. Pada usia inilah Muhammad Uwais Mohd Hazril, 11, dikesan mempunyai tanda disleksia.

Dia kemudian dirujuk ke pakar kanak-kanak di Hospital Kuala Lumpur dan disahkan mempunyai masalah disleksia oleh doktor.

Sekolah khas

Ketika usia tujuh tahun, Uwais memulakan persekolahan di sebuah sekolah kebangsaan di Taman Keramat sebelum disarankan doktor bertukar ke sekolah khas yang mempunyai kelas untuk murid sepertinya.                       

Ketika berusia lapan tahun, Uwais bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Air Panas, Setapak dan mengikuti kelas inklusif disleksia.

Berpindah ke Pulau Pinang pada 2014, sekali lagi Uwais terpaksa bertukar sekolah. Semenjak usia sembilan tahun, dia kini bersekolah di SK Seberang Jaya yang juga mempunyai program untuk murid disleksia.

Jika merujuk Portal Myhealth, Kementerian Kesihatan (KKM) disleksia jika tidak dikenal pasti dan dibantu di peringkat awal boleh menyebabkan gangguan emosi, masalah tingkah laku dan menjejaskan pencapaian akademik.

Namun dari pandangan penulis, anak ketiga daripada empat beradik ini, tidak kelihatan langsung mempunyai ciri-ciri berkenaan dan nampak seperti kanak-kanak normal lain sebayanya.

Seorang anak yang mudah tersenyum, peramah, bersopan-santun, tidak hairanlah difahamkan dia disenangi oleh rakan-rakan. Hobinya membaca buku dan novel, sukakan muzik dan melukis serta mewarna.

Bukan setakat suka-suka melukis dan mewarna, lebih membanggakan pencapaian tertingginya setakat ini dengan hasil lukisannya mendapat tempat di peringkat antarabangsa. Cemerlang Kategori E / Kurang Pendengaran, Penglihatan dan Pembelajaran dalam Pertandingan dan Pameran Seni Lukis Pelajar Malaysia - Jepun Kali Ke-22 pada Ogos tahun lalu di bawah KPM. Hasil lukisannya kini diletakkan di Perpustakaan Osaka, Jepun.   

"Banyak juga saya menang pertandingan melukis hingga sampai peringkat kebangsaan. Saya memang suka melukis sejak usia empat tahun lagi. Dah lebih 100 lukisan saya buat.

"Selalu lukis guna pensel, krayon dan pensel warna. Suka melukis sebab dapat kepuasan. Selalu saya suka lukis pemandangan," katanya kepada GPS Bestari.com ketika ditemui dalam penyampaian hadiah Pertandingan Mencoret 'Cergas Bersama Antabax' Kembali Menyegarkan, di Galeri Seni, ibu negara, baru-baru ini.

 

Uwais melukis sejak berusia empat tahun.

 

Bakat melukis

Bakat kepimpinan Uwais juga terserlah apabila dilantik sebagai Pengawas Pusat Sumber dan Setiausaha Kelab Badminton, Ahli Jawatankuasa (AJK) Tahun 3 Kumpulan Pancaragam dan AJK Rukun Negara di sekolahnya. Malah dia juga Ketua Kelas Al-Quran Fardu Ain (Kafa) di Madrasah Nahdatul Hasanah, Seberang Jaya. Padanlah gemar membaca, Uwais juga mendapat Anugerah Nilam terbanyak di sekolah tahun 2015 dan 2016.

"Hari-hari saya melukis. Kalau boleh hendak melukis hingga sampai peringkat tertinggi. Cita-cita saya nak jadi doktor. Tapi jadi doktor pun perlukan jiwa seni.

"Terima kasih kepada ibu bapa saya banyak beri dorongan dan galakan. Saya hendak buktikan saya boleh berjaya. Nanti boleh balas jasa mereka," katanya.

Sementara itu, bapanya, Mohd Hazril Munir @Umar, 44, kakitangan kerajaan yang bertugas sebagai juruukur berkata, setiap Sabtu dan Ahad selalunya akan membawa Uwais dan adiknya yang juga mempunyai disleksia, Yousef Mohd Hazril, 9, menyertai pertandingan mewarna.

Menurutnya, sebagai bapa, beliau sendiri perlu memberikan galakan.

"Kadang satu hari join hingga dua ke tiga pertandingan. Kalau sehari tiga pertandingan, jika dua hari sudah enam (pertandingan). Bagi saya bila mereka sertai pertandingan sebegini ia meningkatkan keyakinan diri.

"Walaupun tak pergi mana-mana kelas mewarna, tapi dengan sertai banyak pertandingan dan lihat hasil karya orang lain, kemahiran dan kreativiti mereka datang sendiri," katanya.

Mohd Hazril berkata, hobi melukis sememangnya sesuai buat anak seperti Uwais yang kadangkala tahap kreatif mereka lebih lagi daripada orang biasa.  

Harapannya, Yousef juga mengikut jejak langkah Uwais dan anak-anak demikian menjadi anak soleh yang dapat membantu masyarakat melalui sumbangan kreativiti mereka.

Ibu Uwais, Hazlina Mohamed, 36, yang berhenti kerja untuk beri tumpuan kepada anak-anaknya menyifatkan anak disleksia boleh menjadi seorang berjaya dengan sokongan daripada masyarakat.

"Dorongan dan galakan guru juga sebagai pembakar semangat untuk Uwais berjaya dalam bidang diceburi. Guru Pendidikan Seni & Visual Sekolah, Cikgu Baidura Yaakob banyak bantu," katanya.

Bersama keluarga tersayang.