Nak belajar bahasa Arab bukan senang. Selain minat, seseorang itu perlu ada kesungguhan, kesabaran dan teknik yang betul untuk mendalami bahasa syurga tersebut.

Pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hisamuddin, Ahmad Fareez Abdul Wahab, 19, berkata, penuntut ilmu bahasa Arab kena ada teknik jika mahu mahir.

"Ada satu pepatah Arab bermaksud: Sebaik-baik kawan ialah buku. Maka, kita mestilah berkawan dengan buku-buku bahasa Arab terutamanya kamus kerana lidah kita bukan lidah orang Arab. Antara kelemahan pelajar termasuk saya adalah kurangnya membaca dan merujuk kamus. Hanya berharap kepada guru untuk menyampaikan maklumat. Itu salah. Kita sendiri harus mengambil inisiatif sebagai seorang pelajar.

"Selain itu, banyakkan berbicara atau berbual dalam bahasa Arab. Bermula tersasul-sasul, barulah kita boleh fasih bercakap dalam bahasa al-Quran ini," kata anak bongsu enam beradik itu.

Amat meminati bahasa Arab, Ahmad Fareez yang baru sahaja tamat persekolahan, bakal menyambung pengajian ke Madinah iaitu tajaan dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan kerajaan Selangor.

"Terkejut juga bila dapat tawaran belajar ke Madihah. Mungkin ini rezeki ALLAH buat saya. Setakat ini, saya baru selesai melalui proses permohonan. Insya-ALLAH, jika ada rezeki, Jais akan panggil interviu dan sekiranya berjaya, saya akan mengikuti pengajian Sarjana Muda Bahasa Arab di Madinah," katanya yang meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan STAM (tingkatan 6) dan Sijil Menengah Agama (tingkatan 4), sehingga membolehkan beliau ditawarkan belajar belajar ke Madinah.

 

Bersama Guru Hebat Bahasa Arab Ustazah Suriya Kamis.

 

Rahsia kejayaan

Penerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tengku Idris Shah Sekolah-Sekolah Jais ini sememangnya memasang impian untuk menjejakkan kaki ke Madinah (Arab Saudi) dan juga Mesir.

Ujarnya, sejak tingkatan empat lagi dia mahu ke sana kerana kagum dengan kefasihan guru-guru lepasan Madinah dan Mesir, berbicara dalam bahasa Arab dan pintar dalam ilmu-ilmu agama.

"Saya mahu jadi seperti mereka. Mendalami ilmu agama sebaik mungkin dan berkongsi dengan semua orang bila sudah tamat belajar nanti," jelasnya.

Anak kelahiran Selangor ini berkata, dia tidak menganggap dirinya lebih pandai dan hebat daripada orang lain. Cuma dia ada teknik bagaimana mahu menempa kecemerlangan dalam hidup.

"Cara paling mudah ialah berkawan dengan pelajar yang rajin dan hebat. Kita perlu ukur baju di badan sendiri. Mungkin ada subjek yang kita hebat, ada juga yang kita lemah. Begitu juga kawan-kawan kita. Two heads is better than one. Jadi apa salahnya kalau kita sertai mereka dan buat study group bagi membincangkan sesuatu subjek sambil bertukar-tukar maklumat.

"Biarkan siapa yang pandai itu ajar kita. Namun, saya tidak menggunakan cara ini sebelum SMA kerana subjek-subjek dalam peperiksaan ini memerlukan kepada hafalan/ingatan. Jadi, saya lebih menyukai untuk menghafal sendiri kerana suasananya lebih tenang. Kebanyakan rakan-rakan saya juga berbuat demikian. Sekiranya ada perkara yang tidak difahami barulah kami akan berbincang bersama-sama," kongsinya.

Mahir bahasa Arab

Meraih pelbagai jenis anugerah atas kemahirannya dalam bahasa Arab, Ahmad Fareez berkata, dia bukanlah seorang yang hebat dalam bidang tersebut. Cuma, mungkin kerana minat mendalam, dia mampu menguasai bahasa syurga ini dengan mudah.

"Saya mula minat untuk belajar bahasa Arab apabila berada di sekolah menengah. Apabila saya belajar subjek Nahu Sorf, Tafsir Hadith, Feqah dan lain-lain, saya pula berkata pada diri, menarik juga!

"Selain itu, peluang berjumpa dengan guru-guru bahasa Arab yang hebat seperti Ustazah Siti Nor Othman, Ustaz Basha, Ustazah Aisyah Saad, Ustazah Rahimah, Ustazah Zalikha, Ustaz Faaiz dan ramai lagi membuatkan saya lagi berminat mempelajari bahasa Arab," kata anak pasangan Abdul Wahab Abu Bakar dan Abidah Mohd Radi.

Sedikit titipan nasihat Ahmad Fareez untuk pembaca Sinar Harian...siapa di sekeliling kita sekalipun, kita harus cuba kenali mereka kerana kita tidak mampu hidup bersendirian. Jika kita berkawan dengan orang yang hebat, maka kita pun turut menerima tempiasnya.