Minat yang mendalam dalam bidang muzik, serta mahir menggesek biola, membolehkan Wan Harith Emery Wan Huzainee, 14, terpilih untuk mengikuti persembahan Orchestra Sempena Santapan Malam Ulang Tahun Hari Keputeraan bersama Sultan Muhammad V tahun lalu.

Lebih istimewa, remaja kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini juga turut terpilih menyertai Pertandingan National Pop Patriotisme Orchestra, yang diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim Peringkat Kebangsaan pada 12 dan 13 April lalu.

Tidak hairanlah, pelajar tingkatan dua, Maktab Sultan Ismail (SIC) ini sering dijemput untuk membuat persembahan majlis formal mahupun karnival.

Meskipun, anak sulung daripada empat beradik ini mengakui, bakat yang lahir itu adalah anugerah daripada ALLAH, namun baginya, berkat usaha, doa dan sokongan dari ibu bapa itulah yang menjadi pemangkin dalam setiap kejayaan yang diperolehnya.

“Selain ibu bapa, guru yang banyak memberikan tunjuk ajar dalam bidang muzik, sehingga saya mahir bermain alat muzik, adalah Penolong Kanan Ko-Kurikulum SIC, cikgu Razi Daud,”katanya kepada GPS Bestari.  

Tambah Wan Harith Emery, individu penting yang banyak membantunya mahir bermain biola adalah pelajar-pelajar senior, Wan Mohamad Aliff Wan Hafizi Alyuha dan Muhammad Afiq Asyraf Jamali.

Ditanya tentang pembahagian masa dan latihan, remaja bercita-cita doktor ini menjelaskan, beliau menjalani latihan secara berperingkat, tanpa mengganggu proses pembelajaran.

Selain itu, beliau turut mengikuti kem yang dianjurkan oleh senior bagi meningkatkan disiplin dan mutu muzik.

“Latihan muzik selalunya akan diadakan selepas masa persekolahan. Di dalam kelas pula, saya akan memberikan sepenuh tumpuan kepada pembelajaran. Cuma ketika cuti hujung minggu, saya akan peruntukkan masa selama tiga jam sehari untuk berlatih muzik,”katanya.

Selain mahir bermain muzik, Wan Harith Emery juga turut mempunyai bakat dalam nyanyian, lakonan dan pidato. Sehingga dia terpilih untuk ke pertandingan Bakat Cilik Anjuran BSN, tahun2015, Pertandingan Bintang Kecil Peringkat SK Islah, 2017, dan juga Pidato Piala Tuanku Kurshiah, Universiti Malaya, tahun 2018.

“Saya memilih untuk pasukan muzik kerana ia menggabungkan kemahiran yang pelbagai yang ada dalam diri masing masing. Ia juga mampu mewujudkan satu chemistry yang sangat baik dalam berpasukan,”ujar Wan Harith Emery yang bercita-cita membawa nama Malaysia ke persada dunia.

Profil

Nama Penuh: Wan Harith Emery Bin Wan Huzainee

Tarikh lahir: 13.08.2005

Tempat lahir: Kota Bharu, Kelantan

Sekolah rendah: Sekolah Kebangsaan Islah

Sekolah Menengah: Sultan Ismail College(SIC)

Hobi: menyanyi

Cita-cita: Doktor