Sejak Transformasi Seri Nilam Baharu (TSNB) dilancarkan pada 2015, pelbagai program dan aktiviti telah diperkenalkan di SMK Seri Nilam hasil cetusan idea pengetuanya, Noor Aza Abd Aziz yang lebih mesra dikenali sebagai Mama Aza yang sememangnya menjadi pemangkin kepada ‘peluasan empayar’ TSNB dari tahun ke tahun.

Matlamat utama TSNB dilaksanakan adalah bertujuan memberi suasana pembelajaran lebih kondusif melalui lima kriteria utama iaitu pembangunan fizikal dengan menceriakan sekolah khususnya tandas, memperkasakan bidang kaunseling, mengubah persepsi pelajar terhadap peranan lain guru kaunseling serta meningkatkan motivasi dan semangat untuk memburu kejayaan.

Kronologi kepada permulaan TSNB adalah untuk memperkenalkan penggunaan protokol dalam pelaksanaan majlis rasmi sekolah, pelancaran lagu baharu sekolah, mengamalkan gaya hidup  sihat, aspek disiplin dan sahsiah dalam kalangan pelajar, pelancaran sheriff dan piat-piat sayang, program inovasi drone memantapkan disiplin, penggunaan keseragaman warna dalam pakaian di setiap perhimpunan rasmi mingguan dan penganjuran majlis-majlis rasmi sekolah.

 

Kenangan bersama guru dan pelajar SMK Seri Nilam.

 


Ucapan perpisahan Mama Aza kepada warga SMK Seri Nilam

Teks Ucapan Mama di majlis Perpisahan Mama. “Jasamu Dikenang”
Pada: 9 Februari 2017/ Khamis

Terima kasih kepada pengacara majlis.
Bismillahirahmanirrahim..

Yang dihormati

Pn Hafizah bt Che Yusof, GPK Pentadbiran SMK Seri Nilam, En Kamarool Azhar bin Saidi, GPKHEM, En Rozali bin Jaafar,GPKKOku., En Pazri bin YusopGPKT6, Cik Nazida Ibrahim,GPKPenKhas,,Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, guru-guru cemerlang, kaunselor-kaunselor sekolah, barisan guru yang berdedikasi, seterusnya murid-murid yang dikasihi sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullah..
                    
Alhamdulillah, Ya Baari’, jutaan terima kasih kpd semua yg terlibat dlm penganjuran majlis perpisahan mama pada pagi ini.  Mama amat terharu dengan kehadiran tetamu-tetamu kehormat dan sahabat handai. Walaupun  tempoh mama berkhidmat di Seri Nilam hanya satu tahun 7 bulan, mama telah dapat mengutip pengalaman perkhidmatan yang cukup menarik dan menyeronokkan.

Terima kasih kpd guru-guru dan staf sokongan yang sederap mendokong serta menjayakan gagasan idea yang mama perkenalkan melalui  Transformasi Seri Nilam Baharu(TSNB). Sesungguhnya ternyata TSNB ini telah melonjakkan nama baik dan prestasi SMK Seri Nilam dalam pelbagai bidang seperti yang digariskan dalam Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM) iaitu pengurusan dan kepimpinan sekolah, Hal Ehwal Murid, Kokurikulum, kurikulum, kewangan, pentadbiran pejabat, persekitaran dan kemudahan fizikal, pembangunan sumber manusia, PIBG dan perhubungan luar. Kejayaan demi kejayaan telah kita perolehi melalui TSNB. Ini semua berkat kerjasama pihak pengurusan guru pibg ibu bapa dan anak2 seri nilam yg semakin menyerlah.

Warga dewan yg dirahmati Allah sekalian,
    
Sudah tersurat, bertemu dan berpisah adatnya dunia, Sudah ketentuan takdir, kenangan kita terukir hanya sementara.  Walaupun mama sudah tidak menjadi pengetua di Seri Nilam,  mama ingin melihat lakaran kejayaan sentiasa berkesinambungan, meskipun hanya dari kejauhan.  

Mama amat terhutang budi dengan semua guru yang sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan demi kecemerlangan anak2 seri nilam yg dikasihi..  Tidak lupa kepada tuan YDP PIBG serta ajk yang sentiasa bersama dan bersedia menghulurkan sokongan yang tidak berbelah bahagi.  Juga kepada barisan pengurusan sekolah yang sentiasa mencari jalan yang terbaik demi kemajuan sekolah.  Kerjasama dan sokongan yang diberikan telah meletakkan SMK Seri Nilam pada landasan pencapaian yang tepat.


Khusus buat semua guru, teruskanlah segala usaha, bakti dan sumbangan kita berpaksikan dasar2 pendidikan negara  spt Falsafah Pendidikan Negara dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.  Selaras dengan ikrar dan  etika profesion keguruan, berpeganglah kepada prinsip bertindak secara profesional.  Di tangan kita, martabat profesion keguruan dapat diangkat, dipelihara dan dipertahankan menerusi kod etika dan tingkah laku yang seharusnya dijadikan amalan.

Peranan guru dalam menggembleng bakat, potensi dan fakulti dalam diri pelajar2 abad ke-21 ini lebih bersifat sebagai fasilitator dan bukan sekadar penyampai ilmu pengetahuan semata2. 6 aspirasi murid perlu diterapkan sehabis baik bagi melahirkan modal insan seimbang yg holistik yg dpt mendepani cabaran hidup pada masa hadapan. Benarlah kata2 Sayidina Umar Al-Khattab “ Didiklah anak mu mengikut zamannya, kerana zamannya adalah berbeza sekali dgn zaman ibu bapanya”.

Kepada anak-anak pelajar yang akan mama tinggalkan, ingatlah pesan mama yg selalu mama sebut2. Jadi lah anak yang baik .Anak yg baik mendengar kata ibu bapa, hormat guru dan orang tua. Tidak tinggal solat dan berpegang teguh kpd ajaran agama Islam. Belajarlah bersungguh-sungguh kerana sebaik-baik manusia ialah apabila melakukan pekerjaan ia melakukannya dengan cara yg terbaik.  Jadikan sekolah tempat menimba ilmu dan pengalaman yg bermakna dan menyeronokkan. “SEKOLAHKU RUMAHKU SYURGAKU”

Tidak lupa kepada barisan pengurusan sekolah yang sentiasa sederap dan akrab, teruskan perjuangan tuan/puan dalam menyediakan iklim sekolah yang kondusif supaya seluruh warga Seri Nilam dapat mencapai visi dan misi yang telah disasarkan. “Pendidikan berkualiti insan terdidik negara sejahtera.”

Rakaman terima kasih juga kepada staf sokongan, pekerja-pekerja swasta, dan pengawal-pengawal keselamatan yang turut memastikan seri nilam berada dlm keadaan bersih ceria dan selamat.  Budi baik tuan/puan,  Allahjua membalasnya.

Warga Seri Nilam yang dikasihi..
                    
Pucuk pauh delima batu
Anak sembilang di tapak tangan
Walau terpisah berbatu2
Dalam hati dilupa jangan

Walau terpisah berbatu2
Dalam hati dilupa jangan
Mata berkaca mulut terkedu
Sebak di dada tertahan2


Burung kenari si burung pipit
Singgah mari di dahan pinang
Kita umpama adik-beradik
Siang malam terkenang2
 

Warga dewan yg dihormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan, izinkan mama menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas kekurangan dan kesilapan yang berlaku sepanjang mama berada di sini.  Tanggal 7 Jun 2015 akan terpahat sebagai memori indah apabila pertama kali mama melangkah kaki di Seri Nilam dan hari ini, tanggal 9 Februari 2017 mama akan meninggalkan bumi Seri Nilam yang banyak merakam detik suka duka bersama warganya.  Begitu cepat masa berlalu..begitu utuhnya silaturahim yang terjalin antara kita..Mama tidak akan lupa selagi hayat dikandung badan.

Semua yang baik jadikanlah teladan, yang buruk jadikanlah sempadan.  Semoga  TSNB diteruskan bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan yg lebih besar.
    
Akhir kata :

Seri Nilam dalam kenangan
Terpahat kukuh dalam sanubari
Hulurkan tangan tanda kemaafan
Semoga tiada kesal di hati

Yang indah itu pertemuan
Yang manis itu kemesraan
Yang pahit itu perpisahan
Yang tinggal hanyalah kenangan..

Patah tumbuh hilang berganti
Mama terpaksa undurkan diri
Berpisah dalam Rahmat Ilahi
Panjang usia bersua kembali..

Sekian sahaja daripada mama..mama sudahi dengan lafaz wabillahi taufik walhidayah.wsm.