SHAH ALAM - Walaupun suatu ketika dulu dia sering diejek oleh rakan-rakannya, namun tuan empunya diri, Sony Aldian Saruani, 40, sentiasa berasa  bangga dengan namanya yang unik dan lain daripada yang lain.

Sony berkata, sewaktu di bangku sekolah dahulu, dia menyimpan hasrat menukar  namanya kerana tidak tahan dengan ejekan daripada rakan-rakan lain pada ketika itu.

“Bagi mereka, nama itu agak pelik dan disebabkan itu saya pernah rasa nak tukar nama supaya tak terlalu janggal sewaktu di  sekolah.

“Namun hari makin hari, saya mula melupakan hasrat tu dan semakin serasi dengan nama diberikan oleh ibu bapa saya,”  katanya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai asal-usul namanya itu, Sony berkata, ibu bapanya memilih beberapa nama unik yang mempunyai kaitan dengan artis dari Indonesia buat tujuh adik-beradiknya yang lain.

Nama artis Indonesia

Selain itu, Sony berkata, nama adik-beradiknya itu juga dipilih berdasarkan asal-usul nenek moyang mereka yang berketurunan Jawa.

“Jika dilihat, adik-beradik saya yang lain juga mempunyai nama unik, antaranya Laili Suriani, Zetty Zurkanain, Eddy Herman, Salwana, Elia Suriana dan Anas
Syazwani.

“Nama-nama ini adalah artis dari Indonesia dan juga keturunan Jawa yang merupakan asal-usul nenek  moyang kami dahulu,” katanya.

Sementara itu, Sony berkata, sehingga kini rakanrakannya beranggapan dia  mempunyai kaitan dengan jenama barangan elektronik, Sony berikutan  namanya yang seakan-akan serupa.

Bagaimanapun katanya, dia sudah lali dengan perkara itu dan menganggap namanya yang unik mempunyai kelebihan tersendiri.

“Kadang-kadang sewaktu saya nak isi borang, pegawai akan ragu-ragu dan anggap seperti saya adalah warga asing, tapi ia perkara biasa bagi saya.

“Kini saya semakin selesa dengan nama ini dan berasa bersyukur kerana orang lebih mengenali saya dengan nama ini,” katanya.

Nama unik untuk  anak-anak

Bapa enam anak ini berkata, dia turut memberikan nama-nama yang unik kepada anak-anaknya yang lain.

“Sebagai contoh, anak kedua saya sebelum ini diberi nama Muhammad Aidil Fitri dan saya menamakannya dengan nama tersebut bagi memberi kelainan kepada nama-nama mereka,” katanya.

Sony berkata, anak-anaknya juga tidak mempunyai masalah  dengan nama-nama yang diberikan, walaupun mereka juga pernah diejek oleh rakan  masing-masing di sekolah.

“Pernah juga anak bergaduh di sekolah selepas diejek tapi saya terima sahaja dan menerangkan kepada mereka mengenai keunikan nama  masing-masing," katanya.