BUKAN perkara mudah bagi seorang guru mengaplikasikan kaedah Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) di sekolah yang terletak di pedalaman.

Selain masalah kemudahan, seseorang guru itu juga akan berdepan dengan sebahagian besar murid yang agak ketinggalan dari segi pendedahan dan pengetahuan berkaitan perkembangan semasa teknologi dan dunia luar.

Ia diakui sendiri oleh Guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang, Lawas, Sarawak, Muhammad Nazmi Rosli kepada GPSBestari.

Diumumkan sebagai pemenang Kempen Guru PAK21 baru-baru ini, Cikgu Muhammad Nazmi berkata, murid-muridnya sangat jarang didedahkan dengan dunia luar.

Cikgu Muhammad Nazmi dinobat Johan Kempen Guru PAK21.

“Jika anda tanya hal-hal semasa, mereka memang ketinggalan.

“Sebab itu, saya mula mencari idea, apakah cara yang paling sesuai untuk bantu anak-anak murid saya tahu tentang teknologi dan dunia luar,” kata guru muda ini.

Anak jati Lawas yang mula berkhidmat di sekolah tersebut sejak dua tahun lepas berkata, 'The Danger Room' merupakan kaedah ataupun amalan bilik darjah yang dibawa untuk bantu murid-murid.

“'The Danger Room' merupakan simulasi kelas. Ia bukan sekadar memenuhi ciri-ciri elemen PAK21, bahkan sesuai diguna pakai di pedalaman,” ujarnya.

Cikgu Muhammad Nazmi berkata, pelaksanaan kaedah 'The Danger Room' itu diinspirasikan menerusi watak komik X-Men yang memiliki bilik latihan dan dalam masa sama, mempunyai simulasi dunia luar di dalam bilik tersebut.

Dr Maszlee Malik (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Cikgu Muhammad Nazmi. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas (kiri) dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin (kanan).

“Melalui kaedah itu, saya cuba membawa persekitaran dan situasi dunia luar ke dalam bilik darjah.

“Saya bawa masuk dunia luar dengan menggunakan bahan-bahan kitar semula yang saya jumpa sekitar sekolah seperti kotak, sarang telur dan plastik.

“Segala bahan-bahan berkenaan, saya jadikan sebagai bahan bantu mengajar dan alhamdulillah amat berkesan dan saya nampak perubahan positif murid,” katanya.

Melalui kaedah 'The Danger Room' beliau penuh yakin bahawa tanpa kemudahan ICT pun, PAK21 masih boleh dijalankan dalam bilik darjah.

Apa yang dilakukan itu mendatangkan hasil sehingga beliau dinobat pemenang Kempen Guru PAK21 oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Saya berharap, apa yang dihasilkan ini dapat membantu guru-guru di luar sana khususnya guru di kawasan pedalaman agar dapat menjalankan PAK21 di sekolah.

Kebanyakan murid di pedalaman tidak pernah ke dobi, Cikgu Muhammad Nazmi ‘membawa’ dobi masuk ke kelas di mana murid-murid dapat mempelajari etika ketika berada di dobi.

“Jangan anggap tanpa kemudahan internet, PAK21 tidak dapat dijalankan.

“Sebenarnya, di mana sahaja kita dihantar mengajar, janganlah berputus asa terhadap anak murid. Mereka berhak mendapat pendidikan yang berkualiti,” ujarnya yang turut memuat naik video bertajuk ‘Cikgu Chuckee Danger Room PAK21’ di laman YouTube untuk berkongsi dengan guru lain.

Terdahulu, Cikgu Muhammad Nazmi diangkat sebagai Johan Kempen Guru PAK21 dengan mengetepikan sembilan peserta lain yang bersaing dalam peringkat akhir daripada keseluruhan 1,000 peserta yang menghantar penyertaan sejak kempen itu dilancarkan pada 20 Disember tahun lepas.

Beliau membawa pulang wang tunai RM2,000 dan telefon pintar jenama iPhone serta sijil.

Tempat kedua dimenangi Guru Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah, Norhailmi Abdul Mutalib, manakala Guru Bahasa Inggeris SMK Pasir Gudang, Johor, Emira Nabila Ramli, menduduki tempat ketiga.

Sagu hati yang lain dimenangi Guru Muzik SK Pendidikan Khas Tuaran, Sabah, Stefanus Lucas; Guru Pendidikan Khas (Matematik) SMK Bandar Kota Tinggi, Johor, Halizah Ahmad; Guru Sains Methodist Boys School, Kuala Lumpur, Stephen Isaac dan Guru Pendidikan Islam SMK Jerlun, Kedah, Ustaz Mohd Asrulnizam.

Seterusnya, Guru Bahasa Inggeris SK Runchang, Pahang, Samuel Isaiah; Guru Fizik SMK(P) Sultan Abu Bakar, Johor, Mohd Afiffi Baharuddin dan Guru Sejarah SK Kerupang, Labuan, Louis Pulong.

Hadiah disampaikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Program berkenaan adalah anjuran KPM menerusi Unit Pelaksanaan Prestasi Pendidikan (PADU).

Ia dilaksanakan bagi membolehkan guru berkongsi pengalaman pengajaran menggunakan pendekatan berasaskan PAK21 dalam kelas masing-masing.

Keceriaan pada wajah murid-murid Cikgu Muhammad Nazmi ketika mengikuti kelas beliau.

Antara kaedah PAK21 yang diajar Cikgu Muhammad Nazmi di dalam kelasnya.

Guru ini membawa murid-murid melawat wad kanak-kanak untuk belajar etika di samping mempraktikkan kehendak silibus.

[ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu cantik ini guna kaedah 'digital classroom' tarik perhatian pelajar]

[ARTIKEL BERKAITAN: Guru ini sanggup menyumbang sejumlah wang gaji untuk sedia kelengkapan pelajar yang rata-rata miskin]

ARTIKEL MENARIK:

'Hilang mak, ayah dan adik sekelip mata', ini luahan rindu Cikgu Norashikin terhadap insan tersayang

'Murid lain kalut nak balik, tapi Muaz tetap tunggu untuk kemas makmal' - Sikap murid ini dipuji

Tak jadi marah bila tengok tulisan murid tahun 6, Cikgu Norashikin dedah siapa pemilik tulisan ini

Tak berganjak walau seminit..kesetiaan murid tahun 6 temani rakan berkerusi roda buat netizen sebak