Berdepan dengan seribu satu cabaran termasuk mendapat serangan sederhana Altitute Mountain Sickness (AMS) iaitu penyakit yang banyak menyerang pendaki gunung, tidak sesekali mematahkan semangat Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Tampin, Saiful Adly Abd Wahab, 39, untuk meneruskan cabaran ke Puncak Gunung Elbrus, Rusia.

Saiful merupakan antara lapan pendaki yang berjaya sampai ke puncak tertinggi Eropah, Gunung Elbrus berketinggian 5,642 meter dari paras laut, kira-kira 12.15 tengah hari waktu tempatan atau 4.15 petang waktu Malaysia, Sabtu lalu.

Lebih manis lagi, cabaran dinamakan Misi Merdekaraya Elbrus 2017 itu turut melakar sejarah bermakna buat anak tempatan itu apabila dia berpeluang berpakaian baju Melayu di perkampungan Terskol semasa menyambut Aidiladha.

Saiful merakamkan kenangan menjadi orang pertama berbaju Melayu lengkap di perkampungan Terskol, 1 September lalu.

Menurutnya, dia sedar keadaan cuaca dan puncak Gunung Elbrus berkenaan tidak memungkinkan dia untuk mengenakan pakaian kebanggaan masyarakat Melayu itu di atas puncak, namun dia tetap membawa sepasang baju Melayu untuk dipakai semasa menyambut perayaan.

“Mengikut perancangan awal, pendaki Malaysia akan mengibarkan bendera Jalur Gemilang di atas puncak gunung pada hari kemerdekaan. Bagaimanapun, pada 31 Ogos lalu, ribut salji dan petir masih berlanjutan sehingga jam 4 pagi. Atas faktor keselamatan, kita dinasihatkan untuk tidak meneruskan misi pada hari berkenaan dan bersolat Aidiladha di masjid perkampungan Terskol.

"Saya tidak melepaskan peluang mengenakan baju Melayu semasa bersolat bersama kira-kira 50 penduduk di sana,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui sempena Majlis Menyambut Wira Merdekaraya Menawan Puncak 2017 di Taman Seri Nuri Gemencheh, Tampin.

Saiful berkata, dia percaya walaupun ke mana sahaja rakyat Malaysia menjelajah, perkara utama yang perlu sentiasa dijaga serta diketengahkan ialah budaya serta nama baik negara.

Anak jati Gemencheh itu berkata, walaupun dari segi pemakaian berbeza, masyarakat di sana menyambut dengan baik rakyat Malaysia dan turut mengambil peluang merakamkan kenangan dengannya.

Perlu ketahanan mental

Saiful berkata, sebagai seorang pendaki, ketahanan fizikal dan mental amat penting lebih-lebih lagi mendaki di kawasan beriklim sejuk sehingga mencecah suhu serendah di bawah 15 darjah Celsius.

SAIFUL ADLY ABD WAHAB

Menurutnya, dia juga hampir 'tumbang' disebabkan serangan sederhana AMS seperti mana yang dialaminya tahun lalu, semasa mempromosikan kempen Climb For Peace, Water For Syria oleh Aman Palestin di puncak gunung yang tertinggi di Afrika, Kilimanjaro dengan ketinggian 5,895 meter atau 19,341 kaki di atas paras laut.

“Kali ini, ketua pasukan membawa saya ke tempat yang lebih rendah di Azau Cable Car Station bersama seorang lagi peserta yang juga tidak sihat bagi memulihkan badan. Alhamdulilah, saya mampu melepasi kesukaran ini dengan izin ALLAH SWT.

“Saya percaya setiap apa yang kita usahakan, pasti akan berdepan dengan cabaran, namun kita sewajarnya tidak patah semangat dan berusaha menyempurnakan cabaran dengan baik.

“Semasa pendakian ke puncak Elbrus ini juga ribut salji sangat teruk. Badan, beg, tongkat juga dipenuhi dengan ais. Mujur tiada yang diserang AMS ketika itu, cuma ada yang mengalami masalah sejuk melampau dan frostbite," katanya.

Bagaimanapun, katanya, demi untuk misi berkenaan, dia sudah terlalu teruja untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan di atas puncak Gunung Elbrus berkenaan.

Lihat kebesaran ALLAH

Saiful yang juga Naib Pengerusi Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS) berkata, dia berasa sangat gembira dengan perkembangan minat masyarakat terhadap aktiviti mendaki gunung.

Malah, katanya, dia telah menganjurkan program pendakian bersama keluarga ke puncak gunung seperti Gunung Datuk, Angsi dan juga puncak bukit seperti Bukit Broga.

“Ahli persatuan belia yang berminat boleh membawa isteri atau suami dan anak-anak mereka semasa program ini. Kami akan bersama-sama mengendong anak yang mana ada anak yang baru berusia dua tahun sehingga ke puncak gunung.

“Kita bukan ingin bersaing dari segi masa, cuma kita ingin mendidik masyarakat untuk menghargai keindahan alam sekitar serta kebesaran kuasa ALLAH SWT,” katanya yang kini dalam rangka usaha meneruskan misi menawan Puncak Everest, dua tahun lagi.

Saiful berkata, minatnya mendaki gunung bermula sejak di bangku sekolah menengah lagi di bawah platform Persatuan Kembara dan mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga serta kini, isterinya.

“Saya berasa cukup bertuah kerana mewakili Persatuan Kembara Negara untuk meneruskan pendakian ke puncak Gunung Elbrus yang pada mulanya berhadapan dengan masalah mendapatkan visa.

“Malah, kepulangan kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga disambut Presiden Persatuan Kembara Negara, Tan Sri Khalid Yunus,” katanya.

Sebahagian daripada ahli MBD Tampin dan penduduk yang memeriahkan Majlis Menyambut Wira Merdekaraya Menawan Puncak 2017 di Taman Seri Nuri Gemencheh.

PROFIL

Nama : Saiful Adly Abd Wahab

Tarikh lahir : 18 Mei 1978

Nama isteri : Norazlina Esa

Anak : 3 orang perempuan (dua hingga enam tahun)

Kerjaya : Usahawan

Taraf pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Putra Malaysia