"Saya tak target untuk jadi juara pada pertandingan kali ini. Terpilih ke peringkat akhir pun sudah dikira bonus. Namun, rahsia rezeki tak siapa tahu dan saya bersyukur dengan kejayaan ini," kata Muhammad Aqil Mujahid Mukhtar dari Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT), Tengku Ampuan Jemaah, Selangor.

Dinobatkan sebagai juara bagi Pertandingan Pidato Piala Tuanku Kurshiah (PPTK) peringkat kebangsaan, Aqil Mujahid berkata, dia akan terus berkecimpung dalam dunia pidato kerana minat yang mendalam pada bidang pengucapan awam tersebut.

"Minat saya pelbagai. Ceramah, syarahan dan sebagainya. Insya-ALLAH, saya akan perbaiki kelemahan dari semasa ke semasa dan berusaha menjadi pemidato terbaik kelak," katanya.

Aqil Mujahid membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000, piala pusingan dan iringan serta sijil penghargaan manakala tempat kedua dan ketiga, masing-masing menerima wang RM700, piala iringan dan sijil penghargaan serta wang tunai RM400, piala iringan dan sijil penghargaan. Tiga pemenang sagu hati menerima RM100, piala iringan dan sijil penghargaan setiap seorang.

Selain Aqil Mujahid, lima peserta yang berjaya ke peringkat akhir adalah Muhammad Farhan Danial Zainuddin dari SMK Subang Utama, Selangor (tempat kedua); Muhammad Daniel Misni, SMK Tun Habab, Johor (tempat ketiga); Muhammad Aiman Roslan, SBP Integrasi Gopeng, Perak; Raudhatus Syamimi Harun, SAMT Tengku Ampuan Jemaah, Selangor dan Mohamad Firdaus Mohd Fauzi, SM Sains Selangor. 

 

12 sekolah terlibat

Sebanyak 12 buah sekolah terlibat dalam pertandingan ini iaitu SMK Abdul Jalil, Hulu Langat, Selangor, SMS Hulu Selangor, SMK Sains Banting, Selangor, SMS Seri Puteri, Ipoh, Perak, SM Sains Selangor, SMK Jalan Damai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, SAMT Tengku Ampuan Jemaah, Selangor, Sekolah Dato Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan, SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur, SMK Subang Utama, Selangor, SBP Integrasi Gopeng, Perak dan SMK Tun Habab, Johor.

Pertandingan PPTK merupakan pertandingan pengucapan awam peringkat kebangsaan yang menyaksikan pelajar berusia antara 16 hingga 18 tahun, dari Sekolah Menengah Kebangsaan seluruh Malaysia, bersaing dan membawa pulang gelaran juara.

Pertandingan dianjurkan Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Universiti Malaya (UM), mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Seramai 33 pelajar daripada 12 buah sekolah mengikuti Projek PPTK 2017. Sebelum ke pertandingan pidato, peserta berkampung selama tiga hari dua malam di kolej berkenaan dan mengikuti pelbagai aktiviti serta pengisian menarik untuk meningkatkan kemahiran berpidato peserta.

Berani dan yakin

Pertandingan PPTK yang diadakan 8 April lalu dinilai barisan juri berpengalaman. Mereka terdiri Ketua Pengarah Akademi Motivator Profesional Malaysia (AMPM), Datuk Dr Syed Ahmad Syed Samsuddin Al-Saggof (Ketua Juri); wakil Kelab Pidato Perdana, Rosmah Lamat; Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Dr Shamsul Aizuwani Nawi; Ketua Bahagian Pentadbiran Am DBP, Azhar Mohamad Dora dan Exco Kehormat AMPM, Shahari Aziz.

Dr Syed Ahmad berkata, semua peserta berbakat. Sebahagiannya berani, yakin dan bersemangat. Namun, masih ada yang perlu diperbaiki. Mungkin kurang pendedahan dan gugup. Tidak terkecuali tersasar daripada tajuk.

"Dalam aspek pidato, mesti ada unsur gaya, isi, kelancaran, bahasa, personaliti dan vokal. Ada peserta yang punyai unsur-unsur ini dan ada yang tidak. Harapan saya agar mereka terus berlatih dan usaha perbaiki kelemahan," ujarnya.

Sementara itu, pertandingan PPTK telah dirasmikan Pro Canselor UM, Toh Puan Datuk Seri Dr Aishah Ong.

Turut hadir, Naib Canselor UM, Tan Sri Profesor Dr Mohd Amin Jalaluddin; Pengetua kolej, Dr Mohd Effindi Samsuddin; dan Felo Penasihat Projek PPTK, Leftenan Ahmad Saufi Abdul Rahman.