JITRA - Bukan sahaja berjaya mendidik anak muridnya cemerlang dalam pelajaran, malah seorang Guru Pendidikan Seni Visual, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior berjaya membawa pusat sumber sekolah mereka dikenali ramai.

Pusat sumber sekolah (PSS) berkenaan atau lebih dikenali dengan nama All Island Library melakar pelbagai kejayaan sejak penjenamaan semula pada 2015.

Mendekati individu yang murah dengan senyuman ini, Mohd Sobri Mohd Rosdi, 33, yang juga Guru Media dan PSS berkata,  semangat kekitaan yang diaplikasi setiap peringkat di sekolah merupakan resipi kejayaan mereka.

“Apabila kita berpegang pada semangat kekitaan yang erat maka tiada yang berat untuk dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan berkenaan juga adalah hasil usaha keras pelajar, guru dan pihak pengurusan sekolah.

“Pihak PSS beruntung kerana mendapat kerjasama yang baik daripada pihak pengurusan dan pentadbiran Sekolah serta Pusat Kegiatan Guru (PKG).

“Sebarang kekurangan atau masalah yang dihadapi, kami cuba selesaikan dengan gandingan idea dan buah fikiran bersama.

“Selain itu, kita juga mengadakan lawatan penanda aras ke PSS sekolah lain untuk mendapat ilham baharu,” katanya.

Mohd Sobri berkata, beliau bersyukur dengan kejayaan yang berjaya dikecapi PSS mereka setakat ini.

“Malah saya gembira kerana ada sekolah lain yang menjadikan PSS kami sebagai contoh dan ikutan.

“Walau bagaimanapun, banyak lagi yang perlu dipertingkatkan supaya memenuhi keperluan semua pihak di sekolah ini dan lebih maju ke hadapan,” katanya.

Menurutnya, pada tahun ini, pengetua sekolah, Ku Azizan Ku Othman turut meletakkan slogan yang sama dengan sekolah iaitu 'Towards Excellent'.

“Jadi banyak perkara yang perlu dirancang, tetapi apa yang penting, saya harap PSS ini dibekalkan komputer dan capaian internet untuk memudahkan pencarian bahan sokongan, selain bantuan bahan bacaan berbentuk komik versi ilmiah.

“Sebabnya pada zaman sekarang, trend membaca sudah berubah, komik sebegini lebih memberi info berguna secara kreatif kepada pelajar,” katanya.

Selain menyandang jawatan sebagai guru di sekolah, Mohd Sobri turut memegang beberapa jawatan lain, antaranya, pegawai teknikal daerah pidato sekolah menengah, jurulatih bola tampar sekolah dan daerah Kubang Pasu.