MEMBANGUNKAN inovasi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) bagi mata pelajaran bahasa Inggeris yang berbeza untuk mengajar bahasa Inggeris sememangnya bukan perkara mudah.

Apatah lagi pada mulanya PdPc yang cuba diterapkan tidak mendapat sambutan kerana pelajar menganggap tidak penting dan tidak menyumbang markah dalam peperiksaan.

Inilah cabaran awal bagi Cikgu Ho Jia Yiing yang membangunkan projek Dramatizing Odds to Success (DOTS) bagi meningkatkan penguasaan dan keyakinan pelajar untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun beliau yang berkhidmat selama tiga tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang, Kuching, Sarawak ini mendapat sokongan padu daripada Pengetua, Bahtiar Afandi dan rakan guru lain.

Menurut Cikgu Jia Yiing, penerimaan pelajar agak pasif terhadap DOTS kerana mereka menganggap projek itu tidak berorientasikan peperiksaan.

“Mereka anggap DOTS sekadar projek yang membazir masa sahaja kerana tiada markah diberi untuk peperiksaan sedangkan ia sebenarnya membantu pelajar berkomunikasi, berkolaborasi dan berfikiran kritis,” ujarnya.

Cikgu Jia Yiing

Beliau berkata, DOTS merupakan idea interdisiplin, di mana pelajar dan rakan menggabungkan kurikulum serta kokurikulum bagi mencapai matlamat projek tersebut.

"Saya mendapat sokongan padu daripada rakan guru yang turut membantu sebagai fasilitator ketika DOTS dijalankan.

"Terima kasih kepada rakan setugas Cikgu Wong Lee Chin, Cikgu Lydia Isut selaku Ketua Guru Penasihat Kelab Drama (BI), Cikgu Chong Pei Hua, Guru Teknologi dan Kelab Fotografi dan guru Tingkatan Enam, Cikgu Lim Hock Kiong.

"Begitu juga dengan guru Bahasa Inggeris Cikgu Ng Mee Ching, Cikgu Wong Leh Hong dan Cikgu Kueh Lee Mei yang bertungkus lumus turut menjayakan projek DOTS ini sehingga mendapat penyertaan pelajar dalam Kelab Drama (BI)," katanya.

Dilantik sebagai mentor kepada tiga guru pelatih Australia yang menjalani latihan di SMK Batu Lintang.

Skrip Drama

Cikgu Jia Yiing berkata, dalam projek DOTS pelajar dikehendaki menghasilkan skrip drama secara berkumpulan dengan bimbingan guru yang bertindak sebagai fasilitator.

“Fasilitator akan membetulkan kesilapan tata bahasa dan seterusnya membimbing pelajar dari aspek lakonan.

"Pada peringkat ini pelajar akan diajar cara menjiwai watak dari segi penghayatan, intonasi dan aksi. Pelajar kemudian akan bekerjasama dengan ahli Kelab Fotografi untuk menghasilkan video," katanya.

Menurut beliau, bagi mendedahkan pelajar dengan teknik penggambaran dan penghasilan video secara profesional pihak sekolah menjemput empat pengarah filem tempatan berserta kru untuk berkongsi ilmu dengan ahli Kelab Drama (BI) dan Kelab Fotografi.

"Kumpulan pengarah berkenaan membawa bersama peralatan untuk memberi pendedahan kepada pelajar bagaimana sesebuah drama itu diterbitkan.

“Sebaik sahaja video drama disiapkan, pelajar dikehendaki mempromosikan video berkenaan dengan ahli keluarga, guru dan rakan. Kumpulan yang mendapat undian tertinggi yang dibuat melalui VLE Frog dikira pemenang," jelasnya lagi.

Menurut Cikgu Jia Yiing, DOTS salah satu pembelajaran berasaskan projek terbukti membantu meningkatkan keyakinan dan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris.

Aksi pelajar Tingkatan Empat dan Lima ketika penggambaran drama Romeo dan Juliet.

Beliau dapat melihat, pelajarnya seronoknya menjayakan projek itu.

“DOTS membantu pelajar mencetuskan idea, berkolaborasi dengan rakan, memanfaatkan ICT dan mempromosikan hasil kerja diri.

"Memang ada pihak yang memandang remeh kerana projek ini tidak menyumbang markah dalam peperiksaan tetapi aktiviti yang dijalankan mampu membantu pelajar menjadi komunikator dan pemimpin yang lebih bagus,” katanya.

Kongsi beliau lagi, ada segelintir pelajar yang sebelumnya tidak berminat untuk menyertai Kelab Drama (BI) tetapi apabila melihat video yang dihasilkan dan perubahan rakan-rakan dalam penguasaan bahasa Inggeris akhirnya mereka mula tertarik untuk menyertai projek seterusnya.

Kejayaan DOTS

Menyorot kembali permulaan projek DOTS di sekolah itu pada 2017, Cikgu Jia Yiing berkata, beliau mendaftar tujuh pelajar menyertai projek Pertukaran Video Amerika Syarikat-Malaysia yang dikendalikan Guru SMK Tabuan Jaya, Kuching, Jarod Yong.

“Bagaikan tidak percaya, pelajar saya mampu menghasilkan video untuk mempromosikan Malaysia dan Kuching kepada sebuah sekolah di Texas, Amerika Syarikat.

"Projek video itulah yang mencetuskan idea DOTS, supaya lebih banyak pelajar boleh mengambil bahagian di peringkat sekolah mahupun peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Pada 2019 pula, seramai 89 pelajar telah mengambil bahagian menerusi projek TOEFL Young Series Go English yang diadakan selama lima bulan bermula Januari.

Kemudiannya, pada bulan Jun tahun yang sama, Cikgu Bahtiar menghubungkan Cikgu Jia Yiing dengan Namwon Middle School, Jeju, Korea.

Melalui PdPc DOTS, Projek Pertukaran Video Budaya Skype antara Korea-Malaysia berjaya dijalankan pada Julai hingga Oktober.

Kumpulan pelajar membuat pembentangan berkenaan budaya di Malaysia untuk Program Pertukaran Video Budaya Malaysia-Korea melalui Skype dengan Namwon Middle School, Jeju, Korea.

Kata Cikgu Jia Yiing, menerusi Projek Pertukaran Budaya Skype pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiapnya mengambil topik berbeza seperti makanan, perayaan dan cerita rakyat.

"Setiap kumpulan perlu menghasilkan skrip dan membuat pembentangan dengan ditonton pelajar di Namwon Middle School melalui Skype," katanya.

Berikutan kejayaan projek tersebut, Namwon Middle School berhasrat meneruskan lagi aktiviti berkenaan pada tahun hadapan.

“DOTS banyak membawa perubahan kepada pelajar yang menyertainya. Walaupun pembabitan mereka mengambil masa yang lama tetapi percayalah, pendedahan yang pelajar dapat kekal seumur hidup,” katanya.

Harapan besar buat Cikgu Jia Yiing untuk membawa pelajarnya ke luar negara bagi program pertukaran budaya.

“Menerusi DOTS, saya yakin akan lahir lebih ramai pelajar yang mempunyai keyakinan diri tinggi, berani menghadapi dugaan baru, menghormati rakan dan bijak menguruskan masa," katanya.

Pesan beliau kepada rakan guru lain, teruskanlah berkreatif kerana pelajar dahagakan pelbagai projek segar dan terbaik daripada anda semua.

REAKSI

INFO

Nama: Ho Jia Yiing

Umur: 32 tahun

Asal: Kuching, Sarawak

Kerjaya: Guru bahasa Inggeris di SMK Batu Lintang, Kuching, Sarawak

Pencapaian

1. Edufluencer (KPM) 2019

2. Master Trainer for CEFR Familiarisation/ Materials Learning Adaptation/ Curriculum Induction

3. Area D1 Director, District 87, Toastmasters International 2019 - 2020

4. Toastmasters Triple Crown Award 2019 di Medan, Indonesia

5. Pearson-MELTA Hyacinth Gaudart English Teacher Award 2019

6. Pingat Emas Professional Learning Community (PLC) Sarawak 2014

7. Best Presentation ASEAN-ELT Conference 2018, Melaka

8. Naib Johan Pertandingan Anugerah Guru Inovatif (Kategori Terbuka) Daerah Kuching 2018

9. Tempat Ketiga Pertandingan Guru Inovatif (Kategori Individu) Daerah Kuching 2017

10. Pemenang ke-3 Poster di Sarawak English Language Symposium 2019, Miri

11. Emcee for TedXKenyalang 2019

GPSBestari menyokong Jiwai Rukun Negara

Artikel Menarik:

'Tak apa Alia, kalian dan Allah bersama saya..' - Cikgu Fadli disekat jumpa Alia

'Syafiqah, maafkan cikgu. Andai waktu boleh diputar... - Cikgu Koreayati luah kekesalan

Jauhi aura negatif di tempat kerja, guru ini dedah tiga tip yang boleh anda cuba...

Cikgu boleh amal tujuh tip ini untuk jadi guru yang disukai pelajar

150 guru terpilih Program Duta Guru - Selepas ini bahan PdPC lebih menariklah