Menghadapi masa sukar untuk menghabiskan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Kimia tidak menjadi satu halangan kepada beliau untuk berusaha gigih dalam menentukan masa depannya.

Walaupun tidak menjadikan bidang perguruan sebagai pilihan ketika melanjutkan pelajaran, namun pengalaman enam bulan sebagai guru ganti di tiga buah sekolah di Perlis benar-benar telah mengubah perjalanan kerjaya beliau selepas itu.

Norhailmi Abdul Mutalib atau lebih mesra dikenal Cikgu Hailmi ini kemudiannya mendapat peluang dilatih sebagai guru melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di IPGM Persekutuan Pulau Pinang.

Kemudiannya ditugaskan sebagai guru terlatih di SMK Luar Bandar No.1 Sibu, Sarawak.

“Pengalaman berada di tempat orang saya guna sebaik mungkin untuk timba ilmu sebagai pendidik.

“Saya cuba sedaya upaya cepat faham budaya tempatan supaya dapat ajar pelajar dengan lebih berkesan,” katanya.

Kata Cikgu Hailmi, dia mahu pelajarnya berjaya dengan cemerlang sama seperti pelajar di kawasan bandar.

Sikap ambil tahu dan ramah-tamahnya membuatkan hubungan dengan masyarakat setempat berjalan dengan baik.

“Setiap minggu saya akan berkunjung ke rumah panjang untuk menjalankan projek pendidikan yang berkaitan dengan pelajar dan komuniti,” katanya.

Tidak hairanlah dalam masa singkat beliau sudah boleh bertutur dalam bahasa Iban dengan baik.

“Untung saya dapat berhubung rapat dengan pelajar dan ibu bapa, dalam masa singkat saya dah boleh berbahasa Iban,” katanya.

 

NORHAILMI ABDUL MUTALIB
SMK Luar Bandar No.1 Sibu, Sarawak

Agent for National Transformation : Cikgu Hailmi.

 

Dapat johan peringkat kebangsaan dua kali berturut-turut

Hubungan baik dengan pelajar dan masyarakat mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran.

Suasana ini memberi keuntungan lumayan kepada Cikgu Hailmi dalam membimbing pelajarnya khususnya dalam menguasai teknik penghasilan video.

Walaupun ditugaskan sebagai guru Sains dan Kimia namun minat dan ilmunya dalam multimedia turut dikongsi bersama pelajar.

“Video yang dihasilkan pelajar berjaya dapat johan peringkat kebangsaan dalam pertandingan Liga Remaja Kreatif 2013 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

“Tentu saja kejayaan itu sangat membanggakan pasukan dan seluruh warga sekolah.. saya pun tak sangka video bertajuk ‘Klik dengan Bijak’ menang,” katanya.

Bukan itu sahaja, kata Cikgu Hailmi, kejayaan manis itu turut diulangi pada 2014 menerusi video berjudul ‘Jalur Lebar untuk Pendidikan’.

“Pada 2014, sekali lagi pelajar mengharumkan nama sekolah dengan menjadi johan peringkat kebangsaan pada pertandingan sama,” katanya.

Video berkenaan dihasilkan dalam tempoh sebulan bersama pelajar tingkatan dua, tiga, empat dan lima.

Beliau puas, hasrat untuk mengharumkan nama sekolah berjaya dicapai malah bukan sekali tetapi dua kali!

 

Minat multimedia

Kebolehannya mengedit dan menghasilkan video tidak pernah dipelajari secara formal.

Namun sebab minat, dia berusaha belajar melalui maklumat di internet dan berkongsi dengan pelajar.

“Sebagai guru Sains, saya banyak hasilkan modul dan inovasi pembelajaran untuk kegunaan pelajar.

“Atas dorongan rakan sekerja dan pentadbir, saya kemudiannya mohon jawatan Guru Cemerlang bagi subjek Sains setelah enam tahun berkhidmat,” katanya.

Alhamdulillah, katanya, setelah melalui fasa penilaian dan pemantauan pada 2013 beliau telah dilantik sebagai Guru Cemerlang Sains.

Menyedari banyaknya bahan yang boleh dikongsi dan dapat dimanfaatkan dengan lebih ramai pelajar di seluruh negara, Cikgu Hailmi memulakan perkongsian di blog www.cikguhailmi.com.

“Saya mahu menggalakkan lebih ramai pelajar yang menggunakan internet bagi tujuan pendidikan, inisiatif ini kemudiannya mendapat respon yang sangat memberangsangkan daripada pelajar dan guru.

“Modul pembelajaran dan pengajaran saya juga boleh diperoleh di portal pendidikan ini, GPSBestari.com,” katanya.

Kata Cikgu Hailmi, beliau memilih untuk memasukkan bahan pengajaran dan pembelajarannya menerusi portal ini kerana mahu berkongsi dengan lebih ramai orang.

Hasilnya, blog beliau dipilih sebagai Best Educational Blog pada Anugerah Malaysia Social Media Award 2014.

Kejayaan blog beliau berterusan apabila sekali lagi memenangi Johan Pertandingan Blog dan Kurasi Kandungan 2014 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Kemuncak kejayaan adalah apabila beliau dianugerahkan sebagai ‘Agent for National Transformation 2014’ oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas inisiatif beliau menggunakan jalur lebar dalam memberi sumbangan kepada komuniti melalui pendidikan.

Cikgu Hailmi (kiri) bersama ketua rumah panjang, Tuai Rumah Dingon (tengah) bersama seorang rakan di Sekuau, Sibu.

 

Kenangan manis di Sarawak

Dengan pencapaian cemerlangnya membimbing pelajar luar bandar menghasilkan video yang berkualiti, beliau turut dijemput untuk menyampaikan ceramah dalam Seminar PLC Peringkat Negeri Sarawak 2014 berkenaan multimedia dan pengggunaan teknologi dalam pendidikan.

Hasil perkongsian yang disertai pihak pengurusan dan ketua sekolah seluruh Sarawak beliau dipilih sebagai Pembentang Terbaik pada seminar itu.

“Selama lapan tahun saya di Sarawak, banyak kenangan manis dan kejayaan peribadi yang saya cipta.. alhamdulillah,” katanya.

Namun, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.. lebih baik di negeri sendiri.

Beliau kemudiannya memohon ditukarkan ke Kedah.

Walaupun berasal dari Perlis namun katanya, jarak dari kampung halaman hanya 15 minit sahaja.

“Saya mohon ditukar ke Kedah kerana susah nak balik Perlis, lagipun.. Kedah dengan Perlis tak jauh mana.. 15 minit boleh sampai kampung,” katanya.

Alhamdulillah, permohonannya diluluskan dan bermula tahun lalu, dia menyambung perjuangan di sebuah sekolah baharu di Kedah, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun.

Cipta sejarah SMK Jerlun

Segala pengalaman dan ilmu dalam pembikinan video dicurahkan kepada anak didiknya yang baharu.

“Penyertaan kali pertama SMK Jerlun dalam Liga Remaja Kreatif 2015 membuahkan hasil apabila telah terpilih sebagai naib johan peringkat negeri Kedah,” katanya.

Selain itu, beliau juga semakin aktif berkongsikan pengetahuan dalam bidang Sains dengan ramai anak didik di seluruh negara.

Peluang untuk menyertai lebih banyak seminar dan juga bengkel telah memberikan nilai tambah kepada pembangunan profesionalisme beliau sebagai seorang pendidik.

Melihatkan kepada perlunya guru Sains untuk mengajar dengan lebih kreatif dan lari daripada pengajaran Sains yang klise, Cikgu Hailmi juga memulakan inisiatif mengumpulkan idea kreatif cikgu di laman sosial.

“Bahan perkongsian itu juga boleh dilihat di portal pendidikan ini,” katanya.

Tahun 2015 juga menjadi tahun bertuah apabila Cikgu Hailmi kerana dipilih mewakili Malaysia bagi Program Pertukaran Guru Malaysia-Korea anjuran APCEIU-Unesco dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

 Pengalaman tiga bulan di Daegu Girls Commercial High School merupakan peluang terbaik untuk beliau menimba lebih banyak ilmu pendidikan di negara asing.

Malah melalui platform blog dengan 15 juta pengunjung dan pengikut di facebook yang mencecah 22 000 orang, maka pengalaman ini dikongsikan dengan sebaik mungkin bersama warga pendidik lain di negara ini.

Segalanya dirakamkan dan dikongsikan melalui siri penulisan jurnal harian ’80 Hari di Korea’ dan juga siri videolog harian, ’80 Days in Korea’.

Perkongsian ini mendapat maklumbalas yang baik daripada warga pendidik, serta turut mendapat perhatian daripada Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid yang turut mengkongsikan pautan siri ‘80 Hari di Korea’ ini di laman facebook dan twitter rasmi beliau.

Sudah tentu diharapkan dengan publisiti meluas seperti ini, semoga perkongsian pengalaman tersebut menjadi lebih bermakna.

Untuk misi pada tahun ini, Cikgu Hailmi akan masih meneruskan usaha beliau dalam memartabatkan pengajaran Sains dengan lebih kreatif dan inovatif dalam kalangan guru Sains di negara ini.

Beliau juga akan berusaha untuk menggunakan semua ruang dan platform yang ada bagi berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kepakaran beliau kepada lebih ramai pelajar dan warga pendidik. Semoga semua usaha beliau dipermudahkan oleh-Nya.

Untuk Cikgu Hailmi, selamat maju jaya!