Minat mendalam terhadap bidang sosial dan kemasyarakatan menjadi faktor utama mengapa pemuda berusia 24 tahun ini menjadikan Pembantu Kebajikan Adun sebagai kerjaya tetapnya.

Mohammad Fiza Mohd Fuad berkata, latar belakang pendidikannya juga menjurus dengan pekerjaan ini menyebabkannya berfikir tidak salah berkhidmat di Japerun Sungai Rambai di bawah kepimpinan Datuk Hasan Abd Rahman.

BIODATA Mohammad Fiza

Menurut graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Kajian Politik dan Pemerintahan) ini, beliau mula memegang jawatan itu sejak September 2016.

“Waktu tu saya berumur 23 tahun dan baru saja tamat pengajian di Unimas. Mungkin ramai yang anggap orang muda macam saya tak sesuai atau tak mampu menggalas tugas ini.

“Namun ia adalah sesuatu yang sangat berbeza bagi saya, lebih-lebih lagi bila kita dapat tolong masyarakat yangmemerlukan bantuan, khususnya warga kampung.

“Menerusi tugas ini juga, secara tak langsung saya dapat menyelami serta merasai kesusahan yang dihadapi masyarakat yang memerlukan.

Sejujurnya, perkara yang paling seronok bagi saya adalah bila lihat orang yang kita bantu tu gembira,” katanya.

Beri perkhidmatan terbaik Mohammad Fiza berkata, apabila menyebut soal kebajikan, sudah pastilah keutamaan diberikan kepada golongan yang memerlukan.

“Daripada sudut yang berbeza, kita dapat kenal pasti bahawa kebajikan sosial dan masyarakat adalah elemen penting dalam memainkan peranan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

“Menerusinya, saya cuba untuk memberikan perkhidmatan terbaik seiring dengan pembangunan sosial profesional, selain tidak melupakan perkongsian tanggungjawab strategik antara satu sama lain.

“Itulah yang saya cuba bawa atau perjuangkan dalam tugas serta peranan saya sebagai Pembantu Kebajikan Adun,” katanya.

Jelas Mohammad Fiza, antara amanah yang diberikan kepadanya termasuklah membincangkan aspek yang melibatkan urusan berkaitan dengan kebajikan dalam Dun serta cara menyelesaikannya, seperti menguruskan permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan permohonan bantuan fakir miskin dari Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

“Saya juga uruskan permohonan bantuan bina baru rumah dan baik pulih rumah, permohonan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) dan permohonan bantuan bagi mangsa bencana seperti ribut, banjir dan kebakaran.

“Dalam masa sama, secara tak langsung saya akan bantu Adun kawasan dalam menangani isu yang berkaitan dengan kebajikan, selain dapat bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam selesaikan masalah,” katanya.

Cabaran hadapi karenah masyarakat

Tugas turun padang membantu menguruskan hal berkaitan dengan kebajikan bukanlah semudah disangka. Akui Mohammad Fiza, beliau biasa hadapi karenah masyarakat berbilang kaum, sekali gus menjadi cabaran besar buatnya dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Bukan mudah untuk puaskan hati semua pihak, namun apabila tanggungjawab itu berjaya direalisasikan, tiada lain yang membanggakan saya selain melihat senyuman di wajah penerima bantuan,” katanya.

Anak jati Sungai Rambai ini juga adalah seorang yang aktif dalam persatuan belia. Malah, beliau baru sahaja diberikan amanah sebagai Ahli Parlimen Belia Malaysia.

Menurutnya, tugas sebagai pemimpin belia juga tidak jauh daripada kerjayanya kini.

“Minat yang mendalam dalam bidang politik dan kemasyarakatan ini juga telah mendorong saya untuk bergerak aktif dalam bidang kepimpinan serta pertubuhan belia.

“Saya bergerak aktif dalam belia sejak sekolah lagi dan ia menjadikan saya seorang yang gemar menyertai pelbagai program melibatkan kepimpinan, sukarelawan dan kemasyarakatan.

“Penglibatan saya dalam Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) cawangan Seri Pengkalan Lambak Sungai Rambai sejak sekolah bermula apabila melibatkan diri sebagai ahli biasa. Seterusnya dilantik sebagai ahli jawatankuasa pada penggal berikutnya, sekali gus menaikkan semangat saya untuk terus beri komitmen pada program dan masyarakat,” katanya.

Ujarnya, menerusi komitmen ditonjolkan, akhirnya pada 2014 beliau dipilih menjawat jawatan Naib Pengerusi 1 Persatuan Belia MAYC Seri Pengkalan Lambak Sungai Rambai hingga kini.

“Bukan itu saja, berkat doa serta sokongan rakan belia yang lain, akhirnya pada Mei 2017 saya dilantik sebagai Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Melaka bagi penggal ini,” katanya.

Mohammad Fiza bersama Hasan dan kakitangan Japerun Sungai Rambai.

Bijak bahagi masa

Melaksanakan tugas sebagai pembantu kebajikan serta menjadi salah seorang ahli persatuan belia adalah satu tanggungjawab besar dan memerlukan komitmen tinggi.

Bagi Mohammad Fiza, ia tidak menjadi masalah sekiranya bijak membahagikan masa antara kerjaya dan aktiviti belia.

“Semasa di universiti juga, saya dah terlibat sebagai pemimpin mahasiswa dan secara tak langsung memerlukan komitmen antara pelajaran serta aktiviti.

“Saya percaya setiap individu mempunyai cara mereka yang tersendiri untuk membahagikan masa. Seperti saya, walaupun pelbagai tugasan perlu dilaksanakan, lama-kelamaan ia dah menjadi rutin harian bila pada siang harinya kita bekerja dan pada malamnya mempunyai komitmen dengan persatuan belia,” katanya.

Mohammad Fiza ketika menjalankan tugas kebajikan.