Kebolehan membaca dan melakonkan semula cerita yang dibaca, agar lebih dihayati oleh penonton, adalah satu kelebihan unik yang bukan ada di dalam setiap individu.

Hazif Danish Darwis, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9 (2) yang lebih dikenal sebagai Danish dalam kalangan rakan dan ahli keluarga, sememangnya dikenal sebagai seorang pencerita yang berbakat besar.

Anak kelima daripada enam beradik, mula menunjukkan minat membaca dan menceritakannya semula sejak umurnya 6 tahun lagi.

Dia bukan sahaja akan bercerita dengan bersungguh-sungguh, malah akan mengubah intonasi suara dan mimik mukanya bagi disesuaikan dengan watak yang ingin dibawakan.

Berbeza dengan pementasan teater yang biasanya mengehadkan lakonan sesebuah watak kepada seorang pelakon sahaja, seseorang boleh mengambil peranan seberapa banyak watak yang diperlukan apabila bercerita.

Danish pernah berpakaian compang-camping bagai seorang miskin yang melarat bagi menyampaikan ceritanya dalam sebuah pertandingan bercerita peringkat antarabangsa yang diadakan di Pulau Pinang.

Usahanya membuahkan hasil apabila diumumkan sebagai salah seorang pemenang dalam pertandingan tersebut.

Danish (dua kanan) bersama rakannya yang mewakili sekolah dalam sebuah pertandingan.

Anak comel kepada pasangan Darwis Abd Razak, ketua pengarah eksekutif sebuah syarikat swasta, dan Suhaiza Hanim Mohamad Zailani, pensyarah di Universiti Malaya ini, merupakan seorang yang berbakat dalam pelbagai bidang.

Memilih pengakap sebagai pilihan aktiviti pasukan beruniform, Danish turut terpilih mewakili sekolah untuk pelbagai program akademik, kokurikulum, dan inovasi.

Dia yang telah dilantik menjadi pengawas sekolah sejak tahun 1 sehingga sekarang, kini dilantik pula sebagai ketua pengawas bagi 2017.

Pencapaian keputusan peperiksaannya juga cemerlang, dan saban tahun dia sentiasa dilihat berada dalam kelompok tiga tempat teratas.

Bercita-cita menjadi pakar perubatan, Danish mencapai kecemerlangan dalam pendidikan agama dan mencatatkan 8A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2016.

 Danish (kiri) bersama pemenang lain dalam pertandingan bercerita antarabangsa di Pulau Pinang.

Fasih berbahasa Korea

Danish, seperti kanak-kanak lain seusianya, mempunyai kemahuan untuk meneroka sesuatu yang baru.

Baginya, pilihan yang terbaik adalah dengan ‘menghilangkan’ dirinya seketika ke dalam dunia buku-buku fiksyen yang dibaca pada masa terluang.

Danish mampu menghabiskan masa berjam-jam di biliknya bagi menghabiskan buku cerita yang bhaaru dibeli dan hanya muncul apabila tiba waktu makan!

Minat membacanya dikesan sejak tadika lagi, apabila dia mampu membunyikan suku kata dalam masa singkat.

Selain membaca, Danish juga gemar berenang dan bermain golf bersama ayahnya ketika cuti persekolahan.

Namun, ada satu lagi kegemarannya yang memberi kesan secara langsung kepada pembentukan peribadinya, iaitu melayari Internet.

Melalui medium ini, dia mula menajamkan penguasaan bahasa Inggerisnya, dan lebih menarik lagi, mula belajar bahasa Korea dengan mengikuti video tutorial percuma yang disediakan di atas talian.

 Danish ketika diumumkan sebagai pemenang pertandingan bercerita.

Kini, Danish fasih berbahasa Korea, dapat memahami drama dan filem Korea tanpa perlu membaca sari kata.

Dek kerana kebolehannya berbahasa Korea, Danish dapat berinteraksi dengan warga Korea ketika percutiannya bersama keluarga ke negara itu, baru-baru ini.

Ramai yang memuji kefasihan Danish bertutur walaupun tanpa pendidikan formal.

Kini, Danish bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sudahpun memasang impian untuk menuruti jejak abangnya yang kini melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh, The Malay College Kuala Kangsar, Perak.

Apabila diajukan soalan mengenai rahsia keberaniannya bercerita dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, dia menekankan kepentingan untuk bersikap positif dalam semua perkara serta mempercayai diri sendiri.

“Rakan dan keluarga sentiasa menyokong apa juga perkara positif yang kita lakukan. Jangan sia-siakan doa dan harapan mereka untuk melihat kita berjaya,” ujarnya.

Danish (empat kiri) bersama rakan sekelasnya menjayakan sebuah pertandingan.

Danish (duduk, tengah) bersama rakannya yang mewakili sekolah dalam sebuah pertandingan.