Muhammad Fahmi Rahim merupakan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa yang juga dikenali sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi KL.

Dia mula menyertai Orchestra Setiawangsa (OS) pada 2015, dipimpin oleh Cikgu Rahimi Ismuni yang juga guru Muzik sekolah itu.

Dram menjadi pilihan alat muzik untuk dipelajari kerana teknik belajarnya yang memerlukan semua anggota badan terutama tangan, mata dan kaki fokus pada muzik dimainkan.

Mendapat latihan muzik awal di SK Setiawangsa melalui bengkel-bengkel Muzik OS yang kerap kali dianjurkan oleh pihak sekolah untuk ahli-ahlinya selain menyertai program muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Fahmi bukan sahaja belajar bermain dram, malah instrumen perkusi lain (chyme, shaker, bongo, gendang) turut dimainkan dengan baik. Dia bersama OS juga terlibat dengan Program Jaringan Bersama Universiti Malaya sejak Mac 2015 bersama beberapa sekolah lain sekitar Lembah Klang.

Antaranya Perintis Orkestra Junior Universiti Malaya (UMJO) dan telah menamatkan Sesi 1 Latihan 2015 dengan mengadakan Konsert UMJO di Panggung Eksperimen UM, Ogos tahun lalu. Fahmi masih giat berlatih dram dan perkusi di UM pada setiap malam Jumaat bersama rakan-rakan OS.

Untuk mendapat lebih pendedahan dalam bidang muzik, Fahmi dan ahli OS sering menyaksikan konsert-konsert terpilih sepertt Konsert Diraja 2015 di UM mahupun beberapa siri konsert lain di Dewan Petronas Philharmonic KLCC.

"U have to feel the rhythm". Itulah yang sering menjadi panduan Fahmi setiap kali berada dalam kelas muzik bimbingan Cikgu Rahimi.
 

Selain dram, instrumen kegemaran Fahmi ialah perkusi ('chyme' dan 'shaker'). Malah beliau bermain perkusi ketika menyertai:

1. Karnival Serlahan Potensi Peringkat Kebangsaan 2015 anjuran SK Jln 3, Bandar Baru Bangi & Orchestra Setiawangsa - Naib Johan

2. International Drama, Cultural & Musical Festival 2015 anjuran SK Infant Jesus Convent, Nusaja, Johor - Naib Johan

3. Pertandingan Muzik Kreatif Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan 2015 anjuran SK Setiawangsa. - Anugerah Platinum - Johan.

Atas segala pencapaian memberangsangkan sepanjang 2015, Fahmi juga dianugerahkan Pencapaian Terbaik Kokurikulum Orkestra SK Setiawangsa 2015.

Peluang bermain dram tidak disia-siakan apabila Fahmi terpilih untuk bersama-sama OS ketika beraksi di Program Gempaq Ceria Setiawangsa - DBKL, baru-baru ini.

Berkat tunjuk ajar penyelaras muzik OS, Cikgu Rahimi, Fahmi dapat bermain dengan baik, seterusnya beraksi di Hari Graduasi Pelajar Tahun 6 dan Hari Anugerah Cemerlang (HAC) SK Setiawangsa sebelum berakhirnya cuti persekolahan 2016.