Walaupun bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia 2013 ini kembara seninya sedikit lambat berbanding rakan lain seperti Hael Husaini dan Amira Othman namun selepas empat pertaruhan single, akhirnya nama Nabila Razali semakin diterima baik bahkan disayangi ramai.

Oleh sebab itulah, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) ST Mary, Kuala Lumpur ini terus merebut setiap peluang yang datang.

Begitupun, bagi Nabila Razali atau nama lengkap Nur Nabila Mohd Razali tiada istilah tamak dalam karier penyanyi 'Pematah Hati' dan 'Vroom Vroom'.

Ini sebab, dia seorang yang mementingkan kualiti berbanding kuantiti untuk tampil terbaik.

Selain daripada menyanyi dan berlakon Nabila yang juga lulusan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) juga sedang berjinak dalam dunia pengacaraan.

Baru-baru ini dia baru sahaja habis penggambaran untuk program travelog, 'Travel Like Local', untuk saluran Astro Ria.

“Alhamdulillah biarpun jadual saya agak padat tetapi saya cuba selitkan apa sahaja yang terbaik demi masa depan.

“Mana tahu selepas penampilan di majlis pembukaan restoran A&W ini dapat menjadikan saya sebagai duta mereka pula. Jadi inilah masa untuk saya betul-betul rebut peluang yang ada di depan mata," katanya.

Menurutnya, mungkin sebelum ini perjalanannya agak perlahan berbanding rakan artis lain.

"Justeru, bila dah dapat saya tak mahu sia-siakan dengan peluang yang datang,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan ke-47 restoran makanan segera A&W di EkoCheras Mall.

Dalam masa sama, penyanyi berusia 27 tahun ini turut mengambil inisiatif untuk maju ke depan dengan menimba ilmu kejayaan daripada kawan-kawannya.

“Saya sedar banyak kekurangan dalam diri. Oleh sebab itu, saya tak segan untuk berkawan dengan ramai artis yang sudah berjaya seperti Khai Bahar, Hael dan ramai lagi untuk bertanya dan belajar bagaimana mereka boleh berjaya dalam arena sama,” jelas penyanyi cantik ini lagi.

Minat sukan lasak

Selain minat terhadap bidang hiburan, Nabila mengakui sukan lasak antara bidang baru yang disukainya.

“Setakat ini saya bersyukur dengan apa yang saya sudah ada. Malah tahun lalu saya pun tak menyangka perkara yang tak berani dibuat, tapi saya dah buat seperti di Macau saya main 'bungy jumping'.

“Boleh dikatakan selepas terjun itu saya nak cuba bidang sukan lasak pula. Orang kata perempuan bertudung susah nak buat. Tapi saya ambil contoh kenapa saya boleh main ekstrem di Macau tetapi lain-lain sukan tidak boleh? Contoh lain, Mira Filzah pun sudah buat 'Sky diving'. Mungkin saya boleh mencuba 'scuba diving' pula,” katanya yang bakal memasuki litar lumba kereta untuk program Toyota Gazo pada bulan April depan.

Tambahnya lagi, dunia bukan terhad di media sosial sahaja namun hiruplah udara segar dengan melakukan aktiviti menarik dan berfaedah. 

Kisah Lelaki Kelas Sebelah 

Berkongsi mengenai pembabitan sebagai pelakon, Nabila akui ada kelemahan yang perlu ditambah baik.

Katanya, apabila menerima tawaran berlakon soal watak akan menjadi perkara utama bagi dirinya.

“Selalu bila dapat skrip drama saya bersama pihak pengurusan akan baca terlebih dahulu sinopsis dan jalan ceritanya.

“Sebab saya pernah buat watak berat yang mana saya kena menangis sahaja, risau jugalah kalau saya tak dapat nak hidupkan watak berkenaan," katanya.

Katanya, dia Saya titikberatkan watak-watak yang sesuai.

"Macam terbaru, alhamdulillah saya dapat komen yang positif daripada orang ramai akan lakonan saya menerusi drama 'Lelaki Kelas Sebelah',” katanya.

Meskipun watak yang berjaya dihidupkan namun Nabila akui watak ringan tetap ada cabarannya.

“Sebab faktor umur saya dah meningkat tetapi kena berlakon dengan Ismail Izzani untuk watak budak-budak. Tapi saya yakin boleh bawa watak tersebut.

“Kalau watak berat saya akan ambil kelas. Sebelum ikuti penggambaran saya ada masuk sekejap. Sekarang tak berkesempatan untuk konsisten sebab bercanggah dengan jadual,” tuturnya.

Bercakap mengenai pengurusan masa, Nabila lebih selesa untuk menjayakan telefilem berbanding drama bersiri yang memerlukan penggambaran yang panjang dan lama.

“Akan datang saya berlakon telefilem untuk hari raya dan ada juga drama yang terpaksa ditolak disebabkan kekangan masa.

“Saya tak mahu lah terkejar-kejar ke sana sini. Kena jaga reputasi pihak masing-masing. Insya-Allah kalau ada lagi yang datang, saya bersama pihak pengurusan akan pertimbangkan,” akuinya.

Ini pula kisah anak Norman Hakim yang comel dirisik netizen yang tak habis-habis DM pelakon terkenal itu untuk menjadikan anaknya yang masih belajar sebagai isteri.

Berita lanjut boleh dibaca melalui link ini https://www.gpsbestari.com/artikel/personaliti/ini-punca-pelajar-tingkatan-satu-dirisik-netizen-hingga-bapanya-terkejut-ketika-baca-dm-1.797143