Penyanyi Shiha Zikir yang terkenal dengan lagu 'Seperti Novel Cinta' ini ini memberikan nasihat yang sangat bermakna buat calon SPM tahun ini.

Pesannya kepada calon SPM belajarlah bersungguh-sungguh supaya tidak menyesal kemudian hari seperti apa yang dialami.

"Kepada calon SPM, belajar bersungguh-sungguh, jawab soalan betul-betul.. dapatkan keputusan yang baik.

"Masa Sha dulu, ramai orang pesan belajar rajin-rajin.. masa sebelum 'exam' memanglah tak rasa apa-apa bila orang kata macam tu, tapi bila ambik 'result' masa tulah akan menyesal dan cakap mengapalah aku tak belajar betul-betul dulu," katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi, Pulau Pinang yang membahasakan dirinya Sha ini masih teringat kenangan ketika didenda ketuk ketampi di sekolah.

"Walaupun Sha nampak macam budak baik tetapi nakal juga ketika zaman sekolah, sampai pernah cikgu denda Sha supaya ketuk ketampi 100 kali.

"Paling kelakar.. bila sampai kali ke-30, Shah pengsan sebab asma," katanya.

Menurutnya, mata pelajaran yang paling diminati ialah Sejarah dan Biologi kerana dia suka membaca.

"Masa sekolah dulu Sha paling minat Sejarah dan Biologi kerana Sha suka membaca, Fizik dan Kimia tak minat pulak," katanya.

Katanya, hingga kini dia masih ingat dua guru yang mengajarnya tanpa lelah.

"Ada dua orang cikgu yang paling Shah ingat hingga kini, sorang cikgu paling garang dan sorang lagi cikgu paling lembut sampai Shah pun tak tau macam mana kalau dia marah," katanya.

Penyanyi yang makin meningkat naik di Indonesia ini berkata, guru yang paling garang masih diingati ialah Cikgu Kalsom yang mengajar Sejarah dan Cikgu Rashid.