SHAH ALAM - Usianya baru sembilan tahun. Namun dia melangkah masuk ke gelanggang dengan wajah penuh keyakinan untuk berhadapan dengan lawannya.

Kanak-kanak itu, Nur Irish Qistina Azli begitu fokus, lantaran sebaik sahaja perlawanan bermula, dia terus menyerang lawannya untuk mendapatkan mata sebanyak mungkin bagi memenangi perlawanan, walaupun itu hanya latihan.

Kelincahannya menyukarkan pihak lawan yang sebayanya untuk menyerang. Dia cekap menggunakan teknik tendangan seperti "back kick” dan sangat kreatif serta pantas mencari kelemahan lawannya.

Dia juga cekap menggunakan teknik tendangan "chopping kick” tepat pada lawan sehingga pencabarnya buntu untuk terus menyerang. (Chopping Kick yang juga dikenali sebagai Axe Kick iaitu tendangan di mana kaki diangkat setinggi-tingginya untuk dilepaskan kepada sasaran. Tumit kaki biasanya akan mengena kepala atau bahu pihak lawan).

Itulah rutin Nur Irish Qistina Azli, tiga kali seminggu - berlatih di Gimnasium Kelab Taekwondo Koryo Setia Alam, kira-kira 18 kilometer dari Shah Alam.

PEMIKIRAN YANG TAJAM

Kini belajar di sekolah Kebangsaan (SK) Setia Alam, Nur Irish Qistina menyertai sukan mempertahankan diri itu sejak berumur lima tahun. Kanak-kanak cilik itu terpikat dengan seni tersebut kerana sering mengikut dan melihat abangnya menyertai pelbagai pertandingan tae kwan do.

Ditanya mengapa memilih tae kwan do, dia memberitahu bahawa dahulunya sekadar meminati tetapi kini menyedari bahawa sukan itu bagus untuknya kerana disiplin dan fokus yang tinggi.

"Penting untuk patuh arahan jurulatih dan berlatih bersungguh-sungguh bagi mendapatkan momentum terbaik,” katanya kepada Bernama.

Nur Irish Qistina yang bercita-cita mewakili negara suatu hari nanti, sehingga kini telah memenangi lebih 20 pingat emas di pelbagai kejohanan yang di sertai di seluruh negara.

Seorang lagi atlet tae kwan do Muhammad Haikal Hishamudden, 17, yang merupakan pelajar sekolah Menengah Kebangsaan Setia Alam di sini berkata, dua elemen sukan itu iaitu disiplin tinggi dan gaya hidup sihat adalah amat penting dalam kehidupan hariannya.

Beliau yang menyertai sukan tersebut ketika berusia sembilan tahun berkata: "Dari segi pembelajaran, tae kwan do mengajar mempertajam pemikiran. Pergerakannya sangat pantas dan memerlukan seseorang yang mempunyai deria serta pemikiran yang tajam dan kreatif.

"Segala usaha sangat berbaloi apabila memenangi pingat emas di kejohanan peringkat kebangsaan,” kata Muhammad Haikal apabila ditanya mengenai pencapaiannya dalam sukan itu.

DISIPLIN TINGGI

Atlet tae kwan do negara, Nur Amirah Amir, 18, menyertai tae kwan do sejak berumur lima tahun kerana terpengaruh dengan abang-abangnya yang aktif dalam sukan itu.

"Elemen paling penting bagi menyertai Kyorugi (sparring) ini adalah seseorang itu perlu berdisiplin, jangan culas berlatih dan hendaklah sentiada mendengar nasihat dan saranan jurulatih,” katanya.

(Kyorugi adalah pertarungan antara dua pihak di mana mereka saling serang dan bertahan untuk menjatuhkan lawannya dengan menggunakan teknik tendangan serta pukulan tae kwan do)

Dia menjalani latihan berkumpulan dua kali seminggu di gimnasium itu selain berlatih bersama pasukan kebangsaan selama satu jam setiap hari.

Antara kejayaan Nur Amirah adalah memenangi pingat emas di kejohanan peringkat kebangsaan, serta ketika mewakili Malaysia dalam pertandingan di Korea Selatan dan Thailand.

"Dalam masa terdekat, saya akan menjalani latihan untuk pemilihan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Itulah sasaran saya buat masa ini,” katanya yang juga pembantu jurulatih tae kwan do di situ.

Nur Amirah berharap agar kaum wanita mempelajari tae kwan do, kerana mereka akan lebih bersedia jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

"Kanak-kanak yang menyertai tae kwan do pula selalunya lebih berdisiplin dan menghormati orang lain. Mereka hanya menggunakan kemahiran ini jika ada ancaman ataupun diserang,” katanya.

TERAP ELEMEN POSITIF

Nur Irish Qistina, Muhammad Haikal dan Nur Amirah adalah antara kalangan kanak-kanak dan remaja yang membangunkan bakat seni mempertahankan diri melalui tae kwan do - sukan  yang menerapkan pelbagai elemen positif seperti sabar, berani, tangkas dan yakin.

Jurulatih kelab bela diri itu, Sharizman Riduan berkata setiap pelajar tae kwan do perlu menyertai kelas asas untuk mempelajari Taeguk iaitu kombinasi pergerakan utama, sebelum boleh menyertai Kyorugi. Lapan Taeguk perlu dikuasai oleh pelajar mengikut warna tali pinggang yang dipakai.

"Peringkat tali pinggang bermula dari putih, kuning, hijau, biru, merah dan hitam (tertinggi). Setiap pelajar perlu menguasai dan lulus ujian sebelum dapat bertukar tali pinggang yang menunjukkan peningkatan dan penguasaannya,” katanya sambil menambah, pelajar yang memberikan komitmen tinggi boleh menguasai tali pinggang hitam dalam masa tiga setengah tahun.

Selain Taeguk, pelajar dilatih melakukan tendangan asas kerana seni bela diri itu memerlukan kepantasan kaki.

"Usia paling sesuai untuk menyertai sukan ini adalah dari umur lima tahun. Kebaikan menyertai tae kwan do adalah, anak-anak akan menjadikan aktiviti fizikal sebagai rutin, mereka lebih fokus, berdisiplin dan belajar menerima arahan.

"Tae kwan do baik untuk wanita kerana sekurang-kurangnya mereka tahu teknik yang betul untuk  mempertahankan diri jika berlaku kecemasan,” kata Sharizman yang berpengalaman 27 tahun dalam sukan itu.

SOKONG MINAT ANAK

Sementara itu, bapa kepada Nur Irish Qistina,  Azli Nasri, 39, menyatakan sokongan beliau terhadap minat anak-anak dan sentiasa memastikan mereka menjalani latihan secara berterusan, berani mencuba kemahiran atau teknik baharu serta menyertai pertandingan bagi menimba pengalaman.

Selain itu, fokus beliau adalah untuk mengembangkan kemahiran anak-anak berfikir, memantau kesungguhan dan kreativiti mereka serta mengingatkan anak-anak supaya belajar asam garam dalam pertandingan.

"Saya juga ingin memastikan mereka menggunakan semua ilmu yang diperolehi daripada jurulatih secara maksimum dan terus memberikan tumpuan kepada latihannya.

"Dari segi pembelajaran pula, saya akan memastikan mereka terus memberi tumpuan sepenuhnya dan hendaklah maju seiring kemajuan sukan yang diminati,” katanya. - Bernama

ARTIKEL MENARIK:

Cikgu Louis buat simulasi arkeologi tarik murid minat Sejarah hingga mereka tak sabar tunggu kelas

UPSR dah dekat...Ini kami kongsi 10 tip Skor A Sains UPSR