DINOBAT pemenang Anugerah Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019, menerima lebih 20 anugerah termasuk di peringkat kebangsaan dan antarabangsa membuatkan Guru Cemerlang Pendidikan Khas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji ini menjadi idola dan rujukan setiap guru.

Cikgu K.A. Razhiyah menganggap anugerah yang diterima ketika Persidangan ‘Special Education Network and Inclusion Association’ (SENIA) di Hong Kong 24 Februari lalu adalah rezeki ALLAH.

Beliau yang berusia 60 tahun dan bakal bersara penghujung tahun ini bagaimanapun menganggap dirinya bukanlah guru terbaik.

REZEKI..Cikgu K.A. Razhiyah dianugerahkan Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019, baru-baru ini. 

“Saya dikira bernasib baik kerana terpilih. Ramai lagi guru yang terbaik di dunia ini yang sentiasa bekerja siang dan malam tanpa mengira penat lelah, keringat yang sentiasa mengalir tanpa henti dan tidak berkira menyumbangkan wang bagi memartabatkan anak bangsa,” katanya.

Selain Anugerah Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019, Razhiyah juga turut memenangi beberapa anugerah lain termasuklah tersenarai antara 50 guru terbaik dunia yang melayakkan beliau menerima Hadiah Guru Global 2018 anjuran Yayasan Varkey, di London.

Seterusnya, Anugerah Ikon Guru sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan (2018); Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan (2016); Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun (2002, 2007, 2012) antara kesemua 20 anugerah yang diterima.

Beliau terpilih kerana keberkesanan Program Teratak Spa untuk pelajar Pendidikan Khas SMK Panji sejak 2008.

Pelajar Pendidikan Khas bersama pengetua, Sharifah Nor Arinawati Long Ibrahim dan seorang lagi guru SPA, Suriyati Hamzah menunjukkan hasil produk yang dicipta oleh murid iaitu ‘Citronella Oil’ yang berfungsi sebagai minyak urutan dan ‘Lip Gloss’ untuk rawatan bibir.

“Teratak Spa menumpukan pelajar yang mempunyai tahap keupayaan rendah dalam bidang akademik seperti sindrom down, ADHD, kerencatan akal, autisme, palsi serebrum dan perkembangan lewat.

“Teratak Spa juga bertindak sebagai terapi untuk melatih kemahiran koordinasi, meningkatkan pengamatan dan mengasah keupayaan kognitif selain daripada transformasi untuk menjadikan bidang spa sebagai karier pilihan,” ujarnya.

Namun pada tahun 2011, pihak sekolah menumpukan perhatian melatih pelajar dalam bidang spa untuk dijadikan sebagai laluan kerjaya memandangkan minat, bakat dan kebolehan pelajar istimewa dalam bidang tersebut.

“Program ini yang pertama di Kelantan dan sekolah ini terpilih untuk melaksanakan Sijil Kemahiran Malaysia pada Jun 2016 dalam bidang Terapi SPA dan dipilih sebagai program rintis untuk program lain.

Razhiyah (kiri) ketika menerima anugerah pada Persidangan SENIA di Hong Kong baru-baru ini. (Foto: SENIA)

“Pada tahun 2019, seramai 26 daripada 104 pelajar Pendidikan Khas yang mengikuti subjek Terapi Spa.. saya bersyukur kerana pentadbir di sekolah ini sentiasa prihatin dan memberi sokongan penuh kepada murid pendidikan khas ini,” katanya lagi.

Tidak pernah puas mengajar

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini berkata, pelajar Pendidikan Khas miliki pelbagai keistimewaan dan beliau tidak pernah puas mengajar mereka.

“Setiap anak istimewa mempunyai bakat dan kebolehan yang tersendiri. Kita perlu membantu dengan mencungkil dan meneroka kebolehan yang ada dalam diri mereka agar boleh berdikari dan mempunyai karier pada masa hadapan serta berupaya menyumbang kepada masyarakat.

“Walaupun mereka adalah anak istimewa, kita perlu tegas agar mereka boleh menjadi seorang anak yang berdisiplin dan boleh bergaul dan diterima oleh masyarakat,” katanya.

Pelajar Pendidikan Khas menunjukkan kebolehan membuat rawatan wajah, urutan tangan dan kaki kepada pelanggan di Mydin Mall, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Razhiyah menambah, setiap orang boleh memainkan peranan mereka masing-masing.

“Ibu bapa dan guru memainkan peranan untuk memberikan kasih sayang dan pendidikan yang terbaik sesuai dengan bakat dan kebolehan mereka,” katanya.

Kata beliau, masyarakat boleh turut membantu mereka dengan memberikan peluang latihan dan pekerjaan agar hidup mereka tidak diabaikan dan berguna pada masa hadapan.

Razhiyah memulakan karier perguruan pada tahun 1984.

Beliau mula menumpukan kepada Pendidikan Khas pada 1990 di Sekolah Rendah Pendidikan Khas, Kota Bharu apabila melihat cabaran mendidik anak istimewa berbeza dengan mengajar pelajar normal.

“Banyak beza mengajar pelajar istimewa dan normal.. kena ambil sedikit masa untuk buat mereka faham.

“Walau bagaimanapun, saya tetap seronok mengajar pelajar istimewa dan bersama mereka memberi satu kepuasan kepada diri saya,” katanya.

Selain SMK Panji, Razhiyah pernah mengajar di beberapa buah sekolah, antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Salak, Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) SRK Convent Sentul 2, SMK Ismail Petra, SMK Tanjong Mas dan SMK Kota.

Memandangkan tahun ini tahun terakhir Razhiyah bergelar pendidik, hati beliau agak terkesan.

“Jika diikut hati, saya ingin terus berkhidmat untuk anak-anak istimewa hingga akhir hayat.

"Tidak ada noktah dalam karier saya sebagai guru Pendidikan Khas. Saya serahkan segala-galanya pada ALLAH taala. Perancangan ALLAH adalah yang terbaik untuk saya,” ujarnya.

Pesan beliau kepada semua guru khususnya guru Pendidikan Khas agar ikhlas dan gigih menabur bakti.

“Jadikan karier ini sebagai ibadah dan letakkan ALLAH SWT sebagai majikan kita yang sentiasa memerhati kerja kita setiap masa.

“Yang paling utama, jadikan karier sebagai guru ini untuk mencari kasih sayang dan keredhaan Allah dan sebagai laluan untuk meraih Jannah, insya-Allah,” katanya.

Percutian ke Langkawi adalah aktiviti tahunan diberi percuma kepada pelajar Pendidikan Khas SMK Panji yang mengikuti subjek Terapi Spa sebagai ganjaran.

ARTIKEL BERKAITAN:

Razhiyah Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019