'Tumpuan dan cinta pertama saya adalah untuk pelajar, mereka saya anggap sebagai adiwira dalam hidup.'

Demikian kata Guru Kimia dan Sains, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Petaling Jaya, Yasmin Noorul Amin.

Menjadi guru pertama di Asia Tenggara yang terpilih antara 50 guru terbaik dunia, pada 2015 dan satu-satunya guru dari Malaysia yang dilantik sebagai Duta Guru Varkey (VTA) selayaknya beliau digelar Guru Adiwira negara.

Mengenang kembali detik awal kemenangan, Yasmin berkata, beliau hampir tidak menghantar borang penyertaan kerana tidak sihat.

“Sangat terkejut ketika menerima berita kemenangan itu sebab hampir tidak menghantar borang pencalonan kerana tidak sihat pada masa itu,” katanya.

Kata Yasmin, anugerah tersebut dianjurkan oleh Yayasan Varkey GEMS dalam satu majlis sempena Forum Pendidikan dan Kemahiran Global (GESF) 2016 yang berlangsung di Atlantis The Palm, Dubai, UAE.

Pemenang Anugerah Hadiah Guru Global yang menawarkan wang tunai RM3.6 juta (AS$1 juta).

Dalam pertemuan bersama GPS Bestari baru-baru ini, Yasmin menjelaskan, Hadiah Guru Global merupakan suatu pengiktirafan yang dianggap sebagai Hadiah Nobel buat guru di seluruh dunia.

Ia memfokuskan kepada kemenjadian pelajar dan hubungan antara guru serta pelajar yang membolehkan mereka mencapai kecemerlangan.

“Sebagai VTA yang pertama bagi Malaysia, selain membuat kolaborasi dengan guru VTA, menjadi duta dan menjaga nama baik Yayasan Varkey, saya juga aktif dalam memberikan khidmat sebagai pengendali bengkel dan ceramah, baik dalam bidang PAK21, HOTS dan juga program peningkatan profesionalisme untuk guru di Malaysia.

“Namun, tumpuan dan cinta pertama saya adalah untuk pelajar, yang saya anggap sebagai adiwira dalam hidup saya.

"Mereka sentiasa ternanti-nanti untuk masuk ke makmal saya. Sekiranya saya sakit ataupun menjalankan tugas rasmi di luar sekolah, mereka menyatakan secara berterus terang, yang mereka hampa pada hari saya tiada di sekolah,” jelasnya.

Pendidik yang berasal dari Taiping, Perak ini juga satu-satunya wakil guru dari Malaysia yang berucap sebagai ahli panel GESF 2019, dengan tajuk 'A World of 50:50 Representation. Getting Girls into STEM' pada 23 Mac lalu.

“Di Malaysia, saya terlibat secara aktif dalam Kolokium STEM yang pernah dijalankan di Johor, Sabah, Sarawak, Kelantan, Perak dan Pahang. Di dalam kelas saya turut menggunakan aplikasi STEM, supaya sesi PdPC (pembelajaran dan pemudahcaraan) menjadi lebih menarik.

“Konsep belajar secara 'hands on' dan penekanan terhadap konsep IBSE (Pembelajaran Sains Secara Inkuiri) banyak diterapkan dalam sesi PdPC, untuk memberi pendedahan dan suasana pembelajaran yang lebih menarik, selain dapat meningkatkan kefahaman pelajar,” jelas Yasmin.

Bercerita lanjut, guru pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kimia Industri), Universiti Sains Malaysia ini juga terpilih ditaja ke Dubai oleh Yayasan Varkey kerana memenangi Hadiah Brian Lara bernilai RM20,000 (USD5,000).

Melalui dana berkenaan Cikgu Yasmin membawa 11 pelajarnya mendaki Gunung Kinabalu pada 24 Februari tahun lalu.

Kisah dan pengalaman pendakian mereka turut dipaparkan di GESF 2019.

“Saya merasa sangat bertuah kerana telah memenangi pertandingan tersebut dan hasilnya pelajar saya merasa untuk menjejakkan kaki dan menakluk puncak Kinabalu. Terasa sungguh bangga melihat perkataan MALAYSIA tertera pada ruang Hall of Fame di GESF,” ujarnya.

Tinggalkan kerjaya jurutera

Beliau yang turut dinobatkan sebagai Ikon Guru Negeri Selangor pada 2015 ini mula menceburi bidang perguruan setelah berbincang dengan bapanya, tentang hala tuju kerjaya pada masa hadapan.

Menurut Yasmin, kerana kepetahannya bertutur selain mempunyai pengetahuan am yang luas, bapanya beranggapan, beliau lebih sesuai menjadi seorang guru berbanding jurutera.

“Saya pernah bekerja selama dua tahun sebagai seorang jurutera analisis di Pulau Pinang. Memahami tugas dan peranan seorang jurutera itu sedikit sebanyak dapat membantu saya mendidik seterusnya mendorong pelajar meminati bidang kejuruteraan,” katanya.

Selama 17 tahun mengajar mata pelajaran Kimia, Yasmin mempunyai cara tersendiri memupuk minat pelajarnya kepada subjek berkenaan.

“Saya suka kaitkan dengan kehidupan seharian dan juga filem sains fiksyen. Saya juga wujudkan Camp De Kimiya pada setiap tahun bagi memberi peluang kepada pelajar untuk membuat latih tubi secara 'peer coaching' dengan rakan sebaya, selain meningkatkan pengetahuan dan kefahaman dalam menjawab soalan peperiksaan.

“Sama seperti guru lain juga, saya tiada masa spesifik untuk membuat sebarang aktiviti bersama pelajar, semuanya bergantung kepada keadaan," katanya.

Katanya lagi, beliau banyak meluangkan masa dengan pelajar, kerana roh guru yang ada dalam diri  tidak memungkinkannya untuk menoktahkan masa tertentu untuk mereka.

“'Sapientia Et Caritas' merupakan motto sekolah saya, membawa maksud 'Wisdom and Love',  Kebijaksanaan dan Kasih sayang. Seorang guru haruslah seorang yang bijak untuk mengajar, mendidik dan memastikan pelajarnya mendapat hasil pembelajaran yang terbaik.

“Kasih sayang amat penting kerana guru merupakan 'In Loco Parentis' yang bermaksud, guru atau individu yang bertanggungjawab sebagai pengganti ibu bapa. Kasih sayang boleh memastikan pelajar berasa selamat dan sentiasa mahu ke sekolah,” katanya.

Pendidik yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Kota, Taiping dan SMK Tarcisian Convent, Ipoh, Perak ini merupakan guru yang mudah didekati dan sentiasa menjadi kesayangan ramai.

“Saya juga mengamalkan konsep 'Confession Lab' di mana pelajar boleh meluahkan apa jua masalah, sekiranya saya boleh bantu, saya akan cuba sebaik mungkin.  

“Selain itu saya juga turut menekankan konsep 'Makmalku Rumahku', pelajar boleh mengulangkaji dan menjalankan eksperimen selepas waktu sekolah,” terang Yasmin.

Kata beliau, 'Makmalku Rumahku adalah satu konsep yang dapat memupuk minat pelajar kepada subjek Kimia di sekolah.

Pelajar boleh menggunakan kemudahan makmal sekolah bagi tujuan eksperimen, namun masih perlu di bawah pengawasan guru.  

Biodata:

Nama Penuh:  Yasmin Noorul Amin

Jawatan: Guru Kimia dan Sains

Umur: 42 Tahun

Asal: Taiping, Perak

Sekolah: SMK La Salle, Petaling Jaya

Pendidikan:

SK Convent Kota, Taiping (1984 - 1989)

SMK Tarcisian Convent, Ipoh (1989 - 1993)

SPM: Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Kedah (1993 - 1994)

Matrikulasi: Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis (1995)

Universiti: Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kimia Industri) - Universiti Sains Malaysia (1997 - 2001

Diploma Pendidikan - Institut Perguruan Tuanku Bainun (2002)

Perkhidmatan:

1. SMK Kampung Jambu, Taiping (2003 - 2004)

2. SMK La Salle, Petaling Jaya (2005 - Kini)

Kecemerlangan:

2015 - Top 50 Finalist Global Teacher Prize & Ikon Guru Negeri Selangor

2016 - Ikon Guru PPD Petaling Utama

2018 - Ikon Guru STEM Negeri Selangor

Reaksi

"Cikgu Yasmin, inspirasi ribuan guru di Malaysia. Beliau menjadi bukti kerja keras seorang guru, sehingga membuahkan hasil di pentas dunia. Syabas diucapkan kepada Cikgu Yasmin kerana membawa nama Malaysia di pentas pendidikan dunia. Kejayaan yang dikecapi Cikgu Yasmin ini diharapkan dapat memberikan inspirasi buat ribuan guru-guru lain untuk terus mengejar impian menjadi guru terbaik buat anak-anak kita semua." - Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan

“Cikgu Yasmin seorang yang penyayang, memahami dan mudah didekati. Istimewanya beliau, setiap kali mengajar Cikgu Yasmin akan pastikan betul-betul semua pelajarnya faham, sebelum beralih ke bab baru dalam pembelajaran,” Hilman Zakwan Hazizi, Pelajar Tingkatan Lima

“Rasa berbangga, apabila SMK La Salle, mempunyai seorang cikgu cemerlang yang mengharumkan nama Malaysia ke peringkat dunia. Beruntung pelajar yang berada di bawah seliaan beliau,” Brandon T.Siva, Pelajar Tingkatan Lima

Artikel Menarik:

Jangkitan Influenza B: KPM arah SK Taman Pantai Sepang Putra tangguh perhimpunan, pakai 'nasal mask'

KPM lulus peruntukan RM2.6 juta SJKT Klebang untuk pembinaan bangunan baharu

SK Sungai Kepar, laksana misi gempur denggi

Penyerahan laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan

Karnival Jom Ceria SK Panggong meriah, murid seronok sertai aktiviti