MUAR - Dilahirkan sebagai insan istimewa yang menghadapi masalah pembelajaran (lembam) tidak menghalang seorang remaja untuk membina impian dan menempa kejayaan sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Nasharuddin Mohd, 23, merupakan anak jati Muar berjaya mencipta nama sebagai atlet negara untuk sukan olahraga bagi kategori paralimpik T20.

Walaupun tidak normal seperti remaja lain, Nasharuddin berjaya membuktikan kemampuan dirinya apabila dia mampu menjadi tonggak harapan keluarga pada hari ini.

“Sejauh manapun saya pergi, saya sentiasa utamakan keluarga dan akan ingat kepada ibu bapa saya. Mereka banyak bersusah-payah dan berkorban.

“Kejayaan saya hari inipun hasil doa dan semangat yang selalu mereka berikan agar saya sentiasa fokus dan berusaha lebih gigih,” katanya kepada Sinar Harian.

Anak keenam daripada sembilan beradik ini mengakui titik peluh ayahnya yang bekerja sebagai tukang kayu selama ini banyak memberi kekuatan kepada dirinya.

“Kami bukan berasal dari orang senang. Ibu suri rumah, ayah kerja tukang kayu. Pendapatan tiap bulan hanya RM900 hingga RM1,500.

“Adik-beradik pula semua hanya kerja kampung dan dua lagi masih bersekolah. Walaupun saya ada masalah pembelajaran dan tak dapat balas jasa mereka melalui pendidikan yang baik, tapi saya bersyukur sebab diberi peluang bantu mereka dari sudut berbeza,” katanya yang mengakui memperuntukkan sejumlah wang setiap bulan kepada orang tuanya bagi meringankan beban.

Nasharuddin bersama rakan baiknya yang juga atlet paralimpik Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi di Pusat Kecemerlangan Pralimpik, Kuala Lumpur.

Menurut Nasharuddin, elaun yang diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa dimanfaatkan untuk keluarganya.

“Alhamdulillah, dengan elaun dan hadiah wang tunai yang saya terima, saya boleh ubah dan lengkapkan kehidupan keluarga.

“Kalau dulu kami sekeluarga tak ada kereta, tapi sekarang dah ada. Saya usahakan untuk beli agar mudahkan kami bergerak. Apa yang penting kini adalah bahagia dan reda ibu bapa, kerana merekalah tulang belakang saya hingga kini,” katanya.

Ujarnya, dia juga mengakui mengamalkan sikap positif iaitu sentiasa menghubungi ibu bapanya sebelum melangkah masuk ke padang untuk bertanding.

“Walaupun kedua ibu bapa tak hadir ke tempat pertandingan, saya akan hubungi mereka agar mereka doakan saya. Saya tak pernah berasa kecil hati atau kecewa bila mereka tak dapat
hadir, kerana saya tahu masalah dan kekangan yang dihadapi.

"Tapi saya bersyukur kerana langkah perjalanan saya sentiasa diiringi dengan doa,” katanya sambil tersenyum.

Bakatnya mula dikesan oleh seorang guru pembimbing sewaktu mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Junid, dalam kelas Pendidikan Khas ketika berumur 14 tahun.

Sejak itu, bakat lariannya terus diasah dan digilap untuk mewakili pelbagai peringkat bermula daripada peringkat daerah sehingga ke peringkat negara bagi acara 100 meter(m), 200 m dan 400 m.

Naharuddin juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Olahragawan Pendidikan Khas peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) pada 2012 atas kejayaannya merangkul beberapa pingat emas bagi acara 100m, 200m, 400m dan lompat jauh.

Sejarah kemenangannya terus terlakar apabila membuat kejutan setelah meraih tempat pertama dalam acara 400m kategori T20 di Kejohanan Olahraga Asia-Oceania yang berlangsung di Dubai, Qatar 11 Mac tahun lalu.