Bila dikenang-kenang, rasa marah ada, rasa lucu pun ada. Tayar kereta pancit angkara anak murid. Mungkin pelajar itu marah sangat pada dia. Sebab itu dibocorkan tayar kereta cikgu.

Mujur ramai yang membantu menggantikan tayar. Paling kelakar, mungkin ‘tukang pancit’ pun sama menolong. Hingga hari ini saya tidak tahu perbuatan siapa. Bila saya kenangkan kembali peristiwa itu membuatkan saya tersenyum sendiri,” kata Nor Fariza Othman.

Sepanjang bergelar guru hampir lapan tahun, banyak kerenah pelajar dalam kelas terpaksa dihadapi lebih-lebih lagi bertugas di kawasan bandar. Cabaran berdepan dengan pelajar bermasalah benar-benar menguji kesabaran.

Namun ia mengajar Nor Fariza bijak mengawal tingkah laku pelajar. Tambahan setiap pelajar mempunyai pendekatan berbeza bergantung kepada perangai dan penerimaan pelajar itu sendiri.

“Apa yang saya lakukan ialah mengajar seperti biasa. Walaupun ada antara mereka yang cuba buat bising dan tidak endahkan apa yang cuba saya sampaikan. Mula-mula saya tidak hiraukan sikap mereka kerana tahu, mereka cuba membuatkan saya marah. Itu alasan mereka untuk tidak minat pada pelajaran.

“Saya cuba layan apa yang dilakukan. Pernah saya bertanya, apa tujuan dan impian mereka ke sekolah. Ada yang menjawab untuk belajar. Jika untuk belajar, adakah mereka sedang belajar sekarang. Adakah mereka belajar apabila saya mengajar?

“Buat penat dan rugi duit keluarga saja jika ke sekolah tanpa buku latihan. Jadi apa matlamat ke sekolah. Masing-masing terdiam. Saya tahu masing-masing sudah ada rasa bersalah. Saya tamatkan kelas lebih awal dan tinggalkan mereka berfikir.

Keesokan hari, masing-masing mula bagi tumpuan pada pelajaran. Cerita Nor Fariza mengenai pengalaman mengajar di sekolah pertamanya. Selepas tamat pengajian di Kolej Universiti Tun Hussien Onn, Batu Pahat, Johor dalam jurusan Teknik dan Vokasional berserta Pendidikan, Nor Fariza ditugaskan ke sebuah sekolah menengah di Johor Bahru.

“Agak jauh saya merantau. Namun disebabkan amanah dan tanggungjawab, saya kuat dan cekalkan hati. Walaupun ramai berkata rezeki saya sangat baik kerana tamat sahaja belajar diarahkan ke sekolah bandar, bukan pedalaman.

Sekolah bandar ataupun pedalaman, tanggungjawab kita sama sahaja iaitu mendidik dan memberikan ilmu sebaik mungkin agar anak-anak ini menjadi manusia berguna.

“Hari pertama mendaftarkan diri, saya lega kerana ada beberapa orang rakan dari universiti dahulu ditempatkan di sekolah yang sama.

Saya berasa sedikit gembira walaupun saya masih berdebar untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar baru saya.” Ujarnya yang berasal dari Kelantan. Impian Terlaksana, kini Nor Fariza mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan.

Menjadi guru memang cita-citanya sejak di bangku sekolah. Dia tertarik dengan gaya guru-guru di sekolahnya mengajar sehingga dia memasang niat akan mengikut jejak langkah mereka. “Melihat karakter seorang guru menjadikan saya berasa tertarik.

Dan sejak itu saya tidak menoleh ke belakang lagi. Saya bersungguh-sungguh mahu menjadi tenaga pengajar dan alhamdulillah, apa yang saya impiannya sudah terlaksana. “Kini barulah saya tahu tanggungjawab sebenar seorang guru.

Kalau ada yang mengatakan kerja kami senang dan tiada tekanan, itu silap. Tugas ini mempunyai satu tanggungjawab dan amanah besar. Andai disia-siakan amanah ini, kami akan dipersoalkan kelak kerana tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya lagi.

Benar apa kata Nor Fariza. Tugas yang digalas oleh setiap mereka yang bergelar guru tidak semudah mata orang memandang. Pastinya amanah mendidik anak bangsa satu tanggungjawab yang cukup besar.Kerjaya perguruan satu kerjaya mulia.

Mendidik anak bangsa menjadi insan berguna dan menunjukkan lorong dan jalan kepada masa hadapan mereka. Walaupun guru ibarat lilin membakar diri untuk menerangi orang lain, itulah jasa dan keringat seorang guru yang perlu dikenang oleh setiap insan berjaya hari ini.

Jika difikirkan kembali jasa yang ditabur oleh seorang guru tidak ternilai harganya berbanding ilmu yang dicurahkan. Guru sanggup mencurah bakti dan jasa demi anak bangsa. Itulah istimewanya mereka yang bergelar guru.