IPOH - Rekod cemerlang dalam bidang sukan sebagai atlet olahraga menjadikan Mohd Irfan Izzan, 16, cukup terkenal dalam kalangan atlet di Ipoh.

Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat ini pernah memenangi empat pingat emas dalam satu kejohanan olahraga di Kuantan, Pahang, selain mempunyai pengalaman mewakili Malaysia ke Australia dan telah meraih johan untuk acara olahraga.

Ditanya mengenai rahsia kejayaan, dia berkata, selain dorongan keluarga, rakan sekelasnya juga antara pencetus semangat buatnya untuk terus aktif dalam bidang sukan ini.

Menurut Mohd Irfan, jurulatihnya, Amir Rizwantan banyak membantunya dalam setiap sesi latihan yang diadakan pada waktu petang.

Mohd Irfan Izzan

Ditanya siapa idolanya, Irfan mengakui, dia menjadikan Raizam Shah dan Lui Zhang sebagai idola kerana dua figura ini diminatinya sejak kecil lagi.

“Penekanan terhadap bidang sukan sejak di bangku sekolah rendah lagi iaitu menerusi pelaksanaan 1 Murid 1 Sukan telah berjaya menarik minat saya. Usaha luar biasa dan kerajinan yang tinggi tanpa berputus asa merupakan cara saya untuk meningkatkan prestasi diri sendiri.

“Namun, besar mana pun kejayaan yang kita peroleh, janganlah kita lupa diri. Ingatlah kita hebat kerana doa daripada ibu bapa kita,” katanya ketika ditemui sempena Program Kadet Wartawan Amanjaya yang diadakan di SMK Gunung Rapat, baru-baru ini.

Mohd Irfan berkata, dia juga ingin menonjolkan bakatnya di serata dunia selain menanam impian untuk menyertai sukan Olimpik dan ingin mengambil bahagian dalam acara olahraga hingga ke peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, dia turut menyimpan hasrat menjadi seorang fisioterapi dan menjadi atlet olahraga terkenal.

“Saya ingin mengharumkan nama negara di serata dunia. Don’t stop when you tired, stop when you died (jangan berhenti ketika anda penat tetapi berhenti ketika anda mati),” katanya.

Pelajar dari SMK Pengkalan sempat bergambar dengan Mohd Irfan Izzan.