Siapa sangka, pelajar yang dahulunya menjadi penterjemah sambilan dengan mengikut bot pelancong di Mersing akhirnya berjaya membina empayar perniagaan sendiri bidang perkapalan dan berdiri gah setanding syarikat antarabangsa.

Tidak mendabik dada, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Centre of Maritime Excellence Sdn Bhd (CME), Datuk Kapten Jaafar Lamri, 60, akui pencapaiannya itu sedikit sebanyak hasil budi baik orang kampungnya di Mersing Kecil suatu ketika dahulu.

Menurut Jaafar, sejak memiliki perniagaan Teluk Penyabong Resort (TPR) di Penyabong, beliau bersyukur akhirnya dapat memberi balik kepada komuniti setempat.

“Saya masih ingat lagi, ketika saya mahu menyambung pelajaran ke luar negara dalam bidang perkapalan di Liverpool pada 1974. Orang kampung kumpul duit bagi pada saya. Tak silap saya ketika itu, saya anak kampung pertama dapat sambung belajar ke luar negara.

“Perkara ini saya tak akan lupa sampai bila-bila. Mereka bantu saya dan saya fikir saya ada cara tersendiri bantu mereka semula.

“Sebab itu di TPR saya pastikan pekerja dan kontraktornya dari kalangan orang Mersing juga. Ini cara saya beri balik kepada komuniti,” katanya.

Jaafar bersama kakitangannya yang bersama-sama membangunkan CME.

Jaafar berkata, beliau memilih bidang perkapalan kerana melihat bidang itu sesuatu yang menyeronokkan.

“Waktu sekolah di Mersing saya selalu ikut pakcik-pakcik bot bawa pelancong ke pulau jadi penterjemah. Memang seronok, jadi bila saya dapat tawaran biasiswa daripada JPA, saya pilih bidang ini.

“Perkapalan ini bukan belajar dalam bilik kuliah sahaja. Ada pergi belayar juga, jadi memang tak sama dengan pengajian lain. Pengalaman 10 tahun belajar itu memang luar biasa,” katanya.

Jaafar menerima penghargaan daripada Ikhtisas Kelautan Malaysia (Ikmal) atas sumbangan dan penglibatan dalam Ikmal dan industri maritim negara.

Urus perniagaan tanpa pinjam bank

Satu lagi perkara luar biasa dilakukan Jaafar yang mengusahakan perniagaannya sejak 1996 hingga kini beliau tidak pernah membuat sebarang pinjaman dengan mana-mana bank.

“Saya langsung tak pinjam bank. Kita kena pandai urus sebenarnya. Apabila untung kita jangan guna semua hasil, kena simpan.

“Cara saya kerja, cuba kekal 'low profile' seboleh mungkin. Apabila bekerja, buat yang terbaik dan tinggalkan legasi supaya apabila kita keluar, ada benda yang kita tinggalkan.

“Saya berpegang kalau kita buat yang terbaik, ada amal yang kita tak harapkan balasan atau keuntungan, insya-Allah kita akan dipermudahkan,” katanya yang pernah berkhidmat dengan Petronas selama 20 tahun.

Jaafar dan isterinya, Profesor Dr Norizan Abd Razak bersama empat anak dan menantu mereka.

Menyingkap pencapaiannya hari ini, Jaafar memberitahu, beliau dan rakan niaganya pernah membeli syarikat yang dikelilingi hutang pada 1995.

“Kami beli CME dan syarikat ini sedang gagal sebenarnya tapi alhamdulillah dalam tempoh setahun setengah kami berjaya bayar balik segala hutang dan dapat untung.

“Mungkin orang kata kerja gila tapi alhamdulillah kami dapat atasi dan urus sebaiknya. Syarikat kami fokus pada servis dan konsultasi,” katanya yang juga aktif dalam jawatankuasa komuniti setempat di tempat tinggalnya.

Promosi Mersing guna media sosial

Selain itu, Jaafar juga aktif di media sosial mempromosi Penyabong dan Mersing agar keunikan daerah ini terus tersebar di merata dunia.

Malah beliau menggunakan nama batu ayam atau ‘Sabung Rock’ sebagai trade mark di resort dan laman sosial miliknya.

“Saya promosi Penyabong dengan menaikkan mercu di sini iaitu batu ayam yang kononnya dikatakan sebagai lokasi lanun menyabung ayam.

“Saya tak hanya mempromosikan TPR tapi juga mengenai Mersing, makanan dan lokasi menarik di Mersing.

“Sedikit demi sedikit lama-lama orang nampak dan anda boleh lihat hari ini pembangunan sedang berjalan di Penyabong,” katanya yang menjangkakan Penyabong bakal tampil berbeza dalam lima tahun akan datang.

Biodata

Nama: Datuk Kapten Jaafar Lamri

Pendidikan: Higher National Diploma in Nautical Science, John Moores University, Liverpool, United KIngdom

                      Master Mariner, Class 1, RMITU, Australia

Pengalaman:

Ketua Pusat Koordinasi Menyelamat Maritim Kebangsaan, Jabatan Marin Semenanjung Malaysia (1987)

Petronas (1994)

Ahli Lembaga Pengarah Global Carriers Bhd (2010)

Pengerusi Orion Maritime Sdn Bhd (2011)

Pengerusi Bencahmark Marine Sdn Bhd dan Pandan Technology Sdn Bhd (2010)

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif CME Sdn Bhd, CME Logistics Sdn Bhd dan CME Resources Sdn Bhd (kini)