Memperoleh Anugerah New Deal (Tawaran Baharu kepada Pengetua) selama tiga tahun berturut-turut bermula 2012 hingga 2014 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali membuktikan bahawa kecemerlangan yang dicapai oleh Pengetua Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) kini, Omar Salleh, 48, sesuatu yang cukup hebat.

Beliau yang mempunyai pengalaman 22 tahun dalam bidang pendidikan sentiasa komited merealisasikan hala tuju pendidikan, terutama menghadapi cabaran semasa.

Sebagai warga pendidik katanya, komitmen perlu bagi memastikan kecemerlangan akademik pelajar, di samping menitikberatkan pembentukan sahsiah diri yang sempurna.

Omar

“Saya diberi tanggungjawab sebagai pengetua sejak tahun 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar dan seterusnya menerajui pentadbiran KISAS pada 2014. Ia satu pengiktirafan yang cukup besar.

“Kepercayaan yang diberikan ini adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi memastikan kecemerlangan KISAS dapat terus dikekalkan sebagai sekolah terbaik
di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.

Menggunakan konsep keterbukaan dalam kepimpinan antara pegangan Omar dalam memacu kejayaan KISAS hingga kini.

Seperti yang diketahui KISAS sememangnya sebuah sekolah yang berada dalam kedudukan terbaik.

“Jadi apabila saya diberi peluang untuk menerajui sekolah ini, perkara utama yang saya tekankan adalah isu akademik.

"Perbincangan bersama guru mengenai kelemahan pelajar dalam sesuatu subjek antara agenda utama.

“Biasanya program intensif akan dilakukan secara berjadual bagi memastikan pelajar dapat skor markah dengan lebih baik,” ujarnya.

Anggap pelajar seperti anak sendiri

Omar yang cukup disenangi dalam kalangan guru dan anak didiknya menyatakan, beliau mengamalkan konsep kepimpinan terbuka dan tidak mengehadkan kreativiti guru serta pelajar
dalam melonjakkan nama sekolah.

Omar ibarat seorang bapa kepada pelajarnya di KISAS.

“Saya bahagikan kepada tiga teras utama iaitu kepimpinan secara 'instructional', transformasi dan teragih. Dalam konsep ini setiap guru akan saling membantu dan membuat keputusan
dalam lingkungan yang dibenarkan.

“Hubungan baik antara guru dan pelajar juga sentiasa diutamakan kerana ia sebahagian daripada formula utama dalam meneruskan kejayaan sekolah, khususnya mencapai keputusan
cemerlang dalam peperiksaan.

“Selain menekankan tiga konsep kepimpinan, saya juga akan sentiasa memastikan setiap guru di KISAS dapat terus berganding bahu mengharumkan nama sekolah," katanya.

Keluarga yang menjadi sumber kekuatan Omar.

Sementara itu, ditanya mengenai rahsia beliau yang berjaya meletakkan KISAS di kedudukan terbaik hingga kini, beliau menyatakan semenjak mula-mula menceburi bidang pendidikan lagi sasaran awal adalah untuk menguruskan pendidikan.

"Alhamdulillah dari setahun ke setahun saya sudah mula mendapat rentak sejak mula-mula berkhidmat lagi. Malah pelajar di sini saya ibarat seperti anak sendiri yang mahu meraih kejayaan.

"Jadi dengan pendekatan yang diambil bersama guru-guru saya jadikan mereka penanda aras untuk sama-sama kecapi kecemerlangan.

"Tak dinafikan harapan daripada ibu bapa pelajar untuk memastikan anak mereka memperoleh keputusan yang baik memberi sedikit tekanan tetapi saya percaya dengan usaha semua pihak insya-Allah semuanya mampu tercapai.

"Apa yang membuatkan saya cukup seronok menerajui pentadbiran KISAS juga adalah corak kepimpinan daripada pengetua terdahulu menjadi garis panduan untuk saya mencipta kegemilangan sekolah ini masa akan datang," katanya.


Profil
Nama: Omar Salleh
Asal: Muar, Johor
Umur: 48 tahun
Nama isteri: Zarina Abd Rani
Bilangan anak: 4 orang
Kelulusan tertinggi: Sarjana
Pendidikan dan Kurikulum
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)