KENINGAU - Biarpun sudah lebih empat dekad berlalu, namun kenangan memulakan karier sebagai pendidik jauh di kawasan pedalaman Sabah, masih segar dalam ingatan seorang pesara guru, Kaipin Rosmin, 64 tahun.

Bekas Tokoh Guru peringkat negeri Sabah (2018) itu berkata, semuanya bermula sekitar tahun 1976 ketika beliau hampir menamatkan pengajian di Kent College, Tuaran, iaitu institut latihan guru tertua di Sabah.

Beliau memberitahu rakan-rakannya tentang hasrat untuk mengajar di salah sebuah sekolah di daerah terpencil Sabah.

Kawan-kawan kemudian mencabar beliau untuk memohon mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubang Buaya Paitan, SK Long Pasia atau SK Pensiangan yang terletak di dalam hutan belantara kawasan pedalaman Sabah.

Pada awal 1977, bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, Kaipin akhirnya diminta melaporkan diri sebagai pembantu guru di SK Lubang Buaya Paitan, daerah Beluran di Sandakan (Sabah).

Pada mulanya, Kaipin bekas pelajar Maktab Tentera Diraja berasa agak bimbang untuk mengajar di sekolah berkenaan, namun keputusan untuk berpatah balik ketika itu sudah terlambat kerana beliau yang meminta untuk ditugaskan ke sekolah pedalaman itu.

Menurut Kaipin, perjalanan ke SK Lubang Buaya di Kampung Lubang Buaya mengambil masa 10 hari dan beliau terkejut kerana termasuk dirinya, hanya ada tiga orang guru dan lima orang pelajar di sekolah itu.

Masa begitu cepat berlalu, diam tak diam tanpa disedari Kaipin cekal berkhidmat selama tiga tahun sebagai guru di beberapa buah sekolah luar bandar dan terpencil di Sabah.

Bagi Kaipin, pengalaman mengajar di kawasan pedalaman sesungguhnya mengubah tanggapan beliau tentang kerjaya sebagai seorang guru. Malah beliau menjadi lebih berdedikasi, tabah dan bersemangat melaksanakan tugas sebagai pendidik.

"Ketika itulah saya menyedari bahawa masyarakat luar bandar benar-benar dahagakan ilmu.

"Saya juga melihat betapa sukarnya kehidupan di kawasan pedalaman. Bagaimanapun, orang di pedalaman amat baik hati dan pemurah meskipun tinggal jauh daripada hiruk-pikuk kesibukan dunia luar,” kata  pesara guru yang kini bekerja secara kontrak sebagai penasihat kluster di sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pendidikan, LeapAd Agency, di Kimanis, Papar (Sabah).

Mengenang kembali perjalanan pertama beliau ke Kampung Lubang Buaya, Kaipin memberitahu Bernama bahawa kampung pedalaman itu hanya boleh diakses melalui jalan sungai. Ketika itu hanya terdapat perkhidmatan bot dari bandar Sandakan. (Kini terdapat jalan darat dari Sandakan yang menghubungkan kampung berkenaan).

Dari jeti sungai, bot akan menelusuri pesisir pantai untuk ke Sungai Sugut bagi menghantar tiga orang guru baru yang perlu melaporkan diri di sekolah mereka.

Bot yang sama akan kembali ke pesisir pantai untuk menghantar guru lain ke Pulau Jambongan dan selepas itu barulah akan menelusuri Sungai Kuala Paitan sebelum sampai ke Kampung Lubang Buaya.

"Kampung Lubang Buaya terletak di bahagian hulu Sungai Paitan. Bagaimanapun, disebabkan keadaan air sungai pasang surut, bot kami tidak dapat ke sana (Kampung Lubang Buaya), jadi saya terpaksa singgah di Kampung Sugut selama lima hari sebelum seorang guru dari SK Lubang Buaya Paitan datang menjemput saya menggunakan bot yang berkapasti lima kuasa kuda.

"Nak dijadikan cerita, kehadiran saya di Kampung Sugut hanya disedari setelah seorang penduduk Kampung Lubang Buaya pulang dari Kampung Sugut," kata Kaipin.

Mengenang detik perjalanan menaiki bot dari Kampung Sugut ke Lubang Buaya, Kaipin berkata perjalanan mengambil masa selama empat jam dan ia sangat mencabar dan berbahaya kerana arus sungai yang deras dan bot bermudik ke bahagian hulu sungai.

"Di kawasan tertentu sungai menjadi agak cetek, jadi kami terpaksa turun menolak perahu dan mengangkatnya sehingga air sungai cukup dalam untuk membolehkan enjin bot dihidupkan," katanya.

SK LUBANG BUAYA PAITAN

Di SK Lubang Buaya Paitan, Kaipin bukan sahaja mengajar pada sesi pagi, malah turut mengajar bahasa Melayu dan asas bahasa Inggeris kepada ibu bapa pelajar pada sebelah petang serta hujung minggu.

Penduduk Lubang Buaya kebanyakannya terdiri daripada etnik Orang Sungai.

"Aktiviti tambahan ini membuatkan saya sibuk dan saya tidaklah terasa sepi...tambahan pula saya suka akan bunyi-bunyian alam semula jadi seperti kicauan burung dan sang ungka sahut-menyahut," kata Kaipin yang tinggal di kuarters guru sekolah berkenaan ketika itu.

Setelah berkhidmat selama empat bulan di SK Lubang Buaya, Kaipin ditukarkan ke SMK Kinabatangan, yang terletak di bahagian hilir sungai Paitan. Kawasan in boleh diakses menggunakan jalan darat dari bandar Sandakan.

Pertukaran kali ketiga Kaipin ke sekolah pedalaman berlaku pada awal tahun 1979 iaitu ke SMK Tongod, sebagai pengetua.

SMK Tongod, sekolah menengah yang terletak di kampung Tongod, daerah Bukit Garam, di bahagian Sandakan, ketika itu hanya boleh diakses dengan bot.

Untuk rekod, jalan Telupid-Tongod siap dibina pada akhir tahun 1979, yang membolehkan perjalanan ke Tongod melalui jalan darat dari bandar Sandakan.

Bangunan sekolah SMK Tongod asalnya merupakan sebuah dewan untuk aktiviti belia sebelum diubah menjadi sekolah.

SMK Tongod ketika itu hanya mempunyai tiga buah bilik darjah.

KURANG PELAJAR

Tatkala melaporkan diri di SMK Tongod, Kaipin yang berasal dari Ranau dan dibesarkan di Kampung Bayangan, Keningau, mendapati sekolah baharunya itu tidak mempunyai cukup pelajar untuk memenuhi tiga bilik darjah yang ada.

"Jadi tugas pertama saya ialah "mencari pelajar," katanya, sambil menambah dengan bantuan ketua Kampung Tongod beliau berjaya mengumpulkan seramai 20 orang remaja dari kampung berdekatan yang tidak dapat meneruskan pelajaran peringkat menengah kerana masalah kewangan.

"Beberapa pelajar sudah melangkau usia 18 tahun, namun setelah beberapa bulan di sekolah, ada yang berhenti bersekolah kerana berkahwin,” katanya.

Pada masa yang sama, Kaipin berkata  pihak sekolah berjaya mengumpulkan seramai 40 orang pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua dari SMK Kinabatangan untuk dipindahkan ke SMK Tongod kerana pelajar berkenaan berasal dari Tongod.

Sebelum bersara pada 2016, Kaipin yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dari Universiti Putra Malaysia, pernah berkhidmat di Keningau dan Tambunan sebagai pegawai pendidikan daerah.

Menurut Kaipin, masih terdapat banyak sekolah luar bandar di Sabah yang memerlukan pembangunan infrastruktur dan kemudahan, terutamanya akses Internet.

"Sabah sebuah negeri yang luas dengan lebih 1,000 sekolah tetapi jumlah bilik darjah dan bangunan sokongan masih terhad terutamanya di kawasan luar bandar," katanya sambil menambah bahawa kira-kira 60 hingga 70 peratus sekolah di Sabah terletak di kawasan luar bandar atau pulau.

Justeru, beliau berharap supaya pegawai pendidikan daerah sentiasa peka dan mengemukakan cadangan keperluan infrastruktur sekolah pedalaman untuk dipertimbangkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

"Tetapi biasanya, oleh kerana terdapat banyak permohonan dan cadangan yang diterima dari seluruh negeri, maka ada permohonan yang terpaksa ditolak," katanya.

Namun, apa yang lebih penting katanya, proses transformasi pendidikan di Sabah adalah sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. - Bernama

Artikel lain:

Sempena cuti Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh buat ini manfaat masa

PM umum Perintah Kawalan Pergerakan tapi cikgu ini pula yang pening

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

'10 topik Sains wajib ulang kaji ketika ini' - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Pengetua SMKA Naim Lilbanat kongsi tip lonjak keputusan SPM 2019 - Boleh jadi panduan sekolah lain