"Jadilah anak yang baik

Anak yang baik mendengar kata

Anak yang baik mendengar arahan ibu bapa

Anak yang baik mendengar kata gurunya

Anak yang baik sentiasa berusaha melakar

kejayaan untuk diri dan sekolah

Anak yang baik tidak tinggal solat

Anak yang baik menjaga agamanya."

Itu ungkapan yang sering dilontarkan Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haji Abdul Samad (SDASA), Port Dickson, Reha Masngadi, 58, sebagai kata ‘azimat’ kepada semua pelajarnya.

Warga guru SDASA tidak melepaskan peluang bergambar bersama Reha.

Untuk kesekian kalinya, ungkapan itu diucapkan lagi Reha, namun kali ini lebih bermakna kerana ia ungkapan kali terakhir ketika memberi ucapan pada satu majlis meraikan hari persaraannya oleh warga SDASA, baru-baru ini.

“Yang penting adalah baik, bukannya 'straight A' (dalam akademik). Jika kita anak yang baik, meraih kecemerlangan itu tidak mustahil, kecemerlangan akan mengekori anak yang baik,” katanya.

Reha turut memberi nasihat kepada rakan guru supaya bekerja bukan kerana pengetua atau pengurusan, sebaliknya bekerja kerana ALLAH SWT.

“Dalam agama, kita dituntut untuk melaksanakan tanggungjawab sebaiknya. Ikhlas melakukannya dan Insya-ALLAH segala hijab pintu rezeki akan terbuka dan kesukaran serta cabaran akan mudah dilalui.

“Jagalah anak murid kita sebaiknya,” katanya.

Cikgu Reha...penyayang dalam ketegasan.

Mengimbas kembali sejarah, anak kelahiran Kampung Linggi ini mula berkhidmat pada 1983 di Sekolah Menengah Tinggi Port Dickson selama 13 tahun, kemudian membuat permohonan untuk berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Saujana kerana mahu memberi cabaran kepada diri sendiri.

Menurut Reha, ketika itu SMK Bukit Saujana (Port Dickson) berada di kedudukan ke dua terbawah dalam 'ranking' sekolah di semenanjung Malaysia.

“Saya ke sana kerana berpendapat mungkin ada sesuatu yang boleh saya buat untuk bersama guru-guru di sana melonjakkan kecemerlangan sekolah.

“Syukur prestasi sekolah telah melonjak dan sehingga kini kekal menjadi sekolah kedua terbaik di daerah ini," katanya.

Pernah diarah bertukar 24 jam

Bagaimanapun, Reha berkata, dia kemudian diarah berpindah ke SMK Kampung Baru (Port Dickson) sebagai penyelia petang dan arahan itu berkuat kuasa dalam masa 24 jam selepas ia dikeluarkan.

“Walaupun terkejut, tapi saya sahut cabaran itu. Sekali lagi syukur tujuan saya dipindahkan ke sekolah itu dapat saya capai seperti mana yang dikehendaki,” katanya yang kemudiannya berpindah ke SMK Pasir Panjang selepas setahun di SMK Kampung Baru.

Reha berkata, setahun di SMK Pasir Panjang, dia kembali semula ke SMK Kampung Baru sebagai Guru Penolong Kanan Akademik.

“Selepas empat tahun di SMK Kampung Baru, pada tahun 2011 saya berpindah ke SMK Sri Perpatih Palong (Jempol) sebagai pengetua dan pada setahun kemudian berpindah ke SDASA selepas sekolah itu hampir lapan bulan tiada pengetua.

“Cabaran di SDASA tidak kurang hebat juga. Dalam beberapa bulan awal saya menerajui sekolah itu, pelbagai insiden berlaku. Antaranya asrama pelajar terbakar dan pergaduhan pelajar berbaur perkauman berlaku.

“Tapi saya tidak mengalah, sekarang berkat usaha semua pihak, guru, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), ibu bapa dan pelajar sendiri, SDASA kini hebat dari aspek kecemerlangan akademik, kokurikulum dan sahsiah,” katanya.

Ibu kepada lima anak dan nenek kepada tiga cucu itu berkata, sepanjang tempoh 34 tahun berkhidmat, boleh dikatakan seluruh hidupnya digunakan dengan berkhidmat untuk sekolah.

“Selepas bersara ini saya akan tebus semula masa tersebut untuk bersama keluarga,” katanya.

Reha bersama suami, anak, menantu dan cucu.