KUALA SELANGOR - Warga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor dan pengurusan sekolah di daerah ini komited membawa agenda kecemerlangan pendidikan terutamanya ke arah kemenjadian murid dan pelajar secara holistik.

Tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik, pembangunan sahsiah diri turut diberi penekanan dalam usaha melahirkan pelapis bangsa yang ada nilai murni tinggi, bersih dan sihat.

Ikuti wawancara Wartawan Sinar Harian, Arziana Mohmad Azaman bersama Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Marpuaton Sastero mengenai misi dan visi PPD Kuala Selangor dalam mencapai sasaran kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.

Apakah fokus PPD Kuala Selangor dalam agenda kecemerlangan pendidikan anak Kuala Selangor ke arah kemenjadian murid secara holistik?

PPD Kuala Selangor menyahut baik saranan kementerian dan pengarah pendidikan terhadap aspek kemenjadian murid dengan penerapan nilai murni yang menjadi agenda utama sistem pentaksiran baharu.

PPD Kuala Selangor kini menuju kepada penerapan elemen keterbilangan kemenjadian murid dalam memperkasakan pengurusan tertinggi sekolah, guru dan pelajar dengan merancang pelbagai program menarik bagi membantu menambah baik pencapaian sekolah sasaran. \

Apakah inisiatif yang diambil PPD Kuala Selangor bagi menambah baik pencapaian akademik dan sahsiah diri murid luar bandar?

Pelbagai program dirancang dan dilaksanakan sebagai inisiatif PPD Kuala Selangor bersama pengurusan sekolah seperti dialog prestasi, mesyuarat dan juga bantu bimbing ke sekolah kerana kita bukan hanya tumpu setakat pencapaian akademik tetapi juga hal ehwal, kokurikulum dan sahsiah murid.

Jika mahu disebut satu persatu, memang banyak program dan aktiviti dilaksanakan di peringkat PPD, sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sendiri bagi bersama mencapai matlamat kecemerlangan di sekolah masing-masing.

Adakah PPD Kuala Selangor turut berdepan isu ketidakhadiran ke sekolah, penyalahgunaan dadah dan disiplin menjadi masalah utama yang sering dikaitkan dengan pelajar luar bandar?

Isu masalah sosial tidak dinafikan berlaku di semua sekolah tak kira di bandar mahupun luar bandar.

Sudah menjadi tanggungjawab PPD Kuala Selangor untuk memberi penekanan terhadap isu ini bagi melahirkan masyarakat yang bersih dan cemerlang.

Bukan mudah sebenarnya kerana kita perlu berusaha lebih gigih dari ‘bottom to the top’ melibatkan semua pihak supaya isu ini dapat dibendung termasuk program intervensi bersepadu.

Marpuaton (tiga, kanan) menyampaikan kunci kepada wakil Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Coalfields sebagai simbolik penyerahan bangunan sekolah baharu yang turut disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (empat, kanan).

Apakah cabaran paling besar yang perlu dihadapi PPD Kuala Selangor dalam usaha untuk mencapai agenda kecemerlangan pendidikan terutamanya ke arah kemenjadian murid?

Sebenarnya, cabaran paling besar adalah untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan ilmu kepada anak mereka. Ini sebab, masih ada ibu bapa yang masih mengabaikan kepentingan pendidikan anak mereka sehingga ada yang tidak kisah anak mereka ponteng sekolah dan terlibat masalah sosial atau sebagainya.

Kesedaran ibu bapa ini cukup penting dan perlu memainkan peranan penting bersama PIBG serta pihak sekolah.

Ibu bapa yang menjadi tonggak utama ke arah kemenjadian anak mereka sendiri dan dibantu pihak sekolah sekali gus membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Bercakap mengenai soal pencapaian sekolah, bagaimana sasaran pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) PPD Kuala Selangor bagi tahun ini?

Untuk makluman, konsep penilaian pencapaian sekolah untuk peringkat sekolah rendah iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) kini lebih kepada pencapaian minimum bagi memastikan semua calon melepasi tahap yang ditetapkan.

Bagaimanapun bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, pencapaian terbaik masih dinilai melalui gred pencapaian sekolah dan PPD Kuala Selangor menyasarkan sekurang-kurangnya skor purata 4.0 berbanding 5.0 pencapaian terdahulu.

Bagaimana peningkatan kedudukan PPD Kuala Selangor dalam tempoh tiga tahun mentadbir sektor pendidikan di daerah ini?

Saya cukup berbangga dengan pencapaian PPD Kuala Selangor yang berjaya mengubah tangga kedudukan dari tempat kesembilan sebelum ini, kini berjaya menduduki tempat ketujuh.

Pencapaian ini cukup menggalakkan dan PPD Kuala Selangor sentiasa berusaha untuk mencapai ranking tangga yang terbaik seiring prestasi kecemerlangan dan kemenjadian murid dari tahun ke tahun.

Mungkin berkat kerjasama semua pihak, mungkin PPD Kuala Selangor mampu menuju ke tangga yang lebih baik.

Apakah harapan PPD Kuala Selangor dalam menambah baik kecemerlangan pendidikan luar bandar?

Sudah menjadi harapan saya untuk memastikan semua pihak dapat memberi kerjasama bagi merealisasikan impian untuk melahirkan lebih ramai anak Kuala Selangor yang bersih, sihat dan cemerlang dari segi akademik serta sahsiah diri.

Saya mahu melihat keterbilangan kemenjadian anak Kuala Selangor secara holistik kerana jika sahsiah diri dapat dijulang, secara automatiknya kecemerlangan akademik akan datang sendiri.