RUMAH
Sebuah rumah yang besar,
Dibina sudah lebih 400 tahun,
Merakam pelbagai peristiwa,
Pelbagai tragedi,
Sebuah rumah yang besar,
Kini hampir runtuh,
Kini hampir roboh,
Musnah dek anai-anai,
Hancur dek retak,
Sebuah rumah yang dibina
Beratus tahun lamanya,
Kini hancur,
Kini retak,
Dimusnah oleh penghuni yang gila,
Sebuah rumah yang dibina bersama,
Kini dipenuhi tetamu,
Kini dipenuhi penumpang yang tidak diundang,
Dijual,
Digadai,
Digadai maruah,
Digadai kenangan,
Digadai dengan keadaan kotor,
Bersepah,
Berselerak,
Dipenuhi tikus,
Semut,
Labah-labah,
Dan anai-anai...
Nukilan: Iskandar Warid Nazrul Izad
Jari yang menukilkan, hati yang meluahkan, di atas kertas ini penanya bermain. Meluah rasa dan isi hati... penuh makna dan segar jiwanya.
Sekali dibaca, tak kan sangka penulis dan pemuisi ini seorang insan kecil yang usianya baru 11 tahun.
Namun nukilannya ikhlas dari hati, biar bertubuh kecil, tapi hatinya berjiwa besar.
Murid Tahun Lima, SK Semambu, Kuantan Pahang, Iskandar Warid Nazrul Izad empunya nama. Dia punya bakat luar biasa, selain pandai menulis puisi, Iskandar Warid juga seorang pelantun puisi dan berpidato. Pernah menjuarai pidato Bahasa Melayu Pahang dan juara syarahan agama Daerah Kuantan.
Hebatnya murid cemerlang SK Semambu ini, ketika usianya enam tahun, dia pernah menjuarai puisi tadika seluruh Pahang, juga pernah mendeklamasikan puisi di hadapan 1000 orang tetamu di dewan Jubli Perak, Kuantan.
Lebih membanggakan, Iskandar ni rupanya cicit kepada Sasterawan Negeri Terengganu, JM Aziz, iaitu Datuk Aziz Abdul Rahman, Sasterawan cacat penglihatan yang memperjuang puisi rakyat dan nelayan.
Patutlah Iskandar punya semangat juang dan seni orangnya, rupanya darah sasterawan mengalir dalam tubuhnya.
Jom kita berkenalan dengan Iskandar Warid.
“Saya meminati puisi sejak umur enam tahun, ketika berada di tadika Kemas Beserah Tengah Kuantan dan saya telah mendeklamasikan puisi di hadapan 1000 orang di Dewan Jubli Perak Kuantan.
“Hobi saya adalah mengarang puisi, membaca buku politik dan kesusteraan. Setakat ini saya telah mengarang kira-kira 20 puisi yang bertemakan kemasyarakatan, yang mana saya namakan antologi suaraku,”jelas Iskandar yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor pakar kanser.
“Keluarga saya adalah pendorong utama saya. Saya selalu membaca puisi JM Aziz. Saya juga pernah tiga kali dipanggil mendeklimasikan sajak di Radio Pahang FM. Harapan saya dengan mata pena saya ini, saya dapat pejuang nasib rakyat khasnya golongan miskin.”
“Ikon yang saya sangat hormati adalah Mantan Menteri Besar Pahang, Datuk Rahim Bakar. Sebab pada saya, dia orang Beserah yang paling hebat. Selain itu, tokoh yang saya minati adalah Tun Razak. Sebab beliau mencipta satu dasar ekonomi baru DEB yang mengeluarkan bangsa saya kepada dunia kemiskinan,”katanya.
Iskandar cukup matang, pemikirannya juga di luar jangkauan usia.
Selain suka membaca buku tentang dasar ekonomi baru DEB, Iskandar juga suka membaca buku-buku politik. Boleh dikatakan, koleksi bacaannya banyak berkisarkan tentang politik.
Jiwanya cukup penyayang, dan cepat tersentuh dengan nasib masyarakat yang kurang kemampuan. Selain sering mengunjungi dan memberikan bantuan kepada golongan asnaf, duit kemenangan yang diperolehnya juga akan diserahkan sebahagiannya kepada tabung sekolah dan juga PIBG. Katanya, ramai murid susah yang lebih memerlukan.
Apapupun, tahniah buat guru dan ibu bapanya, punya murid juga anak yang berbakat besar, cemerlang dan luar biasa.
GPSBestari doakan, adik Iskandar akan menjadi seorang yang berjaya dan cemerlang pada masa akan datang.