Wajah guru ikon, Hajah Rukiah Hanoum binti Omar Farok, dilahirkan pada tanggal 22 Disember 1952 di Alor Setar, Kedah. Memperoleh Sijil Perguruan Khas (Cacat Penglihatan) dari Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.

Merupakan pemegang Diploma Pendidikan Sejarah, Sivik dan Kokurikulum dari Universiti Malaya pada tahun 1977 dan seterusnya memperoleh ijazah Pendidikan Sejarah dari Universiti Sains Malaysia pada 1976.

Guru Penuh Dedikasi

“Selamat pagi, cikgu” merupakan ucapan keramat pertama yang beliau terima pada tarikh7 Januari 1977 di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Beliau juga pernah menabur jasa di beberapa buah sekolah lain seperti SM St. John Kuala Lumpur, SM Teknik Johor Bahru, SM Tinggi Setapak Kuala Lumpur, SM Dato Hamzah Pelabuhan Klang, SMK Telok Gadong Klang, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, SMK Seksyen 19 Shah Alam, dan SMK Seksyen 9 Shah Alam.

Sepanjang bergelar seorang pendidik, beliau pernah menjadi guru tingkatan enam serta Bahasa Malaysia untuk tingkatan satu, dua dan tiga, Ekonomi Rumah Tangga Bermasalah Pembelajaran, Bahasa Inggeris, Kemahiran Hidup, dan juga Pendidikan Islam. Beliau turut menjawat beberapa jawatan iaitu guru Stok & Inventori Sekolah serta Guru Kanan Pendidikan Khas.

Kesungguhan insan berdedikasi ini juga diterjemahkan dalam sumbangan dan penglibatan beliau pada peringkat sekolah, daerah dan kebangsaan. Pada peringkat sekolah, beliau pernah menjadi guru penasihat Persatuan Sejarah SM St. John dan SM Setapak Kuala Lumpur, setiausaha Kelab Guru SM Tinggi Setapak Kuala Lumpur, bendahari Badan Kebajikan KKBP SMK Seksyen 9 Shah Alam, penyelaras Kokurikulum PKBP SMK Seksyen 9 Shah Alam, ahli jawatankuasa Penaja Pusat Latihan Pelajar Istimewa Lepasan Sekolah Daerah Petaling dan banyak lagi.

 

Antara sumbangan beliau pada peringkat daerah pula ialah Koordinator Menengah Panitia Pendidikan Khas Daerah Petaling, pengelola Lawatan Penyelaras-penyelaras Petaling ke Wisma Harapan, AJK Pengelola Tilawah al-Quran Pendidikan Khas, AJK Pengelola Ekspo Pendidikan Khas di Kompleks PKNS, dan AJK Perkhemahan Pendidikan Khas Daerah Petaling Perdana, pengerusi Pendidikan Khas Daerah Petaling, urus setia Seminar Guru-guru Pendidikan Khas Petaling di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, urus setia Kursus Perkembangan Staf & Guru Pendidikan Khas Petaling serta penceramah Mesyuarat Pengurusan Guru Besar Daerah Petaling.

Pada peringkat kebangsaan pula, beliau merupakan pengerusi Panel Penyediaan Rancangan Pelajaran Bermasalah Pembelajaran Menengah Negeri Selangor dan pengerusi Panel Penyediaan Rancangan Pelajaran Bermasalah Pembelajaran Menengah Negeri Selangor (Kurikulum Baru).

Manakala, sumbangan beliau pada peringkat kementerian ialah sebagai panel Semakan Semula Sukatan Pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik  anjuran Jabatan Pendidikan Khas Selangor, ahli panel penggubal Sukatan Diploma Pengurusan Malaysia anjuran Bahagian Pendidikan Guru KPM, ahli jawatankuasa penyediaan  Kurikulum Alternatif Vokasional anjuran Jabatan Pendidikan Khas KPM, ahli jawatankuasa Penyemakan & Pemurnian Projek Brif Ruang SMPKV Rancangan Malaysia ke-8 dan ahli jawatankuasa Draf Pertama Kurikulum & Huraian Kurikulum Bermasalah Pembelajaran anjuran Jabatan Pendidikan Khas KPM.

Aktif Sertai Aktiviti Kemasyarakatan

Penglibatan beliau tidak sahaja terhad dalam bidang tugas rasmi sahaja, malah selepas bersara wajib, beliau terus menyumbangkan khidmat bakti dalam aktiviti kemasyarakatan dan badan sukarela sebagai ahli Home Mental Awareness Association, pengerusi Pertubuhan Perempuan Melayu Pulau  Pinang, pemegang amanah Islamic Propagation Society International, ahli Persatuan Bekas Pelajar SMP St. George, ahli PERKIM serta ahli persatuan Alumni USM Selangor.

Menerusi kesungguhan beliau menabur jasa dan bakti kepada masyarakat, beliau juga telah diberi pengiktirafan dan penghargaan apabila dikurniakan Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas peringkat Kebangsaan sempena sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan pada tahun 2015 dan banyak lagi sumbangan beliau yang tidak tersenarai di sini.

Maka, dengan segala kejayaan yang telah diperoleh oleh beliau, tidak hairanlah beliau telah terpilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Khas Juri Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Khas PPD Petaling Perdana 2016 yang diadakan baru-baru ini. Tahniah diucapkan!