HARI guru 2016 yang lalu telah menjadi titik mula membuka mata dan hatinya untuk terlibat dengan kebajikan murid.

Kata beliau, hadiah yang sangat unik daripada murid bernama Fatin Najwa Azahar ketika itu memberi kesan mendalam di hati.

Demikian perkongsian daripada guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pegang, Kedah, Esmimi Elias.

"Saya mula mengajar di SK Kuala Pegang pada tahun 2010. Pada masa itu, saya hanya menumpukan pada pengajaran dan pembelajaran sahaja.

 

"Kisah tersebut saya kongsikan di media sosial tak sangka menjadi tular dan sejak itu menjadi detik permulaan untuk membantu murid yang serba kekurangan. Ramai yang ingin membantu dan menghubungi saya," katanya.

Kata Esmimi, begitu juga dengan kisah anak muridnya yang tidak pernah menikmati ais krim.

"Kisah ini juga tular dan meninggalkan kesan kepada saya dan rakan guru yang lain.

"Kami ke rumah murid tersebut dan rumahnya dalam keadaan yang sangat daif. Sejak dari itu saya bertekad untuk membantu dan menjaga kebajikan anak murid saya," katanya.

Menurut beliau, kebajikan murid itu bermula pada 2016 sehingga kini.

 

Cikgu Esmimi (kanan) membawa murid memilih cermin mata di Baling, Januari lalu.

 

"Dana diperoleh hasil infak sahabat alam maya dan juga daripada NGO yang menghubungi saya berdasarkan kisah anak murid yang mereka kongsi dan tular.

"Malah ada juga projek untuk membaiki rumah anak murid dan projek bekalan air ke rumah mereka," katanya.

Kata beliau, selain barangan dapur, juga diberikan wang saku harian kepada 13 murid yatim dan miskin setiap hari sebanyak RM3.

"Ada juga sumbangan perubatan iaitu ubat kulit diberikan kepada murid saya memandangkan ramai yang terkena kudis buta.

"Kebajikan ini adalah sebagai dorongan dan semangat kepada murid di samping membantu keluarga mereka yang kurang berkemampuan.

Selain itu, kata beliau, khidmat itu demi masa depan murid daripada keluarga kurang mampu untuk keluar dari kepompong kemiskinan dan membimbing ke arah  ala tuju demi ilmu.

"Kami juga mahu menyuntik semangat ingin ke sekolah tanpa fikirkan soal kemiskinan dan fokus untuk mencapai kejayaan.

"Kebajikan ini turut mendapat sokongan yang jitu daripada pihak pentadbir. Rakan guru turut memberi kerjasama yang baik dan menyokong sepenuhnya antaranya memberi maklumat keluarga murid yang dikehendaki agar bantuan dapat disalurkan kepada yang layak," katanya.

Jelas Esmimi, ada bekas murid yang dibantu dari segi kewangan dan barangan keperluan ketika pelajar itu melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Alhamdulillah, ramai bekas anak murid yang datang jumpa saya termasuklah yang melanjutkan pelajaran dan kami masih berhubung melalui whatsApp dan Facebook," jelas beliau.

 

Antara projek kebajikan sepanjang 2016-2019 :

  1. Projek sumbangan barangan keperluan dapur
  2. Projek cermin mata kepada 4 murid
  3. Bantuan keperluan kelengkapan sekolah
  4. Projek Bakul Rahmah
  5. Projek Kembara Perdana untuk murid yatim miskin yang cemerlang
  6. Bantuan alatan menulis
  7. Tabung infak wang saku harian
  8. Projek membaik pulih rumah dan bekalan air
  9. Bayaran yuran tambahan kepada murid tahun 6
  10. Tajaan sarapan kepada 50 murid miskin dan yatim.
  11. Ziarah cakna 30 buah rumah murid
  12. Sumbangan baju raya dan zakat

 

 

 

Cikgu Esmimi (tiga, kanan) dan Muhammad Fadzli (tiga,kiri) menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada ibu tunggal murid tahun empat tahun lepas.

Cikgu Esmimi menyampaikan sumbangan telekung kepda murid tahun enam tahun lalu.

Cikgu Esmimi ketika membawa murid membeli kelengkapan Aidilfitri tahun lalu.