Shah Alam - Walaupun tidak menerima anugerah berderet, bukan juga guru pakar mahupun cemerlang, tetapi pengorbanan yang dilakukan guru muda ini perlu dijadikan inspirasi.

Diuji dengan kematian ayah ketika mengikuti kursus untuk meningkatkan prestasi pembelajaran dan pengajarannya, namun dia tetap gagah meneruskan hingga ke penamat.

Noor Halini Allias, 36, sejak kecil ingin menjadi peguam, namun sekarang beliau merupakan guru yang berpengalaman.

Beliau boleh dikira bertuah kerana terpilih mengikuti Kursus Accent Neutralization, IT and Networking Skills selama dua bulan di New Delhi dua tahun lalu.

Pada 2017, ia bermula dengan beliau menerima ajakan rakan untuk memohon Kursus Latihan di bawah Program Indian Technical and Economic Cooperation (ITEC) di bawah NIIT.

Noor Halini berasa tidak percaya dapat menyertai kursus itu kerana hanya satu tempat sahaja ditawarkan ketika itu.

"Saya dipanggil untuk sesi temuduga di India Embassy pada sesi pagi dan dimaklumkan berjaya pada hari itu juga sebelah petang.

"Saya juga dimaklumkan peserta ‘batch’ pertama dari Malaysia," katanya.

 

Noor Halini

Katanya, ia ditaja sepenuhnya oleh kerajaan India.

"Mungkin itu sudah tertulis rezeki saya. Pegawai yang menguruskan dari Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pendidikan (KPM) mohon supaya saya bawa balik apa saja ilmu yang boleh dipelajari memandangkan saya akan jadi rujukan untuk rakan guru lain yang memohon selepas ini.

"Ketika ini rakan saya yang lain mula risaukan saya namun saya yakin niat untuk menuntut ilmu kerana ALLAH pasti ALLAH akan pelihara saya," jelasnya.

 

Dua bulan yang getir

Menurutnya, selama dua bulan di sana memang pengalaman yang sangat berharga tak dapat dijual beli.

"Sehinggalah ALLAH memberi ujian untuk saya apabila setelah sebulan di sana, ayah saya meninggal dunia.

"Saya tak sempat untuk balik kerana penerbangan ambil masa empat jam setengah. Sedih, terkejut tapi saya belajar untuk reda," katanya.

Noor Halini berkata, arwah ayahnya jugalah yang menyokong keputusan beliau untuk terima kursus di India itu.

 

Noor Halini menerima Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) 2016 pada Mac 2017 lalu.

"Jadi saya kuatkan semangat dan berdoa dari jauh. Saya menerima banyak sokongan, kata-kata semangat daripada rakan di Malaysia dan di sana.

"Sesungguhnya ajal, jodoh, rezeki sudah tertulis dan ALLAH takkan uji kita di luar kemampuan kita. Balik saja dari India saya terus ziarah pusara arwah ayah. Perasaan sedih yang tak dapat digambarkan," ujarnya.

Bercerita pengalaman beliau di India, penginapan, makan minum semuanya ditanggung serta turut mendapat elaun mingguan RM34 (Rupee 600).

"Di sana saya bertemu dengan rakan dari negara lain seperti Bhutan, Uzbekistan, Vietnam, Amerika, Madagascar, Afghanistan, Sri Lanka dan pelbagai lagi.

"Terlalu banyak input yang saya dapat mengenai bahasa Inggeris, IT dan Networking. Lawatan ilmiah pula kami dibawa ke tempat bersejarah dan tarikan pelancong seperti Red Fort, Taj Mahal, Lotus Temple, istana lama dan banyak lagi semua ini di bawah tajaan," ujarnya.

 

Teknik belajar santai

Katanya, beliau turut menjadi rujukan rakan sekelas dan mendapat tempat antara lima pelajar terbaik dalam kelas.

"Teknik pengajaran pensyarah di sana adalah santai tidak terlalu formal. Kami ada juga ujian dan kerja kursus. Penerangan mengenai teknologi dizahirkan secara jelas, mudah faham dan teknik pengajaran mereka yang bersahaja memang berkesan.

"Benarlah teknologi adalah salah satu kepakaran India. Hubungan antara pensyarah dan kami pelajar seperti keluarga dan sahabat, tidak formal. Jadi ikatan itu yang membuatkan kami selesa, minat dan mudah faham apa yang diajar," katanya.

Katanya lagi, apabila pulang ke Malaysia, beliau berkongsi maklumat tersebut dengan rakan guru yang lain dan war-warkan kepada mereka untuk turut mohon kursus seperti itu.

"Saya berpegang pada prinsip belajar dan sebarkan ilmu ALLAH. Biar apa yang kita dapat turut sama dapat pada orang lain," katanya.

 

Pendidikan awal

Ketika zaman sekolah beliau aktif dalam pidato, forum, sajak dan bergiat aktif dalam pelbagai pertandingan serta sering mewakili sekolah ke peringkat daerah dan negeri.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Convent Bukit Mertajam dan Sekolah Menengah St Anne’s Convent Kulim.

Pada 2002 beliau menyambung pengajian di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang dalam bidang Pengajian Inggeris.

Noor Halini berkata, ketika sekolah beliau tidak menggemari subjek Bahasa Inggeris walaupun kedua ibu bapa sangat memberi sokongan.

"Mungkin ini ketentuan ALLAH.. ia juga cabaran bagi saya untuk lebih belajar menguasai bahasa Inggeris supaya ilmu ini dapat saya perturunkan kepada anak murid saya kelak supaya mereka minat Bahasa Inggeris," katanya.

Pada usia 22 tahun, beliau memulakan perjalanan sebagai guru Bahasa Inggeris di sekolah pertamanya iaitu SK (LKTP) Ulu Jempol, Jengka, Pahang.

"Pada ketika itu, saya rasa gembira apabila keputusan peperiksaan Bahasa Inggeris meningkat. Saya juga aktif melatih murid dalam pidato dan pertandingan ‘Action Song’ hingga ke peringkat daerah dan negeri.

"Saya suka berkongsi ilmu dan kepakaran yang saya ada untuk melatih murid. Satu kepuasan apabila saya berjaya menarik minat anak luar bandar untuk menguasai Bahasa Inggeris," katanya.

Noor Halini turut memberi tip untuk membuat murid suka Bahasa Inggeris dengan adanya hubungan rapat dengan pelajar.

"Dari situ saya ‘tackle’ murid saya, luangkan masa dengan mereka jadi mereka tak segan untuk belajar dan tanya saya walaupun di luar kelas.

"Hujung minggu pula murid ini datang ke rumah saya untuk belajar dan ibu bapa serta komuniti di sana pun amat rapat dengan kami guru. Kawasan felda komuniti mereka kuat untuk pendidikan anak-anak," jelasnya.

Katanya, sebagai pendidik, tugas kita bukan hanya mengajar tetapi lebih luas iaitu mendalami jiwa pelajar dan mendidik mereka tentang kehidupan.

 

Peserta yang menang Pertandingan NICTSeD dan CAKNA Peringkat Negeri Kedah 2018 iaitu johan NICTSED dari SMK Badlishah, Kulim dan johan CAKNA dari Kolej Sultan Abdul Hamid.

 

Memulakan tugas baharu

Pada penghujung 2013, beliau memulakan tugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan di Pusat Kegiatan Guru Kuah, Langkawi.

Kata beliau, di sana banyak belajar mengenai bidang pengurusan seperti banyak terlibat dalam mesyuarat, mengendalikan kursus dan taklimat kepada sekolah dalam bidang PSS (Pusat Sumber Sekolah) dan ICT .

"Saya mula aktif dalam VLE Frog, mengajar guru mengenai VLE, dijemput sebagai penceramah kepada sekolah dalam VLE, bidang PSS dan Nilam.

"Teknologi adalah salah satu medium yang dapat kita gunakan di dalam PdP. Bukan semua menguasai teknologi malah saya sendiri sentiasa belajar dan gemar berkongsi dengan rakan guru yang lain," ujarnya.

Pada 2017 pula, beliau berkhidmat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Kedah.

"Di sini, saya terlibat dalam membimbing guru, pelajar untuk pertandingan tertentu kerana sebahagian tugas kami adalah menjayakan aktiviti pembestarian sekolah.

"Saya terlibat dalam mengajar VLE kepada pensyarah IPG, pelajar IPG, membimbing pelajar untuk tokoh Nilam, pertandingan NICTSeD dan Cabaran Keselamatan Siber Nasional (CAKNA)," katanya.

Pesanan Noor Halini kepada rakan guru lain, jangan mudah putus asa, niatkan apa sahaja kita buat kerana ALLAH.

Cabaran itu adalah ilmu, teroka dan belajarlah selagi hayat dikandung badan.

Rebutlah apa sahaja peluang yang ada, sentiasa belajar daripada orang lain dan terima teguran kerana kita tiada yang sempurna.

 

Biodata

Nama: Noor Halini Allias

Tarikh lahir: 25 Disember 1983

Tempat lahir: Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Alamat: Kulim,Kedah

Merupakan anak bongsu daripada 3 beradik

Pendidikan:

1) IPG Kampus Persekutuan Pulau Pinang 2002-2004- Diploma Perguruan Malayasia (Pengajian Inggeris & Kajian Tempatan)

2) IPG Kampus Ipoh 2009- Kursus Sijil Perguruan Khas( KSPK) TESL

3) Open University Malaysia- Ijazah Sarjana Muda Pengajaran dengan Kepujian (Pendidikan Rendah)

 

 Noor Halini menerima sijil kursus daripada NIIT Universiti di bawah Program ITEC.

 

Rakan peserta kursus ITEC dari pelbagai negara.

 

Kenangan ketika kursus ITEC di New Delhi.